<http://1.bp.blogspot.com/_8o725KPKm3k/SXmBjHAZoSI/AAAAAAAAASU/xlVZDKE9gMs/s1600-h/aku+dan+tan+sri.JPG>
Kebenaran
Tanpa Penghujung


Oleh Muhammad Azli Shukri
*http://azlishukri.blogspot.com/2009/01/kebenaran-tanpa-penghujung-oleh.html
*


"Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah
pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini
banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut
sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras
(syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak
gemar apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu
memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya
tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot
tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau
berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki.

Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu
rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat
Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar angin daripada
menyelidik untuk mencari kebenaran. Lantaran itu, apabila kejahilan yang
kita ikuti pasti akan mendekatkan diri kita ke gaung kehancuran. Isu
memboikot restoran makanan segera KFC telah dilancarkan secara besar-besaran
dalam kalangan bloggers, saya tidak tahu sama ada ia berlaku secara
terancang, mahu pun terjadi atas dasar kejahilan kita sendiri. Namun
demikian, hal ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa dalam kalangan
pengurus-pengurus kanan KFC Holdings Berhad - dan sudah tentu juga bagi
Pihak Tan Sri Muhammad Ali Hashim, CEO JCorp yang menguasai syarikat Kulim
Berhad, dan pada masa yang sama, Kulim Berhad merupakan pemegang saham
terbesar dalam KFC Holdings Berhad.

Nampaknya, kejahilan dan kebodohan kita selama ini, telah menyebabkan kita
tidak mahu menyelidik dan mencari kebenaran, malah lebih gemar mendengar
khabar angin daripada realiti. Tidak ramai yang tahu betapa susah dan
gigihnya kumpulan Tan Sri Muhammaa Ali Hashim bertungkus-lumus untuk
beberapa tahun, semata-mata mahu menguasai KFC Holdings daripada tangan
orang lain. Keluar masuk mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi memastikan
KFC Holdings menjadi milik orang Islam. Namun demikian, apabila kita malas
untuk mencari kebenaran, maka yang kita peroleh adalah kejahilan. Dan
apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan sekadar membuka pintu fitnah,
bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam yang lebih mudah dipengaruhi oleh
khabar angin daripada menyelidik terlebih dahulu sesuatu maklumat yang
diterima.

Sejak akhir-akhir ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC di seluruh
Malaysia, tidak kurang juga risalah yang bertaburan di masjid-masjid menyeru
umat Islam Malaysia agar memboikot KFC Malaysia. Yang lebih malang, kempen
boikot KFC yang penuh dengan fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang
tahu hukum hakam agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya, mereka
sendiri tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap rokok di kaki
tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan kempen membiokot
rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya? membawa banyak fasad
(kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan pelik apabila ada manusia yang
menyuruh memboikot makanan yang halal tetapi berdiam diri tentang rokok?
Mengapa sampai begitu jahilnya kita ini? Jika kita rasa bahawa kita tidak
tahu, sama ada KFC Malaysia terlibat dalam menyalurkan royalti (bayaran
cukai) kepada KFC Amerika Syarikat yang menyokong Israel, lebih baik kita
diam. Jangan membawa fitnah ke sana ke mari, semata-mata kerana kita sendiri
tidak berapa pasti maklumat tersebut dan hanya mendengar khabar angin.

Saya sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim
sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi tidak
bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat terhadap
kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu pengetahuan. Perlu
dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan jenama (brand) KFC
semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada
KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC
Malaysia adalah hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok.

Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah
fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di restoran-restoran
KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000 orang itu. Malah, rata-rata
pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-Islam. Jika para pemboikot itu
sanggup menyediakan pekerjaan baharu kepada mereka, itu tiada masalah,
silalah boikot. Tetapi malangnya, yang kita tahu hanya memboikot, apabila
disuruh untuk menderma ke dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya
sanggup masukkan RM 5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid.
Sekarang, mari kita bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita?
memboikot sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan
jumlah derma kita kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya iman dan bukan
tanya kepada Aiman.

Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk memboikot - tetapi biar secara
bijaksana, berhikmah dan berilmu. Pilih betul-betul produk yang jelas
menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones tersebut, jangan main sedap boikot
saja. Umat Islam mundur kerana kita ketepikan soal (bijaksana) sebab kita
jarang baca al-Quran. Lantaran itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa
lain. Adalah lebih baik pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok.
Jelas ia memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok
antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara Israel.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja, pergilah menjamu
selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan gusar. Ia bukan
sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang Islam dan tidak terlibat
dalam menyumbang wang atau royalti kepada negara Israel. Malah, ramai yang
tidak tahu berapa juta ringgit yang telah didermakan oleh JCorp hasil
keuntungan KFC kepada tabung rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita
berhati-hati sebelum memboikot.

Gambar : Penulis bersama dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim di Pejabatnya.
Beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan Jihad Bisnes dan Jihad Ekonomi.
Usaha beliau harus dipuji dalam menegakkan Islam melalui perniagaan.

---
hantar 10,000 emel dengan sekali klik + bonus taja RM244,140 + bonus pool
RM45,438
*myrm10.com/?ref=1210*

--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
You received this message because you are subscribed to the Google Groups 
"resepibanjar" group.
To post to this group, send email to resepibanjar@googlegroups.com
To unsubscribe from this group, send email to 
resepibanjar+unsubscr...@googlegroups.com
For more options, visit this group at 
http://groups.google.com/group/resepibanjar?hl=en
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke