Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, 
agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta 
mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun 
merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, 
dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud 
termasuk kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran 
bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi 
sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak 
disukai. Diingatkan di sini, seseorang yang akan menyampai atau melafazkan 
pantun juga harus memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun dilafaz menjadi 
pertimbangan dalam penyampaikan isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian 
oleh orang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham 
kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan dengan sindiran dan nasihat. 
Begitu juga jika melafazkan pantun berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara 
melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu 
dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, Pantun Melayu yang dicipta 
oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai beberapa fungsi. 


2.1.1 Untuk mendidik 
Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat. 
Sebagai golongan yang 'makan garam' terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai 
pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. 
Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau 
bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, 
mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan 
didikan. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;


Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk 
tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberikan peringatan dan 
pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang 
salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


2.1.2    Untuk meluahkan rasa kasih sayang dan rindu

Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam 
kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna 
kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun 
sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian 
yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. 
Sebagai contoh, dapatlah kita lihat daripada pantun Melayu lama di bawah ini;

Ribu-ribu pokok mengkudu,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun kepada 
pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau suami 
isteri atau anak kepada ibu bapanya.


2.1.3    Untuk menyampaikan rasa penghargaan atau terima kasih
Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi dan 
jasa. Oleh itu, banyak dapat kita lihat pantun Melayu yang dicipta untuk 
menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah 
berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ini adalah 
seperti pantun di bawah:



Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Kedua-dua rangkap pantun di atas memperlihatkan masyarakat Melayu zaman dahulu 
memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.


2.1.4 Untuk adat istiadat
Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan 
sehari-hari. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara 
yang melibatkan adat istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah 
majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata 
sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. 
Pantun-pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat. Sebagai contoh, dapatlah 
kita lihat dalam pantun Melayu lama di bawah ini yang kerapkali dilafazkan 
dalam majlis merisik sehingga sekarang ini;

Tok Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.


2.1.5 Untuk sindiran dan tempelak 

Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak 
puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata 
lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat 
menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap 
sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan 
berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka. 
Perhatikan pantun sindiran Melayu lama di bawah ini yang masih kita gunakan 
sehingga sekarang;


Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.


2.1.6 Untuk menguji minda 

Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun 
sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji 
minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang 
masih diingati ialah;

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?

2.1.7 Untuk hiburan



Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada zaman 
dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun 
bersifat jenaka atau mengusik. Contohnya seperti pantun Melayu lama di bawah 
yang sememangnya kita ingat sejak kecil lagi.

Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.
Ada juga pantun yang dijadikan lagu untuk hiburan seperti lagu Dondang Sayang 
yang popular dalam kalangan Baba Nyonya.



Artikel di atas dipetik daripada Bab 2: Fungsi Pantun dalam buku ANEKA CONTOH 
PANTUN PILIHAN MENGIKUT ATUR CARA MAJLIS. Maklumat tentang buku ini boleh 
didapati di www.books.perintis.com.my.

Kirim email ke