http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

17 Mac 2010 / 1 Rabiul Akhir 1431

AS masih ragu terhadap Kopassus

WASHINGTON 16 Mac - Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan pihaknya tidak 
dapat menjangkakan tarikh mereka akan memulakan semula hubungan ketenteraan 
dengan Indonesia, ketika pihaknya mengemukakan maklumat mengenai lawatan 
Presiden Barack Obama ke Jakarta dan Bali pada minggu depan.

Obama pernah menetap di Indonesia selama empat tahun bersama mendiang ibunya 
semasa kecil, namun lawatan itu lebih bertumpu isu perniagaan, perdagangan, 
keselamatan dan diplomasi berbanding zaman kanak-kanak dan biografinya.

Menjelang lawatan itu, pentadbiran telah menyediakan kaedah untuk memulakan 
latihan unit elit ketenteraan Indonesia sebagai antara usaha untuk menangani 
peningkatan kegiatan militan dan menjalin kerjasama perisikan dengan Jakarta.

Namun, langkah itu mungkin mengundang kontroversi ketika unit Komando Pasukan 
Khusus atau Kopassus didakwa terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia, 
termasuk di Timur Leste.

Malah, beberapa pemimpin penting dalam Kongres turut menentang kerjasama dengan 
pasukan itu sebelum mereka didakwa atas tindakan lampau mereka.

Bagaimanapun, masih kurang jelas sama ada pertikaian terhadap Kopassus akan 
diselesaikan sebelum lawatan Obama yang akan bermula pada 23 Mac ini.

Pegawai daripada Kopassus berada di Washington hanya pada minggu lepas dalam 
usaha untuk melindungi sokongan AS terhadap unit tersebut yang dimansuhkan pada 
tahun 1997.

"Adalah sangat bagus sekiranya kita mampu bergerak dan menjalinkan kerjasama, 
kerjasama penuh untuk menyediakan pasukan khas itu dan keupayaan menangani 
pengganas di bawah bidang kuasa Kopassus," kata Jeffrey Bader, pengarah kanan 
hubungan Asia di bawah pentadbiran Obama ketika mengadakan pertemuan ringkas 
dengan pemberita berhubung lawatan Obama.

"Terdapat beberapa sejarah yang perlu ditangani. Terdapat pencabulan hak asasi 
manusia pada tahun 1990-an di negara Timur Timor.

"Kami harap kami mampu bergerak ke hadapan dan menyelesaikan perkara ini namun, 
setakat ini, saya tidak mampu menjangkakan bilakah hari itu akan tiba," 
katanya. - AFP


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke