Syahidah Pertama Dalam Sejarah: Sumayyah Bintu Khubath Radhiallahu Anha         
 PDF     Print           E-mail
Ahad, 28 Mac 2010 22:17
altaltRasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda "Bersabarlah wahai 
keluarga Yasir, kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian ialah syurga".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mendoakan keluarga Yasir, "Ya Allah, 
janganlah Engkau seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan api neraka".

Keluarga yang agung dan mulia ini menghimpunkan segala sisi keutamaan. 
Keutamaan-keutamaan ini semerbak harum menebarkan aroma kemuliaan dan ia 
tersebar dari generasi terawal memeluk Islam sehinggalah ke generasi akhir 
zaman.

Pemimpin keluarga ini, Yasir bin Amir bin Malik berasal dari Yaman. Beliau 
datang ke Mekah bersama-sama Al-Harits dan Malik dalam rangka menjejaki 
saudaranya. Mereka berdua kembali ke Yaman, sebaliknya Yassir terus menetap di 
Mekah. Beliau kemudiannya menjalin persahabatan dengan Abu Hudzaifah bin 
Al-Mughirah bin Abdullah Al-Makhzumy, yang kemudiannya menikahkannya dengan 
seorang hamba wanita, Sumayyah bintu Khubath, lalu melahirkan seorang anak 
lelaki, bernama Ammar. Abu Hudzaifah kemudiannya memerdekakan Sumayyah manakala 
Yasir dan Ammar tetap bersama-sama dengan Abu Hudzaifah sehingga meninggal 
dunia.

Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak pernah dikenali di seluruh pelosok 
Mekah sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di Ummul Qura. Beliau seorang 
wanita yang bersosok besar, usianya telah memasuki usia senja. Namun, beliau 
memiliki akal yang jernih, dan jiwanya memancarkan keikhlasan, bara dan 
semangat!. Tidak berapa lama selepas Rasulullah memulakan dakwah baginda, 
keluarga Yasir muncul sebagai di antara manusia terawal mengimani risalah Islam 
dan membenarkan kerasulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Keimanannya 
yang mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya sebagai pelopor wanita-wanita 
yang sabar dan tegar mempertahankan akidah. Bahkan beliaulah adalah orang 
ketujuh yang masuk Islam dan di antara orang terawal yang menampakkan 
keislamannya. Hal ini disebutkan oleh Al-Imam Adz-Dzahaby Rahimahullah di dalam 
bukunya, Siyar A'lamin-Nubala' menerusi riwayat Abdullah bin Mas'ud Radiallahu 
Anhu,

" Yang pertama sekali menampakkan keIslaman mereka secara terang-terangan ada 
tujuh orang; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Abu Bakar, Ammar, ibunya 
Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 
mendapat perlindungan dari bapa saudarany (Abu Talib). Abu Bakar mendapat 
perlindungan kaumnya. Yang lain-lain pula mengalami penyeksaan yang keras dari 
orang-orang musyrik, dikenakan baju besi lalu ditelantarkan di bawah terik 
matahari. Tidak seorang pun dari mereka kecuali harus memenuhi apa yang mereka 
inginkan, kecuali Bilal. Dia tidak peduli apa yang menimpa dirinya kerana 
Allah. Dia juga tidak peduli kepada kaumnya. Ketika dia diseksa, kanak-kanak 
kecil ikut sama mengerumuninya, dan dia hanya mampu mengucapkan, `Ahad, ahad, 
ahad".

Keluarga Sumayyah turut sama berada di barisan hadapan. Kemarahan kaum Quraisy 
benar-benar memuncak. Hampir setiap nafas mereka adalah hembusan kebencian 
kepada orang-orang yang mengucapkan "Rabb kami adalah Allah". 
Penyeksaan-penyeksaan tidak pernah menjadikan kaum Muslimin berundur, malah 
mereka tetap istiqamah dan terus mengikuti Rasulullah Sallallahu Alaihi 
Wasallam.

