http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

PDIP minta maaf pada kita
Oleh BORHAN ABU SAMAH
borhan.sa...@utusan.com.my


JAKARTA 10 Feb. - Ketua Dewan Permesyuaratan Pusat Parti Demokrasi Indonesia 
Perjuangan (PDIP), Taufiq Kiemas menafikan partinya terlibat di dalam tindakan 
mengusir rakyat Malaysia di Indonesia dalam gerakan 'Sweeping Malaysia' tahun 
lalu.

Taufiq yang juga Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) berkata, parti itu 
sentiasa menghargai hubungan baik Malaysia dengan Indonesia dan tidak akan 
melakukan perkara yang boleh merosakkannya.

Beliau juga memohon maaf jika terdapat salah faham daripada tindakan sekelompok 
kecil masyarakat sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada PDIP yang 
dipimpin oleh isterinya, Megawati Soekarnoputri selaku Ketua Umum.

"PDIP menghormati hubungan baik dengan negara jiran, mustahil untuk melakukan 
tindakan itu," katanya semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia di 
Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan di pejabat di MPR di sini 
hari ini.

Mengulas perkara itu Syed Munshe Afdzaruddin berkata, kerajaan Malaysia tidak 
pernah mempunyai tanggapan bahawa PDIP terlibat di dalam tindakan tersebut yang 
sebenarnya, didalangi oleh kumpulan kecil masyarakat Indonesia.

Pada 8 September tahun lalu, sekumpulan 50 aktivis yang menamakan diri mereka 
sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melakukan tindakan mengusir rakyat 
Malaysia di Jalan Deponegoro, Jakarta Pusat selama kira-kira sejam.

Mereka menahan kenderaan yang melalui jalan berkenaan sambil meminta kad 
pengenalan, bagi mencari rakyat Malaysia.

Bagaimanapun tindakan provokasi aktivis yang memegang buluh runcing itu 
berakhir dengan tiada seorang rakyat Malaysia diusir.

Semasa pertemuan singkat itu juga, Syed Munshe menarik perhatian Taufik tentang 
masalah hak milik kepunyaan Kerajaan Malaysia di Kemang, Jakarta Selatan yang 
sepatutnya dibina kediaman rasmi Duta Besar Malaysia.

Mengulas masalah itu, Taufiq berkata, perkara berkenaan akan diselesaikan 
dengan sebaik mungkin.

"Kalau tidak selesai, kita rasa tidak selesa dengan Malaysia," katanya.

Tanah seluas 4,950 meter persegi itu terletak di No.48, Jalan Kemang Raya telah 
dibeli pada tahun 1971.

Bagaimanapun semasa era reformasi dan pergolakan politik di Indonesia tahun 
1998, tanah berkenaan terpaksa dikosongkan setelah sekumpulan masyarakat 
mengancam mencederakan pengawal yang ditempatkan di situ.

Berikutan itu tanah berkenaan telah diduduki oleh penduduk tempatan secara 
haram dan perkara tersebut dibawa ke Mahkamah Agung setelah usaha diplomasi 
buntu dan pada tahun 2004 disahkan sebagai hak milik Kedutaan Besar Malaysia.

Sejak tarikh tersebut tiada sebarang tindakan diambil bagi mengusir keluar 
penceroboh tanah berkenaan oleh pihak berkuasa tempatan dan baru-baru ini 
terdapat individu mengemukakan permohonan ke Mahkamah Jakarta Selatan untuk 
mendapatkan hak milik tanah berkenaan. - Utusan


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke