Berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah, aktiviti treasure hunt ini ialah satu permainan yang sangat versatile dan boleh dimainkan di mana-mana sahaja, termasuk di dalam taman! Di negara ini terdapat banyak taman tasik atau taman bunga yang besar yang terbuka untuk kegunaan orang ramai. Taman-taman ini juga banyak mempunyai tempat beriadah dan sesuai untuk seisi keluarga dan pelbagai peringkat umur.
Treasure hunt juga sesuai untuk dilakukan di taman bunga, terutama sekali taman yang mempunyai landskap yang menarik dengan rimbunan pelbagai jenis pohon dan aksesori lain yang menarik seperti gua buatan, terowong, parit besar, rumah di atas pokok, pondok rehat dan sebagainya. Yang penting, gunakan kreativiti anda untuk menganjurkan permainan ini di taman dengan mengambil kira pelbagai faktor. Lazimnya, keputusan untuk menjalankan aktiviti treasure hunt di taman dibuat untuk memudahkan peserta yang berkeluarga untuk turut serta. Selain kemudahan yang ada untuk kanak-kanak, taman juga merupakan satu tempat yang selamat untuk kanak-kanak berlari-lari tanpa perlu ibu bapa risau akan keselamatan mereka. Yang berikut disenaraikan tip berguna jika anda perlu menyorokkan klu untuk permainan treasure hunt ini sekiranya diadakan di dalam taman. 1. Tiada kanak-kanak Pastikan tidak ada kanak-kanak yang nampak anda menyembunyikan klu atau menanam sesuatu objek. Sudah menjadi fitrah kanak-kanak, mereka mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan akan berusaha untuk mencari jawapan kepada sifat ingin tahu mereka. Jadi, tidak hairanlah apabila ada kanak-kanak yang akan mengambil klu yang telah anda sorokkan atau menggali kembali objek yang telah ditanam untuk mendapatkan jawapan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut akan bergegas ke tempat yang telah anda sorokkan barang-barang dan mengambilnya. Ingat, bukan salah mereka kerana mencari sesuatu yang misteri atau berjaya menggali sesuatu benda yang berharga ialah satu pengalaman yang sangat menyeronok-kan mereka. 2. Tahu waktu taman beroperasi Kebanyakan taman mempunyai waktu buka dan tutup tertentu, ada yang ditutup dengan lebih awal dan ada yang tidak. Jadi, adalah penting bagi anda untuk mengetahui-nya kerana anda harus berada di sana lebih awal daripada orang lain untuk menyorokkan 'harta karun' anda. 3. Jauhi paip pancuran air (sprinkler) Sebelum anda menyorokkan sebarang klu atau objek, pastikan anda tahu tempat letaknya paip pancuran air (sprinkler) yang selalunya tersembunyi di celah-celah pokok. Kebanyakan pancuran diprogramkan untuk menyiram air pada waktu malam. Oleh itu, pastikan klu anda tidak akan dibasahi air, jika tidak anda akan mendapati semuanya telah hancur ataupun rosak keesokan paginya. 4. Cari taman yang sesuai dengan tema Bergantung kepada tema yang telah anda pilih, cari taman yang banyak mempunyai kolam air atau anak sungai yang kecil jika tema yang anda gunakan berkaitan dengan lanun dan air. Anda boleh menyembunyikan klu di dalam botol yang direndamkan di dalam air sungai. Namun, berhati-hati kerana anda tidak mahu botol tersebut dihanyutkan air! Untuk mengelakkan daripada perkara ini terjadi, anda mempunyai beberapa pilihan, iaitu: i. Mengikat muncung botol dengan tali atau benang halus pada batu atau pada dahan pokok. Tetapi pastikan benang atau tali ini tidak kelihatan kerana jika tidak, hal ini akan menjadi seperti jejak yang membawa peserta kepada botol tersebut! Pastinya permainan akan menjadi hambar dan tidak mencabar. ii. Memasukkan sesuatu benda yang berat di dalam botol tersebut sehingga botol tersebut tenggelam dan tidak boleh dibawa arus. Anda boleh mengisi dengan pasir ataupun batu kecil. iii. Meletakkan botol tersebut di celah-celah batu agar tidak boleh bergerak dan tidak akan dibawa arus. 5. Perkara penting ketika memilih taman Jika anda menggunakan taman awam yang besar dan banyak mempunyai pokok atau rimbunan pohon yang boleh menjadi tempat berteduh kepada orang yang tidak mempunyai rumah seperti pengemis atau orang yang tidak siuman, anda mesti berhati-hati kerana anda tentu tidak mahu mengganggu tempat persembunyian mereka. Selain itu, anda juga tidak mahu mereka melihat apa-apa yang ingin anda sorokkan kerana seperti kanak-kanak, orang dewasa juga kadang-kadang mempunyai sifat ingin tahu yang menebal! Sebelum anda memilih taman, pastikan taman tersebut diketahui oleh semua peserta agar tidak ada yang sesat nanti. Sediakan peta untuk ke taman tersebut untuk mengelakkan sebarang kelewatan yang tidak diingini. Sebelum memilih tempat, fikirkan tentang festival lain atau acara lain yang mungkin berlangsung di taman tersebut pada waktu yang sama. Jika terdapat festival yang dianjurkan di tempat yang dipilih, hal ini bermakna taman tersebut akan mempunyai lebih banyak pengunjung berbanding dengan hari biasa dan kesesakan akan berlaku. Jika terlalu banyak pengunjung, pastinya berlaku kekecohan dan jangan terkejut sekiranya tempat yang anda gunakan untuk menyembunyikan klu akan digunakan oleh orang lain. Jadi, sebelum anda membuat keputusan dan perancangan, semak dahulu dengan pihak pengurusan taman atau pihak berwajib lain untuk memastikan tiada acara utama lain yang berlangsung pada masa yang sama. Gunakan kebijaksanaan anda untuk memujuk mereka mengehadkan jumlah pengunjung yang datang supaya treasure hunt anda akan dapat berjalan dengan amannya. Jika boleh, cari lokasi yang mempunyai trek semula jadi atau buatan untuk memudahkan peserta. Hal ini dapat mengelakkan peserta daripada sesat di dalam taman sekiranya taman tersebut terlalu luas. Pastikan juga tiada syarikat lain yang menganjurkan sebarang hari keluarga pada hari yang sama untuk mengelakkan masalah yang sama. 6. Buat dengan sempurna Sebelum anda meletakkan sebarang klu di seluruh taman, pastikan anda sendiri berjalan mengikut trek yang bakal digunakan supaya anda mampu membuat anggaran tentang jarak yang harus ditempuhi oleh kesemua peserta. Jika ada peserta yang sudah berumur atau kurang upaya, anda juga harus mengambil kira keupayaan dan tenaga mereka. 7. Pastikan tempat meletak kereta mencukupi Perkara yang dianggap kecil tetapi penting ialah tempat meletak kereta bagi peserta dan pengunjung lain. Pastikan tempat meletak kereta mencukupi dan berdekatan dengan pintu keluar dan masuk taman untuk memudahkan pergerakan peserta dan penghantaran barang seperti makanan dan sebagainya. 8. Bersihkan taman awam sesudah tamat acara Apabila acara treasure hunt ini sudah selesai, minta kerjasama peserta untuk membersihkan kawasan sekeliling daripada sampah sarap dan botol-botol minuman. Sebagai warga yang bertanggungjawab, kebersihan taman merupakan tanggungjawab bersama. Jika tidak pandai menjaga kemudahan yang ada, pihak pengurusan taman mungkin akan menyenarai-hitamkan syarikat anda untuk aktiviti-aktiviti seterusnya pada masa hadapan. Harga senaskhah buku CARA MUDAH MENGENDALIKAN MAJLIS RASMI & AKTIVITI RIADAH SYARIKAT ini ialah RM20. Jumlah muka surat ialah 160. Maklumat lanjut tentang buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my.
