Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai
menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut awal bulan lalu.
Mahkamah juga memutuskan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan
enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka - di Bangunan
Perak Darul Ridzuan di Ipoh.
Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri
besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes
Stephen Kalong Ningkan.
Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan
diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.
Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata jika Sultan Perak mahu meletakkan
Mohamad Nizar meletakkan jawatan, maka baginda sepatutnya mengambil sidang
DUN untuk mengemukakan usul tersebut.
Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman
tersebut ditolak oleh mahkamah.
Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan
menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.
Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan
Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan
kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.
Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan
perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak
berhak memegang jawatan menteri besar.
Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri
besar yang sah atas tiga alasan berikut:
(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;
(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN
terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan
(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.
"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan
bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis
mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap
kosong.
"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada
jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan
fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit,
menyokong permohonan itu.
Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden
memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai
responden, berhak memegang jawatannya sekarang.
Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan
merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan
tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada
melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.