http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Pegawai China meniduri 500 wanita

BEIJING 7 April - Seorang pegawai kerajaan ditahan di China selepas didakwa 
menerima rasuah untuk membolehkannya membuat bayaran bagi perkhidmatan seks dan 
meneruskan rancangannya untuk meniduri sehingga 800 wanita, lapor media 
tempatan hari ini.

Akhbar harian Dahe melaporkan, perbuatan ketua jabatan berusia 47 tahun di 
bandar Anqing di timur negara itu didedahkan kepada pihak berkuasa oleh 
isterinya sendiri setelah membaca diari suaminya yang mengandungi maklumat 
terperinci aktiviti seksnya dan butiran bayaran rasuah.

Lelaki tersebut yang diberi gelaran 'Wang Cheng' oleh akhbar berkenaan turut 
merakamkan secara rahsia perbuatannya itu dan menyimpannya dalam sebuah sebuah 
cakera keras yang ditemui bersama diari tersebut.

''Dia sibuk lapan jam sehari untuk mendapatkan rasuah dan sibuk lapan jam lagi 
dengan aktiviti seks,'' lapor akhbar berkenaan memetik kata-kata para pendakwa.

Menurutnya, berdasarkan catatan paling awal dalam diari berkenaan mulai 2003, 
Wang menetapkan sasaran untuk meniduri 56 wanita setahun dan ketika yang sama 
mengekalkan dua wanita simpanan dari 'keluarga orang terhormat'.

Untuk membolehkannya berbuat demikian, Wang berkata, dia perlu mengumpul 
100,000 yuan (RM48,180) dalam bentuk rasuah setiap tahun, satu jumlah yang 
lebih lima kali ganda berbanding pendapatan tahunannya.

Dalam tahun-tahun seterusnya ketika dia terus menjawat jawatan lebih tinggi di 
tempat kerjanya, dia mengambil lebih banyak rasuah dan meniduri lebih ramai 
wanita terutamanya apabila mereka yang membayar rasuah kepadanya mendapat tahu 
tabiat seksnya.

''Wang mengakui membelanjakan beberapa ratus ribu yuan untuk mendapatkan 
khidmat seks.

''Jika bukan kerana kuasa yang dipegangnya, dia tidak mungkin mampu memperoleh 
wang sebanyak itu,'' kata para pendakwa.

Wang mengakui sudah meniduri lebih 500 wanita dan menetapkan sasaran mengadakan 
hubungan seks dengan 600 hingga 800 wanita.

Parti Komunis China berusaha menangani rasuah sejak sekian lama bertujuan 
mengurangkan perasaan marah rakyat terhadap para pegawai yang kerap dilaporkan 
mengambil rasuah.

Bagaimanapun laporan tentang amalan rasuah terus menonjol, kerap didedahkan 
oleh pengguna laman web atau akhbar.

Bulan lepas, seorang pegawai di wilayah Guangxi dipecat dan diberkas selepas 
diarinya yang memperincikan amalan seks dan rasuah didedahkan di Internet.

Diari Han Feng mengandungi maklumat tentang perlakuan seks dengan beberapa 
wanita muda termasuk kakitangan kerajaan dan aktiviti bersosial dengan para 
pegawai lain dan ahli perniagaan. - AFP


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke