Bukit Batu Kapur, Mitos Dan Pautan Sejarah

KEINDAHAN ALAM SEMULA… Nurul Ain Aqilah Kamaruzaman dan adiknya Ziyad Fattah (kiri) terpegun dengan keindahan pintu gua batu kapur di Gua Musang. Foto: Kamaruzaman Yaacob
Oleh Kamaruzaman Yaacob

GUA MUSANG, 23 Jun  -- Bandar ini ialah sebuah pusat pentadbiran di tepi landasan keretapi di Ulu Kelantan, berlatar belakangkan bukit batu kapur bagaikan sebuah lukisan alam.

Keindahan alam semula jadinya pasti memikat hati sesiapa yang berkunjung ke bandar ini yang terletak kira-kira 195 km dari Kota Baharu dan 250 km dari Kuala Lumpur.

Pentadbiran bandar ini adalah di bawah Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. Hampir separuh daripada jajahan ini yang mempunyai keluasan 8,177 km per segi dilitupi bukit batu kapur. Jumlah penduduknya ialah 80,167 orang.

Jajahan ini pernah menjadi tempat buangan daerah bagi mereka yang melakukan kesalahan jenayah dari seluruh negara. Kesukaran dari segi perhubungan dan lokasinya agak jauh, pernah diberi jolokan tempat "jin bertendang" oleh penduduk negeri ini.

CERITA MITOS

Menurut cerita mitos, bandar ini dipercayai mula didiami oleh beberapa pemburu yang mengamalkan kepercayaan animisme.

Suatu petang ketika mereka sedang memuja dengan mempersembahkan beberapa ekor binatang di sebuah gua di bukit berhampiran, tiba-tiba ribut berserta kilat melanda dan memusnahkan pondok kediaman mereka.

Apabila melihat kemuncak bukit berkenaan hampir terbelah dua akibat disambar petir, mereka melutut dan beranggapan dewa-dewa gua telah memarahi mereka. Ketika inilah sekumpulan musang yang besar saiznya tiba-tiba muncul dan berlari ke arah gua berkenaan.

Akhirnya mereka meletakkan senjata pemburuan dan selepas sepetang menunggu, haiwan tersebut tetap tidak muncul.

Berdasarkan cerita inilah dipercayai Gua Musang mendapat namanya.

KEINDAHAN GUA BATU KAPUR

Khazanah alam semula jadi yang belum terusik ini, memiliki keunikannya tersendiri dengan keindahan gua batu kapur dengan lakaran abstrak stalaktit dan stalagmit yang pasti memukau mata memandang pencinta alam semula jadi yang singgah di sini.

Selain dari itu pemandangan indah bukit-bukit batu kapur seolah-olah "sedang beratur" boleh dilihat dengan menaiki keretapi sama ada dari Tumpat atau Gemas.

Perkhidmatan keretapi merupakan satu-satunya kemudahan pengangkutan awam yang dibina pada zaman pemerintahan British sebelum terbinanya jalan raya yang menghubungi bandar ini dengan Kuala Krai pada lewat tahun 1970-an.

Sepanjang laluan bermula dari Perhentian Manek Urai, Bukit Abu dan Dabong ia menyusuri lapan terowong, yang dipanggil "Bukit Korek" oleh penduduk tempatan, sepanjang 50 hingga 670 meter di kawasan bukit batu kapur.

ANCAMAN PENGGANAS

Selepas gencatan senjata oleh tentera Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu dikejutkan dengan pelbagai peristiwa keganasan dan pembunuhan yang dicetuskan oleh pengganas komunis bagi mencapai matlamat mereka menguasai Tanah Melayu.

Ekoran peristiwa ini pada 16 Jun 1948, Darurat telah diisytiharkan oleh Gabenor kerajaan kolonial British, Sir Edward Gent, untuk membendung kegiatan komunis yang menjadikan kawasan terpencil terutama sekali balai-balai polis sebagai sasaran mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, senjata api dan peluru.

Salah sebuah balai yang menjadi mangsa kekejaman mereka ialah Balai Polis Gua Musang yang pada masa itu baru didirikan semula di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen keretapi menggantikan balai polis yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun.

Sejarah hitam itu berlaku pada 19 Julai, 1948 apabila segerombolan komunis seramai lebih kurang 300 anggota telah mengepung dan menyerang balai berkenaan.

Walaupun dengan kekuatan seramai 16 anggota yang diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, mereka dapat bertahan selama hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru.

Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak diketahui jumlah yang terkorban.

Pada keesokan harinya, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini. Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai.

Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai.

SERANG HENDAP

Dalam salah satu episod keberanian Regimen Askar Melayu Diraja, satu pasukan yang diketuai pegawai British berpangkat Mejar bersama 10 orang anggota telah diserang hendap di landasan keretapi lama kira-kira tiga kilometer ke selatan Merapoh ketika dalam perjalanan menuju ke Balai Polis Gua Musang.

Pertempuran yang berlarutan hampir enam jam itu telah mengorbankan pegawai British tersebut dan enam anggota regimen yang lain.

Sementara itu dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, satu platun seramai 25 anggota dari Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.

Pertempuran sengit yang berlarutan hampir empat jam itu menyebabkan anggota tentera berkenaan hampir kehabisan peluru.

Akhirnya 17 anggota tentera telah gugur, enam cedera parah dan dua lagi mengalami kecederaan ringan.

Meskipun tewas, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam melawan musuh yang hampir 10 kali ganda daripada kekuatan mereka. Malah apa yang lebih membanggakan mereka berjaya membunuh seramai 29 anggota komunis dan mencederakan ramai yang lain dalam pertempuran itu.

Kesemuanya itu terpahat dalam lipatan sejarah tanah air dan pada 27 Jun ini bandar ini mencatat satu lagi sejarah dengan pembukaan sebuah balai polis baru yang serba moden oleh Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra.

Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar dijangka turut hadir pada majlis perasmian untuk balai polis itu, balai yang ke-empat dalam sejarah Gua Musang.//Bernama

Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com __._,_.___


SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel Kelantan


YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke