Kisah Pendeta Insyaf

Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan 
dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu 
peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku keluar 
menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba aku 
tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani 
(Pendita Kristian)."
Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah aku 
bersahabat denganmu?"

Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu."
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta 
makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, 
"Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku telah menderita kelaparan. 
Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu."
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan 
berkata, "Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan 
aku di hadapan seteru engkau ini."

Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit 
berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun 
makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
"Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan 
dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, "Hai rahib 
Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib itu menghadap 
kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang 
diturunkan kepadaku dulu."

Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata 
kepada rahib itu - Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan 
sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku."
Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah 
telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. 
Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku 
telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, 
tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang 
ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah)."

"Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun 
meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami 
mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu 
ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil 
haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah."
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai Ibrahim, 
sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan 
persahabatan dan persausaraanku denganmu."

Sebaik sahaja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang 
terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka 
aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan 
hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat 
rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan 
pakaian sutera yang indah."
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku 
kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?"

Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi 
dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku) 
kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia 
dan berhampiran dengan engkau di akhirat."
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu 
akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang 
dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, 
maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya."

Diambil dari 1001 kisah teladan

Robby Nuzly, S.Si.,Apt
Direktorat Pengawasan Produksi
Produk Terapetik dan PKRT
Badan Pengawas Obat dan Makanan RI
JL. Percetakan Negara No. 23 Jakarta
E-mail:[EMAIL PROTECTED]

       
---------------------------------
Looking for a deal? Find great prices on flights and hotels with Yahoo! 
FareChase.

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke