Pakdo petik tulisan di bawah ni daripada akhbar Utusan Malaysia. Semoga
saing-saing pakdo terutamanya dah warga emas baca untuk menjaga gigi
supaya walaupun di mana peringkat usia, gigi kelihatan putih dan bersih .





Gigi berlubang risiko jangkitan mulut
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SIAPA berus gigi sekali sahaja dalam sehari? Ramainya! Patutlah sembilan
daripada 10 rakyat Malaysia giginya berlubang-lubang.

Data penggunaan pasaran Asia mendapati, rakyat Malaysia secara puratanya
menggosok gigi kurang sekali sehari berbanding saranan doktor gigi,
sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berflourida.

Doktor turut menyarankan berus gigi ditukar setiap tiga bulan atau empat
kali setahun. Tetapi, tahukah anda? Purata rakyat Malaysia hanya menukar
berus gigi mereka setelah masuk bulan ketujuh.

Tidak hairanlah sekiranya penggunaan regimen kebersihan mulut yang lengkap
termasuk flos/penyerat gigi dan kumuran di Malaysia adalah lebih rendah
berbanding negara-negara Asean lain.

‘‘Kesihatan mulut mempunyai kaitan yang rapat dengan penyakit seperti
diabetes, jantung dan bayi dilahirkan kurang berat badan bagi ibu bapa
yang menghidap penyakit gusi kronik. Pun begitu, ia sering diabaikan.

“Kebanyakannya hanya berjumpa doktor gigi setelah timbul masalah seperti
kaviti dan penyakit gusi. Ia sudah terlambat, banyak kerosakan yang telah
terjadi,’’ kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr. Wong Foot
Meow.

Menurutnya, kaviti atau lubang pada gigi sangat dipengaruhi oleh gaya
hidup, pemakanan - makanan dan minuman yang manis dan cara mana kita
menjaga kebersihan gigi. Apabila bakteria dan gula bertindak balas di atas
permukaan gigi dan kekal di situ, kerosakan boleh berlaku.

“Kaviti merupakan salah satu daripada masalah kesihatan paling biasa di
dunia. Walaupun ia selalunya berlaku di kalangan kanak-kanak namun orang
dewasa dan bayi tidak terkecuali.

“Jika tidak dirawat, lubang bertambah besar dan kereputan semakin teruk
hingga menyebabkan sakit gigi serius, jangkitan, gigi rongak dan lain-lain
komplikasi,’’ ujarnya.

Simptom

Sakit gigi berdenyut-denyut hingga terjaga dari tidur – gigi sensitif –
gigi berlubang – kesakitan yang ringan hingga menusuk apabila makan atau
minum sesuatu yang sejuk, panas atau manis – bengkak muka dan kelenjar
leher – demam – nanah sekeliling gigi.

Faktor risiko

* Jika anda tidak memberus gigi selepas makan atau minum, plak akan
terbina dan menghakis gigi anda

* Makanan dan minuman tertentu. Karbohidrat penapaian seperti gula dan
kanji hampir masak merupakan masalah terbesar. Contohnya, susu, madu,
gula, soda, kismis, kek, gula-gula keras, pudina pernafasan, buah-buahan
kering, biskut, bijirin kering, roti dan kerepek kentang.

Sebaliknya, sesetengah makanan yang dianggap penyebab utama kerosakan gigi
sebenarnya tidak. Misalnya gula-gula, jeli kacang dan karamel melekit dan
manis seperti gula senang disingkirkan oleh air liur berbanding kerepek
kentang yang melekat pada gigi.

* Kerap mengudap atau menghirup sesuatu seperti soda, memberikan asid
lebih masa untuk menyerang gigi. Ibu bapa tidak digalakkan memberi
anak-anak mereka botol penuh berisi susu, jus atau lain-lain cecair
bergula pada waktu tidur, yang akan kekal pada gigi selama beberapa jam
lalu menyebabkan hakisan kereputan gigi botol bayi.

* Minum air botol atau air ditapis yang tidak mengandungi fluorida.
Fluorida berlebihan juga tidak baik untuk kanak-kanak dan bayi.

* Pertambahan usia dan faktor genetik

* Mulut kering. Air liur memainkan peranan penting untuk mencegah gigi
mereput kerana ia menyahkan makanan dan plak. Mineral di dalam air liur
membantu memperbaiki kereputan gigi yang baru bermula. Di samping
meneutralkan asid, air liur turut mengehadkan pertambahan bakteria yang
melarutkan enamel gigi dan mendorong jangkitan mulut.

* Tampalan gigi yang bertambah lemah selepas beberapa tahun mungkin
tertanggal atau menyebabkan sisinya menjadi kasar. Ini akan membentuk plak

* Gusi yang menyusut memberikan ruang kepada plak terbentuk pada akar gigi

* Gangguan pemakanan seperti anoreksia dan bulimia boleh mencetuskan
kaviti dan hakisan gigi ketara hasil asid perut daripada muntah

* Pedih ulu hati menyebabkan asid perut mengalir keluar memasuki mulut

* Rawatan kanser tertentu seperti radiasi kepala dan leher


Bila perlu berjumpa doktor

Sakit gigi/gigi sensitif terhadap makanan atau manis, panas atau sejuk –
anda mengelak daripada membersihkan bahagian gigi tertentu kerana sakit –
gigi berlubang – gusi merah dan bengkak – gusi berdarah semasa memberus
gigi – gusi menyusut/terdedah di sepanjang garis gusi/pangkal gigi-gusi,
menjadikan gigi kelihatan lebih panjang – gigi menjadi jarang, longgar –
rasa tidak sedap di dalam mulut - nafas berbau – perubahan pada cara gigi
atas dan bawah bersentuh – nanah sekitar gusi dan gigi.

Komplikasi

Kesakitan – gigi bernanah – gigi tercabut – gigi patah – masalah mengunyah
– jangkitan serius. anda mungkin tidak ambil kisah jika gigi susu
anak-anak berlubang kerana ia biasa terjadi.

“Jangan ambil mudah kerana ia boleh menyebabkan komplikasi serius dan
berpanjangan sekalipun kanak-kanak belum tumbuh gigi kekal. Apabila
kesakitan semakin teruk, ia boleh menjejaskan kehidupan seharian seperti
menghalang pesakit ke sekolah atau bekerja,’’ jelas Dr. Wong.

Seterusnya, pesakit sukar untuk mengunyah atau makan, berat badan merosot
dan mengalami masalah pemakanan.

Gigi rongak boleh meninggalkan kesan terhadap harga diri seseorang. Dalam
kes-kes terpencil, nanah boleh mencetuskan jangkitan serius malah
mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Rawatan

* Rawatan fluorida. Mineral dalam bentuk cecair, gel, busa, varnis atau
tablet yang diberus ke gigi atau ditempatkan di dalam bekas yang dimuatkan
pada gigi ini berupaya meningkatkan ketahanan gigi daripada menjadi reput.

* Tampalan. Mengisikan bahan yang tersedia khas ke dalam gigi berlubang
yang telah siap dikorek oleh doktor gigi. Ia merupakan pilihan rawatan
utama apabila kereputan telah berkembang melebihi proses penghakisan
enamel awal.

* Korona/crown. Pemulihan pergigian yang menutup kebanyakan atau semua
korona semulajadi, bagi kes kereputan meluas.

* Saluran/kanal akar. