DIKIR BARAT           


1.    PENGENALAN

Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat 
Melayu di Kelantan.  Ianya wujud dikalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan 
pinggir bandar.  Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai 
oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara.  Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas 
pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan 
lantang.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebgai hiburan atau pun dipertandingkan. 
Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di 
majlis perkahwinan.  Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia 
tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip  wang.  
Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional 
yang lain.  Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari 
bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan Dikir ialah hasil dari 2 kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir 
dan karut. Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk 
pantun atau syair.Jadi  Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah 
sama ertinya.  Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat 
dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

2.    ASAL USUL

(a)    Dikir Barat Berasal Dari Selatan Siam

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat.  Ada yang 
mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih 
terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan.  Mengikut 
orang-orang Kelantan, perkataan Baarat ini bermakna Selatan Siam.  Ini tidak dapat 
dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh 
Kerajaan Siam.  Rakyat daripada kedua=dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan 
dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat.  
Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya 
ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya 
sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

(b)   Dikir Barat Berasal Dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa Dikir Barat ini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya 
ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana.  Sewaktu beliau memperkenalkan 
Dikir Barat, orang-orang menganggap Dikir Barat sebagai satu hasil seni yang baru 
kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana 
Besar.

(c)    Dikir Barat Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang

Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan.  Ramai 
orang mengenali beliau kerana Dikir Barat.  Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji 
Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu.  Beliau telah 
mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam.  Beliau 
telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. jadi 
sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir 
tanpa pantun.

Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan 
cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar 
Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya.  Awak-awaknya terdiri 
daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang 
dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan 
pantun-pantun untuk menyedapkan lagi Dikir Barat.

3.    Persediaan sebelum bermain.

Bermacam-macam persediaan dilakukan sebelum pertunjukkan dikir barat dipersembahkan.

(a)    Menempah tukang karut dan juara. jikalau satu-satu pertunjukkan dikir barat itu 
dianjurkan oleh  satu-satu badan,terpulanglah kepada penganjur itu menempah tukang 
karut dan juara yang sesuai untuk persembahan dikir barat itu. Awak-awak tidak payah 
ditempah kerana tiap-tiap juara sudah mempunyai awak-awaknya sendiri. Selalunya 
penganjur inginkan tukang karut dan juara yang popular.

Penganjur akan menempah tukang karut dan juara sama ada  di rumahnya sendiri,melalui 
orang tengah ,di tempat mereka sedang menunjukkan permainan ataupun dimana-mana mereka 
berjumpa.

(b)     Mendapat Kebenaran Bermain

Satu lagi tugas penganjur ialah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa seperti 
Penghulu, penggawa, pegawai Polis dan Ketua jajahan Daerah.

(c)    Iklan-iklan ditampal, disebar dan didedahkan di sekitar kawasan kampung dalam 
bahasa atau loghat daerah.  Walau bagaimanapun pengumunan melalui pembesar suara 
sangat popular.  Pihak penganjur akan pergi ke kampung-kampung yang berdekatan pada 
petang itu dan memberitahu yang permainan tersebut akan diadakan di kampung yang 
tertentu. Di antara pengumumannya berbunyi begini:

"jange lupa adik kakok ini male Dikir Barat  di pade Stadium Sultan Muhammad Ke IV, 
Kota Baru. Tok Jora dea Tukang karut tersohor seluruh Kelate, Jen Endoro, Megat 
Nordin, dan ghama lagi. Dikir Barat Rekod Dunia...  jange lupa, datelah beghama-ghama"

(d)    Tempat bermain

Permainan Dikir Barat di atas Pentas. Bentuk pentas mengikut corak permainannya itu.

    (i)    Bangsal Atau pentas Untuk pertunjukan Percuma

        Jika permainan ini dipertunjukkan di hari-hari perayaan atau majlis-majlis 
perkhawinan  maka bangsal atau pentasnya diperbuat tinggi kira-kira 4 kaki. 
Pertunjukan ini percuma dana semua penonton dapat melihat dari jauh.  Bangsal ini 
biasanya dibuat daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa.

    (ii)    Bangsal Atau Pentas Untuk Pertunjukan Yang Dikenakan Bayaran

Kadangkala ada juga penganjur yang menganjurkan permainan ini dengan tujuan mengutip 
wang.  penonton dikenakan bayaran masuk.  Pentas dibuat sempurna supaya semuanya dapat 
menonton.

4.    PERSEDIAAN ALAT-ALAT MUZIK

    (a)    Rebana Ibu dan Anak

    Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing 
dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. 
 Badan dibuat daripada kayu yang tidak dalam (5' - 6' dalam).  Belulang dikemaskan 
dengan menggunakan pancang kayu antara cincin danaa bahagian bawah badannya.  Rebana 
Anak lebih kecil saiznya daripada aRebana Ibu.

    (b)    Tetawak

    Tetawak dibuat daripada perunggu berbentuk bulat.  Dindingnya tebal. berbusut di 
tengah-tengah permukaannya.  Picnya lebih tinggi dari gong agung.  Biasanya tetawak 
ini digantung dan dipalu busutnya.

PAKAIAN

Di dalam permainan Dikir Barat di kelantan yang berasal dari Selatan Siam ini, tidak 
ada pakaian tertentu atau yang menarik dipakai oleh juara, Tukang karut dan awak-awak. 
 Ini tidak dapat dinafikan kerana permainan ini adalah permainan rakyat biasa di 
kawasan-kawasan sawah padi dan kampung-kampung, tetapi kini lengkap berpakaian kemas 
dengan destanya sekali.



6.    KUMPULAN AHLI-AHLI

Di dalam satu-satu pasukan Dikir Barat terdiri daripada seorang Tukang karut , seorang 
juara dan beberapa orang awak-awak (Selelunya antara 15 ke 30 orang).

   (i)    Tukang Karut 

Tukang Karut merupakan orang yang paling penting dalam satu-satunya pasukan dikir 
barat.  Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair.  
Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya.  Maka 
idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua 
kali.

   (ii)    Juara

Juara merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan Dikir Barat. Tugasnya ialah 
berdikir sebelum Tukang karut mengarut.  Hanya kadangkala, juara juga terpaksa 
mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba (biasanya di awal permainan) , tapio 
masanya tidaklah lama, Juara berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi 
Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri.

   (iii)    Awak-awak

Awak-awak ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat.  
Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun.  Pada praktiknya 
orang-orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awak-awak.

Gelaran awak-awak ini mengambil sempena dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut 
dalam sebuah perahu di bawah jaggan seorang ketua yang dipanggil "Keragan" jadi 
keaddda ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di 
bawah jagaan ketua mereka, Juara.

   (iv)    Lagu Karut Dikir Barat.

Di antara lagu-lagu Dikir Barat yang terkenal ialah:

1.    Karut Kelantan cepat.

2.    Karut Kelantan Anjur (Perlahan)

3.    Karut Petani,

4.    Karut Wok Yoh

5.    Karut pendek

6.    Karut Ynngki Cepat

7.    Karut Yangki Anjur

8.    Karut Yangki Tengah ( Sederhana)

9.    Karut Yengki Ding Ding

10.  Karut Alo

11.  Karut Selampit

12.  Karut Menora

13.  Karut Jenaka Mak Yong

14   Karut Wau Bulan



Ada tiga jenis irama  Dikir:



1.    Irama Asli

2.    Irama Padang Pasir.

3.    Irama Hindustan.



CARA PERSEMBAHAN

Di dalam permainan ataupun persembahan Dikir Barat selalunya ada dua pasukan yang 
mengambil bahagian di suatu masa.  mereka akan berbalas-balas pantun , sindir 
menyindir tak ubah seperti orang berkelakar.  Walau bagaimanapun ini ialah sebagai 
hiburan sahaja.  Persembahannya adalah di dalam loghat kelantan.  Akhir sekali untuk 
penghabisan, Tukang Karut sebelah pihak akan mengalunkan lagu sedih.  Di antaranya 
lagu Wau Bulan, Kulat Malam, Ikan Duyung, layang-layang dan lain-lain lagi.  Disamping 
itu Tukang karut ini meminta maaf dan mengenangkan nasib untung Tukang Karut. Antara 
rangkap lagu Wau Bulan ialah:

Lagu Wau Bulan

Eee wa ee wa bulan

wau bulan teraju tiga ...(Korus)

Minta maaf adik kakok sekalian,

kalau ado silap jangan simpan dalam dado



Tinggal kasih menolak sayang

kalau panjang umur semula pulok kita jumpo



Ohhh sama-sama paling belake

selamat tinggal nok baliklah ambo.

8.    PEMBAHARUAN DALAM DIKIR BARAT

Semenjak pihak RTM (Radio dan Televisyen malaysia) menyiarkan Dikir Barat ini sebagai 
salah satu rancangannya dan juga semenjak diadakan pertandingan Dendang Rakyat. Dikir 
Barat ini mengalami beberapa proses perubahan dari beberapa segi.  Perubahan dan 
pembaharuan terdapat di dalam bentuk pakaian, tempat, cara persembahan dan juga 
lagu-lagu yang didikirkan.

Pada asalnya tidak ada pakaian seragam di dalam permainan dikir barat, tapi sejak 
kebelakangan ini dan sejak diadakan pertandingan Dikir Barat dalam pertandingan 
Dendang Rakyat kebanyakan pasukan Dikir Barat ada mempunyai pakaian seragam bagi 
kumpulan masing-masing.



Lagu-lagu yang didikirkan kebanyakannya bertemakan pembangunan, dasar ekonomi baru 
kerajaan, pembelajaran, perpaduan, kebudayaan dan lain-lain. Tidak terdapat lagu-lagu 
berunsur lucah didikirkan seperti beberapa tahun yang lepas.



9.    PENUTUP

Demikianlah persembahan Dikir Barat yang asalnya adalah dalam bentuk Dikir yang diubah 
suai dengan pantun-pantun yang ada dalam masyarakat melayu. Kemudiannya diselit dengan 
lagu-lagu lucu, sedih dan sebagainya.

Dikir Barat ini berkembang begitu pesat dengan tertubuhnya beberapa kumpulan Dikir 
Barat di tanahair dan telah menjalani beberapa proses perubahan dan pembaharuan.  
Dikir Barat bukan sahaja sebagai arena hiburan tetapi ianya juga mampu menyampaikan 
"mesej" Kerajaan kepada rakyat dan cara pemikiran masyarakat.

*************************

Diterbitkan semula di laman web Pesisir dengan izin daripada Pejabat Kebudayaan dan 
Kesenian Negeri Kelantan.



[Non-text portions of this message have been removed]



Memetakan Tumpat dalam IT.
http://edi.bebto.com
http://panduan.7p.com

E-mel web base percuma untuk warga Tumpat

http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
     http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
     [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
     http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke