http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Ketua JI nafi terlibat

JAKARTA 16 Mei - Seorang ulama Indonesia yang didakwa berperanan sebagai ketua 
kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI), menafikan penglibatannya dengan 
sekumpulan suspek militan yang ditahan dalam beberapa serbuan oleh pihak 
berkuasa Indonesia pada bulan ini.

Media tempatan melaporkan, beberapa suspek yang ditahan pada bulan ini 
berhubung penemuan sebuah kem latihan militan di wilayah Aceh Februari lalu, 
mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) pimpinan Abu 
Bakar Bashir.

Semua suspek itu dilapor telah ditahan pada 6 Mei dalam satu serbuan 
antikeganasan di sebuah bangunan di selatan Jakarta yang digunakan sebagai 
pangkalan JAT, kumpulan yang diasaskan oleh Abu Bakar pada 2008.

Bagaimanapun, Abu Bakar memberitahu akhbar Indopos bahawa beliau tidak 
mempunyai kaitan dengan kumpulan militan seperti yang didakwa.

"Saya telah dianiaya. Saya tidak tahu dan tidak terlibat dengan sebarang 
pergerakan serta latihan di Aceh.

"Dari segi organisasi dan aktiviti, JAT berbeza dengan kumpulan-kumpulan 
pengganas di Aceh. Tetapi JAT masih dikaitkan dengan pergerakan militan," 
katanya seperti yang dipetik akhbar terbabit.

Polis sebelum ini berkata, suspek kemungkinan mempunyai hubungan dengan JI.

Penemuan kem latihan di Aceh Februari lalu membawa kepada operasi serbuan 
antikeganasan di seluruh negara ini.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri Jumaat lalu berkata, seramai 58 
pengganas telah ditahan dan 13 telah dibunuh dalam beberapa siri serbuan sejak 
tiga bulan lalu.

Abu Bakar sebelum ini pernah dipenjarakan kerana menjalin hubungan dengan JI, 
namun beliau kemudian dibebaskan. - AFP


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke