KOTA BHARU: Kementerian Pengajian Tinggi menerima kira-kira 30 guni 
surat permohonan bagi mengisi 176 jawatan di Universiti Malaysia 
Kelantan (UMK), kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

"Saya tidak menduga kekosongan jawatan di UMK mendapat sambutan 
memberangsangkan sehingga sejumlah kira-kira 30,000 surat permohonan 
diterima untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.

"Kajian kita mendapati pemohon jawatan di UMK merangkumi dua kategori 
utama iaitu anak tempatan dan mereka yang ingin mengembangkan 
kerjaya," katanya selepas perjumpaan dengan pengetua, guru besar dan 
Pegawai Pelajaran Daerah Tanah Merah di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) 
Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Muhammad Idiris Saleh; 
Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Mafauzy Mohamed dan 
Pengarah Hospital USM, Dr Zaidun Kamari.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada permohonan yang diterima 
ialah daripada anak tempatan yang sudah bekerja sama ada dengan 
kerajaan atau swasta tetapi memohon berkhidmat di UMK.

"Termasuk dalam kumpulan ini adalah anak Kelantan yang ketika ini 
bekerja di merata tempat di luar Kelantan terutama di Kuala Lumpur 
tetapi berhasrat kembali menabur jasa di tanah kelahiran.

"Kumpulan kedua pula membabitkan mereka yang baru menamatkan 
pengajian dari institut pengajian tinggi (IPT) tempatan atau di luar 
negara serta belum ada pekerjaan.

"Kita menghargai minat yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak untuk 
berkhidmat dengan UMK dan berharap ia menjadi petanda universiti ini 
kini berada pada landasan yang betul untuk mencapai kejayaan," 
katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mustapha berkata, kerajaan menerima 
hakikat ada rakyat Malaysia memilih bekerja di luar negara sama ada 
dengan syarikat tempatan atau asing.

"Sebagai sebuah negara pesat membangun, tentu kita mahu lebih ramai 
rakyat menyumbang kepada negara tetapi kita sedar tidak mampu 
menyediakan peluang yang lumayan seperti ditawarkan negara luar 
kepada semua.

"Sebab itu kita tidak menghalang apabila ada memilih bekerja di luar 
negara, lebih-lebih lagi jika bekerja dengan syarikat tempatan 
khususnya di negara seperti di Arab Saudi dan Sudan.

"Mereka berbuat demikian untuk menimba pengalaman atau meningkatkan 
kedudukan ekonomi keluarga, tetapi kita yakin suatu hari nanti mereka 
akan kembali untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

"Bagaimanapun, dalam bidang tertentu yang kita masih kekurangan 
seperti perubatan, farmasi dan saintis, kita menggalakkan mereka 
pulang berkhidmat di sini selepas menamatkan pengajian," katanya.

Terdahulu, Mustapa turut menerima sumbangan kelengkapan bantuan 
pesakit bernilai RM40,000 daripada Persatuan Alumni Doktor USM (Padu) 
untuk kegunaan HUSM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.//BHarian


Kirim email ke