Dipetik daripada berita harian 29 Sept 2006
Kerajaan belum sedia naik gaji kakitangan
Oleh Kadir Dikoh
PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan belum bersedia
menimbang permohonan pihak yang meminta gaji kakitangan awam dan polis
dinaikkan kerana ia meningkatkan beban kewangan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menanggung kos tambahan berjumlah
sehingga RM6 bilion jika cadangan Cuepacs menaikkan gaji kakitangan awam antara
10 hingga 40 peratus itu ditunaikan.
Katanya, angka itu belum termasuk bayaran untuk pesara dan ia bukan jumlah yang
kecil sedangkan sebelum ini kerana kerajaan sudah membuat lima kali pelarasan
gaji kakitangan awam dengan yang terakhir pada 2002.
"Kerajaan sedar ada cabang tertentu perkhidmatan awam yang perlu diberi
perhatian termasuk gaji anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memang kecil
meskipun ditokok dengan pelbagai elaun.
"Kita belum bersedia semak gaji. Kita sudah tengok pendapatan, gaji dan elaun
polis.... gaji mereka memang kecil tapi pelbagai elaun diberikan, jumlahnya
lebih tinggi daripada mereka dalam kategori tertentu perkhidmatan awam,"
katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan
mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja Sektor Awam
(JKK-MPGSA) selama lebih tiga jam, di sini, semalam.
Abdullah berkata, dalam menilai pelarasan gaji, perkara penting ialah gaji
(pendapatan) dibawa pulang.
"Polis tidak sama khidmat dengan orang lain. Kita tidak lupakan mereka tapi
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan lihat secara menyeluruh apa yang perlu
kita lakukan dari segi penyemakan gaji," katanya.
Awal bulan ini, Cuepacs meminta gaji pokok RM480 kakitangan awam kumpulan
sokongan dan rendah dinaikkan manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
mencadangkan gaji pokok anggota polis berpangkat rendah disemak semula.
Selain itu, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika berucap di
Dewan Rakyat awal bulan ini, turut meminta kerajaan menaikkan gaji kakitangan
awam antara 10 hingga 40 peratus.
Mengikut cadangan itu, kakitangan awam yang menerima gaji pokok kurang RM1,000
sebulan, dinaikkan 40 peratus, mereka bergaji antara RM1,000 hingga RM2,000
sebulan (20 peratus) dan RM2,000 ke atas (10 peratus).
Abdullah berkata, sebarang kenaikan gaji membabitkan kos tinggi dan baru-baru
ini apabila kerajaan memberikan elaun sara hidup (Cola) dan pemberian bonus, ia
sudah membabitkan tambahan kos RM2.4 bilion.
"Itu bukan jumlah yang kecil. Bonus pun kita bayar... tak masuk dalam tambahan
gaji. Semakan gaji akan membabitkan wang tambahan, jauh lebih tinggi daripada
apa yang Cuepacs mahu," katanya.
Pada sidang media itu, Perdana Menteri turut mengumumkan langkah memperluaskan
pilihan bekerja mengikut waktu anjal ke negeri iaitu waktu bekerja berperingkat
kepada perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri seluruh negara.
Abdullah berkata, rundingan dengan kerajaan negeri perlu sebelum perkara itu
diperluaskan dan ia adalah keputusan penting bagi merapatkan hubungan antara
Kerajaan Pusat dan negeri.
"Kita ada tiga hari tak dapat berkomunikasi iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ini
satu kerugian kerana banyak perkara yang diuruskan perlu rundingan untuk dapat
keputusan," katanya.
[Non-text portions of this message have been removed]
Apa yang anda cari mungkin ada di sini
http://www.bukusiber.com
E-mel web base percuma untuk warga Tumpat
http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/
<*> Your email settings:
Individual Email | Traditional
<*> To change settings online go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
(Yahoo! ID required)
<*> To change settings via email:
mailto:[EMAIL PROTECTED]
mailto:[EMAIL PROTECTED]
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/