Sementara itu, baginda hanya mampu meniupkan kata-kata semangat dan motivasi 
keimanan kepada keluarga Sumayyah kerana tiada seorangpun yang mampu memberikan 
jaminan kepada keluarga tersebut. Keluarga itu menerima pelbagai jenis 
penyeksaan dari orang-orang musyrik yang terbakar oleh api dendam dan kebencian 
terhadap dakwah Islam. Mereka memuaskan keinginan yang gila dengan menyeksa 
Sumayyah dan keluarganya.  Ibnu Atsir Rahimahullah menyebutkan di dalam 
kitabnya, Usdul Ghabah, tentang seksaan yang dialami oleh Sumayyah dengan 
berkata, "Dia termasuk orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam dan dia juga 
termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat seksaan yang keras kerana Allah".

KELUARGA YANG SABAR
Tiada yang mampu dilakukan manusia kecuali terkagum terhadap keluarga Yasir, 
sebuah keluarga yang mulia, yang diberi kemudahan, dan yang mampu menggegarkan 
para pemimpin kaum musyrikin Mekah. Mereka yang sebelumnya dikenali sebagai 
orang-orang yang lemah lembut, tidak lagi mempunyai sifat itu tatkala 
berhadapan dengan kaum kafir yang cuba mengoyakkan keimanan mereka. Bahkan kaum 
musyrikin hampir hilang akal kerana rasa marah ketika melihat keluarga ini 
semakin tenang dan mantap, tidak gerun terhadap seksaan, tidak beranjak sedikit 
pun dari akidah mereka, malah tidak surut kesabaran mereka ketika dijemur di 
bawah terik matahari dalam keadaan kehausan. Ketegaran keluarga ini membuatkan 
kaum musyrikin kehairanan, bingung dan semakin berang. Mereka mengheret Ammar 
bersama kedua ibubapanya ke tengah-tengah padang pasir yang panas sepanasnya, 
agar mereka keluar dari Islam. Ironinya, keluarga sabar ini sentiasa bertambah 
keimanan mereka seiring dengan semakin pedihnya seksaan. Mereka semakin pasrah, 
terutamanya setelah mereka mendengarkan doa memohon pengampunan bagi diri 
mereka oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Salim Abul-Ja'd meriwayatkan, beliau berkata, "Utsman memanggil beberapa 
sahabat Rasulullah, di antaranya terdapat Ammar bin Yasir. Ustman berkata, `Aku 
akan menyampaikan kepada kalian hadis tentang Ammar. Aku bersama Rasulullah 
pergi ke Al-Bathha' sehingga kami menemui Ammar berserta ibubapanya ketika kaum 
musyrikin menyeksa mereka. Yasir berkata kepada Rasulullah, "Apakah selamanya 
aku akan begini?". Baginda bersabda, "Bersabarlah!". Kemudian baginda bersabda, 
"Ya Allah, berilah ampunan kepada keluarga Yasir, kerana Engkau telah berbuat 
apa yang Engkau Perbuat" . [Ditakhrij oleh Ahmad]

PENENTANGAN SUMAYYAH
Kaum musyrikin Quraisy hampir tidak pernah menghentikan seksaan terhadap 
Sumayyah dan keluarganya. Selepas suaminya meninggal dunia akibat penyeksaan, 
Sumayyah semakin menentang dan memberikan reaksi keras terhadap Bani 
Al-Mughirah bin Abdullah bin Makhzum, yang dipelopori oleh Abu Jahal. Dia 
layaknya orang yang tidak waras dan tidak berperasaan ketika berhadapan dengan  
ketegaran Sumayyah mempertahankan akidahnya. Baginya, kedegilan Sumayyah ialah 
perlecehan terhadap dirinya. Sumayyah telah berjaya mencarik-carik kebesaran 
nama Abu Jahal di kalangan kaum musyrikin kerana kesabarannya terhadap kerasnya 
seksaan. Hati Abu Jahal hampir saja meledak kerana Sumayyah tidak mahu 
memperolok-olokkan dan mengeji nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, 
walau dengan hanya satu kata seperti yang dipaksakan Abu Jahal kepadanya.

Abu Jahal (semoga Allah menghinakannya), tidak membiarkan satu pun sarana untuk 
menghalangi manusia dari jalan Allah, melainkan dia akan menggunakannya. Dia 
tidak mendapatkan satu jalan pun untuk menekan orang-orang Mukmin, melainkan 
dia akan melaluinya. Ibnu Ishaq Rahimahullah, menyampaikan satu gambaran yang 
jelas tentang hal ini, dengan berkata,

" Abu Jahal, orang jahat yang terperdaya di tengah-tengah kaum Quraisy, jika 
mendengar berita seseorang masuk Islam, dan orang itu adalah orang yang 
terpandang dan mendapat jaminan perlindungan,maka dia hanya akan 
mengingatkannya dan menegurnya dengan berkata, `Kau tinggalkan agama bapamu, 
padahal bapa-bapamu adalah lebih baik darimu. Kami benar-benar akan mengalahkan 
pendapatmu dan benar-benar akan menghinakan kehormatanmu.'

Jika yang dihadapinya adalah seorang pedagang, maka dia akan berkata 'Demi 
Tuhan, kami benar-benar akan membuatkan kamu rugi dalam perniagaanmu, dan kami 
benar-benar akan menghancurkan harta bendamu'. Jika yang dihadapinya adalah 
orang yang lemah, maka dia akan memukul dan menyeksanya semahu-mahunya. Semoga 
Allah melaknat dan memburukkannya"

SYAHIDAH PERTAMA
Sumayyah Radiallahu Anha adalah wanita pertama yang menampakkan keIslamannya, 
di samping menjadi syahid pertama yang mengorbankan dirinya di jalan Allah. 
Dalam peristiwa kesyahidannya itu, terkandung pelajaran-pelajaran berharga bagi 
sesiapa yang memiliki hati atau mempunyai pendengaran. Beliau menjadi sosok 
syahid yang sebenarnya dan mempamerkan hakikat sabar kepada para generasi 
seterusnya.

Setelah suaminya, Yasir meninggal dunia kerana penyeksaan yang sangat berat, 
Sumayyah Radiallahu Anha diserahkan pula oleh Abu Hudzaifah kepada Abu Jahal, 
sehingga si jahat itu dapat menyeksa dengan segala cara yang diinginkannya 
disamping mengejek-ejek diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan 
sejuta sumpah seranah dan umpat keji. Suatu petang, Abu Jahal bersikap keras 
kepada Sumyyah, kemudian berkata kepadanya, "Engkau tidak beriman kepada 
Muhammad melainkan kerana engkau tergila-gila kepada ketampanannya".

Apa pula reaksi Sumayyah? Beliau memberikan jawapan yang tidak kalah kerasnya, 
lantaran kemarahannya yang tidak tertahan dengan tuduhan Abu Jahal itu. 
Keangkuhan Abu Jahal terbukti apabila beliau menikamkan tombak ke tubuh 
Sumayyah sehingga menyebabkan Sumayyah meninggal dunia sebagai syahid, rohnya 
naik kepada Penciptanya dalam keadaan redha dan diredhai, kerana telah 
memberikan kesaksian tidak berbelahbagi bahawa tiada Ilah selain Allah, dan 
bahawa Nabi Muhammad adalah Rasul Allah.

Mujahid Rahimahullah berkata, "Syahid yang pertama di dalam Islam ialah ibu 
Ammar, Sumayyah yang ditikam Abu Jahal dengan menggunakan tombak, tepat di ulu 
hatinya" .(Al-Bidayah Wan-Nihayah, 3/59)

Ibnul Jauzy Rahimahullah berkata," Dia adalah syahid pertama di dalam Islam. 
Semoga Allah redha kepadanya sebagaimana Allah membuatkannya redha".

