KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan memajukan kawasan seluas 50 
hektar di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang untuk penanaman sayuran dan 
buahan di bawah konsep Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), tahun 
depan.

Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Mohd Zahari Awang, berkata 
kawasan itu yang dikenal pasti sesuai untuk penanaman tanaman tanah 
tinggi akan dibangunkan secara berperingkat dengan kadar lima hektar 
setahun.

Katanya, di bawah konsep itu, sekumpulan peserta akan dipilih melalui 
satu tapisan rapi oleh Jabatan Pertanian bagi mengusahakan tanaman 
berkenaan secara sepenuh masa.

"Usaha pembersihan kawasan dan penyediaan infrastruktur seperti jalan 
masuk dan sistem pengairan akan dibuat sepenuhnya oleh Kerajaan 
Persekutuan dan ia akan dimulakan tidak lama lagi," katanya ketika 
ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mohd Zahari berkata, TKPM ialah salah satu usaha jabatan di bawah 
konsep Kementerian Pertanian Diperbadankan yang diperkenalkan sejak 
2003 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara utama yang 
berdaya saing dalam sektor pengelua­ran makanan di dunia.

Katanya, sehingga kini, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian 11 
peserta yang mengusahakan tanaman sayuran di kawasan seluas 12 hektar 
dari 65 hektar kawasan fizikal di Tanah Tinggi Lojing sebelum ini.

"Secara purata, petani yang dibawa dari kampung ini sekarang sudah 
memperoleh hasil sebanyak RM5 ribu sebulan dengan kutipan hasil 
tertinggi yang pernah dicatat ialah sebanyak RM6 ribu sebulan.

"Tiga peserta turut dianugerahkan sijil di bawah Skim Amalan Ladang 
Pertanian Baik Malaysia (SALAM) yang mengiktiraf kualiti tanaman 
mereka sebagai memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh jabatan.

"Selain projek TKPM ini, projek penanaman sayuran biasa di seluruh 
negeri termasuk di Kuchelong, Hujung Lidah, Air Asahan, Pulai dan 
Gelang Kecil juga mencapai matlamat 

dengan purata pendapatan bersih petani melebihi RM1,000 seorang," 
katanya.//BHarian


Kirim email ke