Saran DR. MAHATHIR Mohamad ini barangkali baik juga
kita baca bersama. Sumber:  http://www.utusan.com.my/
Salam,
Mak Ngah

Foto: (tidak dicopy di sini)
DR. MAHATHIR Mohamad membuka naskhah al-Quran sebagai tanda
perasmian Persidangan Menteri Luar Islam (ICFM) ke-27 sambil
diperhatikan oleh pengerusi sesi ke-27 persidangan, Youssof
Ouedraogo (dari kiri), Setiausaha Agung OIC, Dr. Azeddine Laraki,
Syed Hamid Albar dan Menteri Luar Iran, Dr. Kamel Kharrazi, di
Kuala Lumpur, semalam.

PM: Bahaya globalisasi --
Negara-negara Islam perlu bersatu,
kuasai teknologi maklumat

KUALA LUMPUR 27 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad mengingatkan negara-negara Islam supaya
mempersiapkan diri menghadapi bahaya globalisasi
selain menguasai bidang teknologi maklumat bagi
memastikan kesucian Islam terus dipertahankan.

Perdana Menteri menegaskan, umat Islam tidak
boleh bertelagah lagi dan mengulangi kesilapan yang
lalu kerana itu hanya mengakibatkan mereka terus
ditekan oleh musuh-musuh Islam.

''Tindakan kita sekarang ialah memulakan langkah
baru untuk mengatasi jurang sesama anggota bagi
menghadapi cabaran dan bahaya globalisasi tanpa
sempadan ini,'' katanya ketika merasmikan
Persidangan Menteri-Menteri Luar Negara Islam
(ICFM) ke-27 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan umat
Islam 'duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi'
dengan bangsa-bangsa di dunia ini mereka perlu
menguasai ilmu teknologi maklumat (IT) yang
penggunaannya jika tanpa kawalan boleh mengancam
nilai, kepercayaan dan ketamadunan Islam.

''Penyelesaian ada pada kita dan kita boleh memilih
untuk meneruskan pertelingkahan sesama kita atau
kita bersama-menghadapi ancaman Islam yang
sebenarnya.

''Jika kita memilih untuk tidak menggunakan kuasa
dan keupayaan bagi mempertahankan Islam dan
umatnya, kita tidak boleh menyalahkan pihak lain,
kita sebagai orang Islam yang patut dipersalahkan,''
tegasnya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucap utama di
hadapan lebih 1,000 wakil dari 56 negara anggota
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada perasmian
sesi ke-27 ICFM di sini. Persidangan ICFM bermula
hari ini dan berakhir Jumaat ini.

Ucapan Perdana Menteri yang sebahagian besar
amanatnya banyak menyentuh tentang cabaran umat
Islam disiarkan secara langsung ke seluruh negara
menerusi TV1 yang turut dipancarkan ke Brunei
Darussalam, Turki, Filipina dan Iran.

Menurutnya, walaupun agak keterlaluan bagi
mengharapkan umat Islam bersatu dalam sekelip
mata namun, sekurang-kurangnya negara-negara
Islam perlu belajar memahami serta menghadapi
bahaya dunia tanpa sempadan dan berusaha
mengatasi perbezaan yang ada.

Beliau menegaskan, dalam era globalisasi ini, umat
Islam perlu mempelajari sains dan teknologi baru
kerana ia adalah bagi memenuhi suatu tuntutan.

''Memandangkan dunia masih berada di ambang era
maklumat dan globalisasi, kita tidak boleh
tertinggal jauh di belakang. Kita perlu mengejar
mereka, sekiranya kita menunggu, mereka akan
berada jauh di hadapan dan masa ini kita telah
terlambat,'' katanya.

Perdana Menteri mengakui tugas menguasai ilmu dan
kemahiran moden begitu berat kerana tentangan
akan datang daripada umat Islam sendiri yang
bimbang akan kehilangan pengaruh dan kuasa
sekiranya anggota masyarakat itu lebih
berpengetahuan.

Beliau juga percaya akan timbul tuduhan bahawa
kumpulan yang menumpukan kepada ilmu moden
adalah sekular dan tidak Islamik.