IBNU SUMAYYAH
Sumayyah, nama ini dan sahabiyah ini tetap hidup abadi menebarkan keharuman 
setelah mati syahid dan beruntung telah meraih keredhaan Allah. Rasulullah 
Sallallahu Alaihi Wasallam terbiasa memanggil anaknya Ammar, dengan sebutan 
"Ibnu Sumayyah". Maka, tidak dapat lagi dimungkiri bahawa panggilan yang 
diberkahi ini merupakan penghormatan terhadap sahabiyah yang sabar dan baik 
ini. Panggilan itulah yang lebih sering meluncur dari lisan Rasulullah 
Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia.

Abdullah bin Mas'ud Radiallahu Anhu pernah berkata, "Aku pernah mendengar 
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, `Jika manusia saling 
berselisih, maka Ibnu Sumayyah berada pada kebenaran". (Kisah ini disebutkan di 
dalam Siyar A'lamin-Nubala, 1/415-416; Tarikhul Islam, Adz-Zahaby, 3/575)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga sering menyebutkan nama Sumayyah 
dengan keutamaan dan kebaikan. Sewaktu Perang Badar, baginda menyampaikan 
khabar gembira bagi "orang baik yang mendapat kebaikan". (Julukan untuk Ammar, 
kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda kepadanya, 
`Selamat datang wahai orang baik yang mendapat kebaikan'). Di dalamnya 
disebutkan juga nama Sumayyah. Peristiwa ini dikisahkan ketika musuh Allah, Abu 
Jahal terbunuh di dalam Perang Badar. Ketika itu Rasulullah menggembirakan 
Ammar dengan berkata "Allah telah membunuh orang yang membunuh ibumu".

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mendoakan untuk Sumayyah dan 
keluarganya dengan doa yang diberkahi ketika Ammar mendatangi Rasulullah 
mengadu seksaan yang dihadapi oleh ibubapanya termasuk dirinya sendiri. Beliau 
berkata, "Wahai Rasulullah, kami mendapatkan seksaan yang sangat keras". 
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Bersabarlah wahai Abul Yaqzhan 
(julukan lain bagi Ammar). Ya Allah, janganlah Engkau seksa seorang pun dari 
keluarga Yasir dengan api neraka" (Al-Isti'ab, 4/325; As-Sirah Al-Halabiyah, 
1/484)

NISA' MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Inilah kisah sahabiyah yang sabar, yang disajikan sirahnya sebagai wanita yang 
teguh hati pada kebenaran dan keimanan, sehingga menjadi pelopor di dalam 
perjuangan Islam sepanjang zaman. Ibnu Abdil-Barr Rahimahullah memuji Sumayyah 
dengan berkata, "Dia termasuklah orang yang diseksa kerana Allah, dan sabar di 
dalam menghadapi seksaan. Dia termasuklah wanita yang berbaiat, baik dan 
terutama" (Al-Isti'ab, 4/324)

Semoga Allah merahmati Sumayyah ibu Ammar, wanita dan orang pertama yang mati 
syahid di dalam Islam, ibu orang yang pertama membangun masjid dan digunakan 
untuk solat. Kesejahteraan bagi keluarga Yasir, kesejahteraan ke atas kalian 
kerana kesabaran kalian dan sesungguhnya kalian akan mendapat balasan yang 
sebaik-baiknya.

"Terimalah khabar yang baik wahai keluarga Ammar, kerana tempat yang dijanjikan 
bagi kalian adalah syurga" (Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang 
disampaikan oleh Ustman Al-Affan. Dipetik dari Thabaqat Ibnu Sa'ad, 3/249; 
Majma' Az-Zawaid, 9/293; Tarikhul Islam Adz-Zahaby, 3/572)

Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah telah memberi dari orang-orang Mukmin, diri dan harta 
mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang kerana Allah, 
lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari 
Allah di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih 
menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli 
yang telah kalian lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar" (At-Taubah: 
111)

http://www.mykhilafah.com/hizbut-tahrir


Kirim email ke