http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Indonesia gagal perangi keganasan

JAKARTA 25 Jun - Tidak lama dahulu, Abdullah Sonata merupakan lambang usaha 
Indonesia untuk memujuk pengganas yang ditahan di dalam penjara agar 
meninggalkan ideologi keganasan.

Dia diberi pelepasan daripada tahanan bagi menghadiri majlis-majlis dan polis 
membantu membayar bil-bil hospital semasa isterinya melahirkan anak, namun 
selepas dibebaskan kerana berkelakuan baik setahun yang lalu, Sonata kembali 
kepada kehidupan lama, sekali gus melonjakkan namanya dalam senarai militan 
paling dikehendaki Indonesia.

Dia ditahan Rabu lalu kerana disyaki merancang serangan ala-Mumbai di Jakarta 
dan beberapa pembunuhan berprofil tinggi, termasuk ke atas Presiden Susilo 
Bambang Yudhoyono.

Kelakuan Sonata itu menurut pakar, menggariskan kelemahan dalam program 
pembasmian radikal Indonesia.

Tidak seperti Arab Saudi, Malaysia dan Singapura, usaha di Indonesia 
kebanyakannya dipelopori polis yang memberi tumpuan untuk menjadikan banduan 
mengutuk keganasan dan menjadi pemberi maklumat.

Pegawai memberikan bantuan kewangan untuk membantu banduan dan keluarga mereka, 
malah kadangkala mengusahakan pembebasan awal, namun tidak banyak yang 
dilakukan untuk mengubah fahaman radikal agama seperti penubuhan pemerintahan 
Islam.

"Kebanyakan mereka yang sepatutnya sudah meninggalkan fahaman radikal masih 
lagi komited dengan matlamat asal mereka," kata Pengarah Pusat Kajian Keganasan 
Antarabangsa di Pennsylvania State University, John Horgan.

Indonesia yang merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di 
dunia, mengamalkan demokrasi sekular. Ia menjadi barisan hadapan perang ke atas 
keganasan pada 2002 apabila berlakunya pengeboman yang Bali yang dikaitkan 
dengan rangkaian al-Qaeda, yang meragut 202 nyawa, kebanyakannya pelancong 
asing.

Terdapat beberapa cerita kejayaan seperti Nasir Abbas, militan yang ada kaitan 
dengan al-Qaeda yang membantu melatih pengebom Bali.

Selepas dibebaskan pada 2004, dia memainkan peranan penting dalam pemburuan dan 
penangkapan beberapa bekas rakan seperjuangannya, selain ke penjara untuk 
berdebat dengan banduan bagi mencegah salah faham tentang jihad.

Namun, ada juga yang mengecewakan seperti pembuat bom, Bagus Budi Pranoto yang 
menyertai program pembasmian radikal yang dihukum empat tahun penjara kerana 
terlibat dalam pengeboman Kedutaan Australia pada 2004 tetapi membantu 
melancarkan serangan ke atas hotel J.W. Marriott dan Ritz-Carlton tahun lalu, 
tidak lama selepas dibebaskan.

Menjadi rakan kepada musuh mempunyai risiko tersendiri dan beberapa negara lain 
turut mengalami kegagalan besar seperti program pemulihan Arab Saudi yang 
memulakan pembasmian keganasan dengan menggalakkan tahanan meninggalkan fahaman 
pelampau dan integrasi dengan kehidupan awam melalui program kaunseling 
psikologi, latihan vokasional dan pendidikan agama yang betul.

Seorang tahanan Guantanamo yang dibebaskan pada 2007 dan dihantar ke Arab Saudi 
untuk menyertai program itu, kemudian melarikan diri ke Yemen dan menjadi 
timbalan komander al-Qaeda di Semenanjung Arab. - AP


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke