http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20040428220648/Article/

- Sastera - 

29 April 2004 (Khamis)






Hashim sara keluarga hasil karya kreatif


HASHIM salah seorang daripada pengarang novel sepenuh masa di Kelantan. Adakah Hashim 
bermula dengan cerpen?

Saya sememangnya bermula dengan cerpen sebelum aktif dalam penulisan novel. Ketika itu 
saya dalam Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Tumpat. Cerpen saya, Aku dan Kenangan, 
dibacakan dalam Rancangan Rampaian Rasa, Radio Malaysia Kawasan Timur. Saya sangat 
gembira apabila cerpen itu dipilih penerbit sebagai karya yang dibacakan. Ia menjadi 
pendorong untuk saya terus menulis cerpen. 

Apakah yang mendorong Hashim menulis cerpen ketika itu?

Kejayaan kawan saya, Asmuin Mustafa, memenangi hadiah sagu hati peraduan menulis 
cerpen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi pendorong. Saya suka menulis cerpen 
berkaitan budaya Melayu kerana saya yakin orang Melayu sudah melupakan aspek itu.

Cerita seperti silat, buat rebana, wayang kulit dan muzik tradisional Kelantan. Cerpen 
saya banyak mengangkat budaya rakyat Kelantan.

Hashim dikatakan mendapat bimbingan penulis hebat di Kelantan, Norhisham Mustafa. 
Apakah benar?

Saya kagumi kemampuan beliau menyara keluarga dengan menjadi penulis sepenuh masa. 
Saya berikan cerpen saya kepada beliau untuk disemak. Saya berguru dengan beliau sejak 
akhir 1980-an. Dari situ, saya menimba banyak pengalaman. Saya belajar teknik 
penulisan dan bagaimana penulis sepenuh masa boleh hidup. Saya ikut jejak langkah 
beliau menjadi penulis sepenuh masa. Saya mendirikan rumah tangga selepas saya memilih 
untuk menjadi penulis sepenuh masa. Ada orang kata penulis sepenuh masa tak boleh 
menyara keluarga. Saya ada kebolehan menulis dan seperti seorang tukang, semua boleh 
bertukang tetapi bukan semuanya boleh membina rumah. Saya memberi tumpuan kepada 
penulisan cerpen, novel dan skrip drama radio.

Novel pertama Hashim, Serunai Malam, apakah ditulis selepas Hashim mengambil keputusan 
untuk menjadi penulis sepenuh masa?

Ya, novel itu diterbitkan oleh DBP pada 1991. Saya mengambil masa sebulan untuk 
menyiapkan novel itu. Lebih kurang 100 halaman. Ceritanya mengenai seorang remaja 
lelaki yang miskin. Dia seorang graduan universiti tetapi menyara keluarganya dengan 
menjual serunai dan meniup serunai. Dia berkemahiran membuat serunai dan menjualnya. 
Dia amat sayang akan budaya bangsanya. Novel itu berharga RM 5 senaskhah. Saya masih 
menerima royalti untuk novel berkenaan sehingga hari ini. Novel Alifah Ilyana menyusul 
pada 1994 dan DBP juga penerbitnya. Kisahnya mengenai seorang remaja lelaki yang 
mencintai seorang gadis berbangsa Jepun yang datang melancong di Kelantan. Dia berjaya 
membuka hati gadis itu memeluk Islam tetapi tidak dapat menikahinya. Novel ketiga 
saya, Permata di Anjung Desa, diterbitkan pada 1997 oleh DBP. Cerita mengenai seorang 
remaja miskin yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti. Sudah 30 novel saya 
diterbitkan. Selain DBP, ada juga novel saya yang diterbitkan oleh Utusan Publication 
dan Creative Enterprise. Novel Mengalas Keringat dan Kemilau Rindu diterbitkan oleh 
Creative Enterpise pada awal tahun ini. Sekarang saya dalam proses menyiapkan Biarkan 
Pelangi Bercantum untuk dihantar kepada Creative Enterprise.

Bagaimana Hashim boleh menghasilkan skrip drama?

Saya belajar daripada Norhisham juga. Skrip drama saya, Serunai Malam berjaya 
melayakkan diri ke pertandingan Anugerah Seri Angkasa RTM pada 1987 manaka Ainul 
Mardiah (1989). Skrip Serunai Malam saya kembangkan daripada novel pertama saya. 
Bagaimanapun skrip drama saya tidak pernah dipentaskan. Kebanyakannya disiarkan dalam 
Panggung Drama Radio 1 dan Radio Wilayah Timur. 

Apabila Hashim memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa, apakah Hashim perlu 
menghasilkan karya sebanyak mungkin?

Memang begitulah. Saya bertekad, setiap bulan menghasilkan sebuah novel. Tahun lalu, 
saya menghasilkan 12 novel dan dihantar kepada Creative Enterprise, Utusan Publication 
dan Zebra Edition. Tahun 2002, tak sampai 12 novel. Untuk tahun ini, setakat ini saya 
sudah menghasilkan tiga novel. Tajuknya Redup Langit Songkhla, Benci Dalam Rindu dan 
Jangan Pintas Cintaku, semuanya saya hantar kepada Utusan Publication. 

Adakah dengan menulis sepenuh masa, Hashim tidak merasa keperitan meneruskan hidup?

Di Kelantan ini, hanya saya dan Norhisham yang menulis sepenuh masa. Kita perlu yakin. 
Seperti yang saya katakan tadi, semua orang boleh bertukang tetapi bukan semua boleh 
membina rumah. Saya mempunyai seorang isteri dan empat orang anak. Setakat ini, 
Alhamdulillah. Saya boleh hidup seperti orang lain. Setiap bulan saya menghantar novel 
dan setiap bulan juga saya menerima royalti daripada syarikat penerbitan. Memanglah 
pada peringkat awal itu, terasa peritnya tetapi kalau kita tabah dan berani, 
insya-Allah kita akan dapat mengatasi segala keperitan itu. Kita kembali kepada janji 
Allah bahawa setiap insan yang bernyawa itu sudah ditentukan rezekinya. Jangan kita 
ragui hal itu. Kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkan rezeki. Tidak semestinya 
menulis sepenuh masa itu akan menyebabkan kita tidak boleh menyara keluarga. 


Setakat mana pembabitan Hashim dalam persatuan penulis di Kelantan?

Dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK) saya hanya ahli biasa. Dalam Persatuan Penulis 
Tumpat (Pesisir), saya ahli jawatankuasa sejak 1989.



Pernahkah Hashim menerima anugerah sastera?

Saya pernah menerima hadiah utama cerpen Anugerah Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 
pada 1995. Pada 1996 dan 1997, cerpen saya menerima anugerah yang sama. Pada 1998 
pula, cerpen saya dipilih untuk menerima anugerah YTL Pulau Pinang dan Berita Harian. 
Pada 2000, dua cerpen saya dipilih sebagai pemenang hadiah utama dan kedua cerpen 
wilayah timur anjuran DBP. Tahun lalu, saya dapat anugerah sagu hati Utusan. 



Hashim tidak ada cita-cita besar dalam menghasilkan novel?

Saya sedang berusaha untuk menghasilkan novel setebal 1,000 naskhah. Novel popular 
seperti Bukan Puteri Lindungan Bulan karya Liana Afiera Malik. Insya-Allah jika tiada 
aral melintang, novel itu akan siap. Saya rasa tak ada masalah besar untuk 
menghasilkan novel popular setebal itu.




[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor ---------------------~-->
Buy Ink Cartridges or Refill Kits for your HP, Epson, Canon or Lexmark
Printer at MyInks.com.  Free s/h on orders $50 or more to the US & Canada.
http://www.c1tracking.com/l.asp?cid=5511
http://us.click.yahoo.com/mOAaAA/3exGAA/qnsNAA/TcOolB/TM
---------------------------------------------------------------------~->

Memetakan Tumpat dalam IT.
http://edi.bebto.com
http://panduan.7p.com

E-mel web base percuma untuk warga Tumpat

http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
     http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
     [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
     http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke