Selepas membaca artikel tentang Self Improvement di bawah, hati saya
terpanggil untuk menulis mesej ini berdasarkan pengalaman saya.  Saya pernah
mahu menulis buku, cuma saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya.

 

Saya dilahirkan di Air Hitam Batu 18 Muar Johor.  Sebuah kampong yang memang
terpencil dan hanya mempunyai kemudahan asas sahaja seperti api dan air.
Sebagai seorang perempuan, hidup saya hamper telah ditetapkan oleh
masyarakat di kampong saya iaitu selepas saya habis persekolahan saya.tidak
kira di tahap mana, perkahwinan akan menyusul.  Setiap hari saya cuma
membayangkan hidup saya di masa-masa yang akan datang..berkahwin, beranak,
menoreh getah dan seterusnya menjadi tua dan melihat anak cucu saya akan
melalui kitaran yang sama.

 

1986, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang saya terima memang mengejutkan
di mana saya mendapat keputusan yang cemerlang walaupun hari-hari
persekolahan saya hanya dipenuhi dengan sentiasa membantu orangtua saya di
kebun-kebun getah untuk mencari sesuap nasi.  Kegembiraan yang terpancar di
wajah saya tidak bertahan lama apabila ayah saya memberitahu bahawa dia
tidak mampu untuk menghantar saya ke menara gading.  Semenjak itu walaupun
saya tahu hakikatnya bahawa kejayaan saya tidak akan pergi sejauh mana, saya
sentiasa menanmkan di minda saya bahawa saya akan menjadi seorang graduan
universiti.  Bayangan itu sentiasa tertanam dengan jelas di mata dan minda
saya.  Semua tugas-tugas membantu orangtua saya dilakukan dengan bayangan
bahawa kerja-kerja itu adalah hasil daripada usaha seorang graduan.

 

Satu keajaiban telah berlaku di mana tiba-tiba surat tawaran biasiswa untuk
melanjutkan pelajaran saya terima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Betapa gembiranya hati saya hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.  Saya
diminta untuk memilih jurusan yang saya minati.  Memandangkan mereka yang
rapat dengan saya memilih untuk menjadikan perubatan sebagai bidang mereka,
maka saya telah memilih bidang yang sama iaitu perubatan dan bercadang untuk
melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia.  Bagaimanapun, secara
kebetulan nama saya bermula daripada Z, oleh itu saya adalah calon terakhir
yang ditemuduga pada hari itu dan kuota untuk calon skim perubatan telah
cukup.  Wakil daripada pihak JPA mengatakan saya akan dihantar ke luar
negara untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang Fizik memandangkan
keputusan Bahasa Inggeris dan Fizik saya adalah cemerlang.

 

Datang dari kawasan pendalaman dan ke luar negara adalah merupakan keajaiban
yang sangat menakjubkan buat saya.persoalan-persoalan bagaimana mahu
menyesuaikan diri dengan budaya, cuaca dan bahasa mula menghantui minda
saya.  Namun hati saya sangat kuat untuk tidak menjadi isteri orang dalam
waktu yang singkat membuatkan tawaran ini saya jadikan sebagai satu jalan
keluar daripada kemelut kitaran hidup yang diterimapakai oleh generasi
keluarga saya.  Saya bersama-sama dengan 12 pelajar daripada Malaysia telah
menjejakkan kaki di bumi Montreal, Kanada pada tahun 1989.  Kami menjadi
satu komuniti Melayu kecil yang menimbulkan sedikit kekeliruan kepada
masyarakat Montreal di mana mereka janggal melihat perempuan muda yang
bertudung.  Masalah utama saya iaitu bahasa benar-benar mendatangkan masalah
di mana pergaulan yang terhad kepada komuniti kecil ini telah melambatkan
proses pembelajaran saya kerana penggunaan bahasa Inggeris hanya dilakukan
melalui pendengaran dalam waktu yang terhad sahaja di kuliah-kuliah dan
waktu-waktu yang lain adalah penggunaan Bahasa Malaysia sahaja yang saya
utamakan.  Selepas gagal 2 subjek dalam semester pertama saya, keputusan
telah saya buat untuk berpindah ke asrama dan meninggalkan komuniti kecil
saya memandangkan komuniti yang tinggal di asrama adalah warga Kanada yang
bercakap dengan menggunakan dua bahasa sahaja iaitu Inggeris dan juga
French.

 

1992, saya telah berjaya menamatkan pengajian dan menjejakkan kaki kembali
ke bumi bertuah ini, Malaysia.  Diwaktu itu kemelut ekonomi sedang melanda
negara Malaysia di mana sukar untuk mendapat pekerjaan.  Saya membuat
keputusan untuk menjadi Supervisor di Polo Ralph Lauren (PRL).  Sewaktu saya
bekerja di Butik PRL, saya telah dianiayai oleh pengurus butik saya sendiri.
Bagaimanapun saya tidak putus asa, saya sentiasa memberitahu kepada diri
sendiri bahawa ini adalah pendakian kejayaan di dalam hidup saya.  Allah
memang sentiasa mendengar doa saya di mana saya telah diterima masuk ke kor
Juruterbang oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia.  

 

Sekali lagi kegembiraan saya tidak bertahan lama di mana sewaktu saya
melaporkan diri untuk latihan sebagai juruterbang saya dapati seramai 61
pelatih telah terpilih dan nisbah pelatih adalah 60:1 (lelaki:perempuan).
Ya Allah, dugaan apa yang ingin Engkau berikan kepada hambamu ini...Perkara
pertama yang saya lakukan adalah menutup sebahagian daripada minda saya di
mana saya hanya merasa apa yang ingin saya rasakan dan yang pahit itu
hanyalah khayalan saya sahaja.  Dan saya perlu menguatkan minda saya di mana
saya harus bertanding dengan pelatih lelaki untuk menunjukkan bahawa saya
mampu melakukan apa yang mereka mampu lakukan.  Kesyukuran saya panjatkan ke
Yang Maha Esa, di mana selepas setahun setengan berhempas-pulas di Pusat
Latihan Terbang 1 Alor Setar yang terkenal sebagai Neraka Tentera Udara,
saya adalah di antara 23 calon yang berjaya menerima badge juruterbang
daripada Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Ghani.  Sewaktu itu ada dua
perkara yang bermain di minda saya iaitu tohmahan bahawa saya telah
bersekedudukan dengan jurulatih demi mendapatkan badge juruterbang saya juga
ancaman bahawa sepanjang perkhidmatan saya bersama Tentera Udara mereka akan
memastikan bahawa kerjaya saya berada di dalam permasalahan.  Saya redha dan
menguatkan semangat serta minda saya bahawa rezeki, jodoh dan ajal adalah
kepunyaanNya dan bukan manusia.  Dan sesungguhnya hari-hari yang saya lalui
bersama Tentera Udara DiRaja Malaysia bukanlah mudah..  Demi mengalihkan
pemikiran saya daripada perkara-perkara negatif ini, saya mengeluarkan
perbelanjaan saya sendiri dan menyambung pelajaran di peringkan Sarjana di
Universiti Malaya dan seterusnya memulakan pengajian PhD saya di universiti
yang sama.  Keputusan yang saya buat untuk menyambung pelajaran ke peringkat
PhD merupakan satu tindakan yang mengakibatkan kerjaya saya sebagai
juruterbang Tentera Udara berakhir dalam tahun 2006.

 

Saya tidak pernah mahu mengalah kerana saya berpendapat bahawa hidup adalah
perjuangan..belajarlah kamu sehingga ke liang lahad dan setiap umat Islam
adalah wajib untuk menuntut ilmu dan saya percaya ilmu datang dalam pelbagai
bentuk cuma dari sudut mana kita melihat setiap perkara yang datang dalam
hidup kita, positif atau negatif.  Cabaran terbaru yang saya terima pada
hari ini, 2009, adalah memasuki kawasan kepunyaan lelaki sebagaimana kata
mereka dalam bidang pemantauan maritime di perairan Malaysia di mana pada
hari ini kehadiran saya di dalam dunia maritim telah ditolak oleh komuniti
yang memanggil diri mereka sebagai pakar di dalam bidang maritime.
Kepakaran yang terbina daripada bilik berhawa dingin dan melalui pembacaan
laporan dan jurnal yang ditulis terdahulu dan melahirkan teori mereka
sendiri berbanding dengan kepakaran yang terbina daripada aktiviti operasi
sebenar berhadapan dengan lanun dan aktiviti-aktiviti haram di laut yang
berhempas-pulas melakukan penerbangan di dinihari di mana semua masyarakat
Malaysia sedang enak diulit mimpi, saya bersama krew saya mengejar dan
menjejak kumpulan Abu Sayaf dengan meninggalkan suami dan anak-anak
beminggu-minggu lamanya demi kerana keamanan negara tercinta.

 

Saya juga sedang berusaha untuk memartabatkan arena penerbangan di Malaysia
agar Malaysia satu hari nanti diangkat oleh dunia sebagai sebuah negara yang
diiktiraf kualiti dan produk penerbangannya.  Saya tidak akan berputus-asa
dan saya sentiasa berdoa agar Allah memakbulkan doa dan niat murni saya demi
anak bangsa dan generasi akan datang. HIDUP MALAYSIA!

 

 

SEKIAN..

 

 

From: [email protected] [mailto:[email protected]] On Behalf Of
WargaSutera
Sent: Tuesday, May 19, 2009 12:55 PM
To: [email protected]
Subject: [Sutera] Self Improvement - Kecekalan/Persistence Kunci kejayaan

 







Untuk dikongsi bersama.
Sumber: tidak diketahui...

Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap
sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu
matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau
ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian
menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup
bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali
mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially
independent" . Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun
hanya 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi
pengajian tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula,
80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau
ketiga.

Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang terbaik
kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba
melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa hanya setelah beberapa
kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata yang pernah saya terbaca
dahulu, "When the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi,
"Quitters never win and winners never quit". Kata-kata ini telah sekian lama
saya sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan
setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang kegagalan.
Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya
faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu.

Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w
dalam mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga
terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak
seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam
tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain
daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun
setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa
masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar
dengan batu. Pengikut-pengikutny a diseksa. Keluarga mereka didera
dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk
melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di
Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah
yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad
s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup
luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat
perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya.
Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan
kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu
menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya
ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah.

Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini. Fikiran
mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan yang berjaya
mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi. Dengan fahaman matematik
yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu
kegagalan mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang
lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan
pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski
pun mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap
tidak putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12
kejayaan mula menjelma.

Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal
adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison
mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta
kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson
Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku
abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk
mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis
mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja
hanya kerana persistensinya.

Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi
adalah senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu
cepat putus asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman
bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka
yang
putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soal lah diri anda sendiri,
adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu
soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali? Puluhan
kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali
dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana mampu anda letakkan
nama anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya? Bagaimana pula jika anda
seorang dewasa? Pekerja ? Ibu/Bapa ? sudah pasti cabaran yang dihadapan anda
amat mengerunkan bukan? Air yang menitik secara berterusan itu mampu
menghakis batu. Parang yang diasah secara berterusan itu akan tajam.
Begitulah juga dengan diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha.
Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap
kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk
mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu
milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.

Sekian.

 



<<image001.jpg>>

<<image002.jpg>>

Kirim email ke