Oleh Nor Liza Ahmad dan Azli Ayob 
[EMAIL PROTECTED]

Pengukuhan ekonomi domestik kurangkan kesan negatif


AHLI ekonomi menyifatkan langkah tambahan Bajet 2009 yang
diumumkan kerajaan semalam mampu melindungi Malaysia daripada kesan
teruk krisis kewangan dunia dan memastikan ekonomi negara ini terus
mencatat pertumbuhan positif.


 Mereka menegaskan, langkah itu perlu dilaksanakan kerana
dalam persekitaran semasa ekonomi dunia, Malaysia perlu menumpu kepada
usaha pengukuhan ekonomi domestik bagi mengurangkan kesan negatif
daripada faktor luaran.

 Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad
Tajudin, berkata walaupun kerajaan menyediakan persekitaran pelaburan
yang kondusif, Malaysia tetap terdedah kepada faktor luaran yang akan
mempengaruhi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).


 "Justeru, penubuhan dana pelaburan swasta berjumlah RM1.5
bilion (satu langkah diumumkan kerajaan) yang akan digunakan sebagai
geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur dalam subsektor
tertentu sedikit sebanyak mampu mengimbangi kesan daripada kemungkinan
pelabur asing meminggirkan Malaysia," katanya.


 Felo Utama, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Datuk Muhammad Salleh Majid pula berkata, langkah
yang diumumkan itu adalah menyeluruh dan memberikan manfaat, terutama
kepada syarikat dalam bidang pembinaan.

  

    
                        

    
"Setiap sektor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Kemerosotan
mana-mana sektor sudah tentu akan mengheret ke bawah pertumbuhan
ekonomi kita," katanya.


 Beliau yang juga adalah bekas Presiden Bursa Saham Kuala
Lumpur (kini Bursa Malaysia Bhd) turut menegaskan ada kewajaran bagi
kerajaan menyemak semula pertumbuhan ekonomi negara kepada 3.5 peratus
bagi 2009 berikutan penyusutan pendapatan syarikat akibat penurunan
harga eksport komoditi utama negara.


 "Perdagangan begitu penting kepada negara kita. Jika rakan
dagangan kita mengalami kemelesetan ekonomi, permintaan untuk barang
kita akan menurun.


 "Walaupun kita mengurangkan kebergantungan eksport ke Amerika
Syarikat (AS), negara rakan dagangan kita yang lain yang berdagang
dengan AS, negara Eropah dan Jepun juga akan mengalami penurunan
pertumbuhan ekonomi.


    
                        

    
"Ini bermakna permintaan barangan eksport kita juga akan berkurangan,"
katanya sambil menambah China masih tidak mampu menandingi AS sebagai
rakan dagangan dunia kerana ia hanya menyumbang sebanyak lima peratus
kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia berbanding AS
sebanyak 28 peratus.


 Ahli Ekonomi ECM Libra Investment Bank, Dr Lai Mun Chow,
berkata langkah tambahan itu tepat masanya untuk menyederhanakan
sebarang potensi kelembapan ekonomi dunia.


 Katanya, Malaysia perlu memberikan tumpuan kepada sektor
perkhidmatan bagi menyeimbangkan kesan kelembapan di AS yang akan
memburukkan tinjauan eksport Asia dan meningkatkan pendapatan. 



      

Kirim email ke