''Percayalah, musuh-musuh kita tidak ambil peduli
mengenai tahap keislaman kita. Bagi mereka, kita
semuanya umat Islam adalah musuh mereka,
berpotensi sebagai pengganas dan dengan itu akan
berusaha untuk melemah dan memusnahkan kita.

''Musuh-musuh Islam akan secara langsung dan tidak
langsung, menyokong puak pelampau di kalangan kita
dan golongan ortodoks yang menolak ilmu dan
kemahiran yang sebenarnya boleh mempertahankan
kita,'' katanya.

Dr. Mahathir menjelaskan, banyak pengajaran yang
boleh diperoleh daripada sejarah kejatuhan empayar
Islam tetapi jelas bahawa umat Islam sekarang
tidak mengambil iktibar daripadanya.

''Hari ini kita lebih berpecah daripada sebelumnya.
Kebanyakan negara Islam berperang sesama sendiri
dan di dalam negara juga kita tidak mampu bersatu
untuk membentuk sebuah kerajaan kukuh.

''Jika kita mengamalkan demokrasi, kita
menggunakan Islam untuk memecahbelahkan dan
bukan untuk menyatukan rakyat dan dengan itu, kita
melemahkan diri sendiri dan kerajaan,'' jelasnya.

Dalam ucapannya yang penuh nada tegas itu, Dr.
Mahathir turut mengingatkan umat Islam bahawa IT
sebenarnya bukan sahaja membawa maklumat
berbentuk pengetahuan tetapi juga bahan lucah dan
pembohongan.

Katanya, bahan seperti itu disebarkan oleh mereka
yang mahu menjejaskan pembangunan masyarakat
termasuk umat Islam.

''Moral kita, anak-anak kita dan generasi masa depan
sedang dicemari agar agama Islam tidak lagi
penting dan kita tidak mempunyai kaedah yang
secukupnya untuk menanganinya,'' jelasnya.

Dr. Mahathir berkata, mungkin ada yang terkejut
mendapati bahawa kira-kira 50 peratus transaksi
perniagaan melalui internet melibatkan bahan lucah.

''Semasa kita umat Islam menutup tubuh mengikut
tuntutan agama, kita digoda untuk memindah terima
gambar-gambar lucah daripada internet,'' ujar
beliau.

Menurutnya, melalui internet cara-cara baru untuk
melakukan sesuatu menjadi mudah dan barang yang
sebelum ini diimport secara pukal oleh syarikat
perdagangan boleh terus diperoleh oleh pengguna
melalui syarikat dot. com yang terletak 12,000 batu
jauhnya.

Kata beliau, pengimport, pengedar dan peruncit akan
diketepikan dan kerajaan tidak lagi boleh mengutip
duti import dan cukai korporat.

Oleh itu, katanya, umat Islam harus memiliki
pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam
era maklumat ini kerana jika tidak, mereka akan
tertinggal lebih jauh berbanding pada era
perindustrian pada abad yang lalu.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD,
46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200
Kuala Lumpur.
E-mail: [EMAIL PROTECTED]



LAPAU RantauNet di http://lapau.rantaunet.web.id
Isi Database ke anggotaan RantauNet:
http://www.egroups.com/database/rantaunet?method­dRecord&tbl=1
İİİİİİİİİİİİİİİİWEB-EMAIL GRATIS ... @rantaunet.web.id ---> 
http://mail.rantaunet.web.id
İİİİİİİİİİİİİİİİSubscribe - Mendaftar RantauNet Mailing List, kirimkan email
Ke / To: [EMAIL PROTECTED]
Isi email / Messages: subscribe rantau-net email_anda

Unsubscribe - Berhenti menerima RantauNet Mailing List, kirimkan email
Ke / To: [EMAIL PROTECTED]
Isi emai / Messages: unsubscribe rantau-net email_anda
İİİİİİİİİİİİİİİİWebPage RantauNet http://www.rantaunet.web.id dan Mailing List 
RantauNet
adalah servis dari EEBNET http://eebnet.com, Airland Groups, USA
İİİİİİİİİİİİİİİİ

Kirim email ke