Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta
menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai
syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan
supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam
semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan
makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang
bermaksud:

*"Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri
kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).
*


**

Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala
bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya
dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan
cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang
bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima
oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman
yang bermaksud:

*"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa
pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". ( Surah al-Kahfi: ayat 110).
*


**

Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan
bahawa: *((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik
hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan
hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua
rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas
kepada Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw).*

(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’,
cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).


Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin
‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: *Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan
penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika
dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima,
sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas
itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu
pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw. *

(Ibn Rejab al-Hanbali, *Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam*, (Beirut: al-Maktabah
al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).


*Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya. *

Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam
bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan
terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan
di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah,
2001), m/s 215)

Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini
dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut
dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan
amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan
semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan
syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat
Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu
bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh
Rasulullah saw.


Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini
yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:

*1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa
al-Mi’raj. *

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj
merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah
Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw
serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam
bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab.
Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan
amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu.
Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh
Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: *Dan malam ini yang dikatakan berlaku
padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun
yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat
yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah
tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah
jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan
walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini,
tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan
amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan
sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah
merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya
menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan,
semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata
atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda
saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para
sahabat ra kepada kita.*

(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, *al-Tahzir min al-Bida’*, cetakan ke-3,
Uni. Islam Madinah, m/s 7).


2) *Solat Raghaib*

Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan
oleh Anas bin Malik ra, katanya: *Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan
Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang
pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian
melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal
malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca
pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan
surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat
dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70
kali, kemudian membaca*: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa
‘ala alihi),* kemudian sujud dan membaca*: (Subbhuhun Quddusun Rabbu
al-Malaikatu wa al-Ruh)* sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan
kemudian membaca: *(Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta
al-‘azizu al-a’dzam)* sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan
membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah
segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan
demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun
perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah
sekelian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di
pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang
di kalangan kaum keluarganya…) ) *

(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2,
m/s 124-125).


Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: *((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke
atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn
Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab
berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang
peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang
mereka).
*

*
*

Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: *al-Fawaid al-Majmu
‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah*: *(Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya
adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah
sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’).*

*
*

Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang solat
Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang hukum
mengerjakan solat tersebut.


Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: *Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang
ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai
percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan
mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang
bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang
yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil
tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya
adalah terlalu banyak dan tidak terhitung.*

*
*

(Al-Nawawi, *al-Minhaj Syarah Sahih Muslim*, (Bierut: Dar al-Ma’rifah,
cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.

Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang kewujudan
solat ini dengan berkata: *Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan oleh
Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat
Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak
menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan
imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya
keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut
mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh
kerana itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh,
bukan sunat).*

(Ibn Taimiyah, *Majmu’ al-Fatawa*, 1/149)


Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula*: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur
(kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini
adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu
Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan
yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal
disebabkan ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang
terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah
golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak
membincangkannya *

(Ibn Rejab, *Lataif al-Ma ‘arif*, m/s 228)


Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat
Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka
semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu
bid ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh
mengamalkannya kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun
para sahabat ra serta al-tabi’in.


 3) *Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap
ianya mempunyai fadhilat yang khas.*

Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau
sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan
fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas
bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran
atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith
yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan
oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada
di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith
maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:



1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu
Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah
saw bersabda:

*"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka
barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan
pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung
dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang
berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda,
timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang
berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan
Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang
berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala,
gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…." *

Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.


2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa
Rasulullah saw bersabda:

*"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang
berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa
seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah
menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari
bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…" *

Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin
‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.


3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw
bersabda:

"*Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang
berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu
menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".*

Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab
*Fawaid*susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.


Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang
tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab
ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat
puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat
diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan
kaedah dan prinsip asas agama.


Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: *Tidak terdapat
hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat
khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau
berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.*

(Ibn Hajar, *Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab*, m/s 23).


Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau
pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di
bulan Rejab.

(al-Suyuti, *al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’,* (Bierut: Dar
al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).


Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya *al-Fawaid*: *(Dalam
satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan
mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai
sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau
melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw
mengenainya ).*

(Al-Syawkaniy, *al-Fawaid al-Majmu’ah*, m/s 440).


Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain
yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai *‘Istighfar*
*Rejab’*. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau
menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat
pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.


Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini
dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada
bulan Rejab.


Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam
bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang
mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh
Allah dan mendapat ganjarannya? . Atau ianya *tidak mendapat apa-apa kecuali
penat dan letih sahaja*. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang
dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk
membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat
Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah
Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.

http://haluantarbawi.com/index.php?option=com_content&task=view&id=52&Itemid=9

---

bonus taja RM84,108 + bonus pool RM27, 993
*http://nextcash.biz/341*


hantar 10,000 emel dengan sekali klik + bonus taja RM244,140 + bonus pool
RM45,438

*myrm10.com/?ref=1210*

--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
You received this message because you are subscribed to the Google Groups 
"TsunamiWang Group" group.
To post to this group, send email to [email protected]
To unsubscribe from this group, send email to 
[email protected]
For more options, visit this group at 
http://groups.google.com/group/TsunamiWang-Group?hl=en
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke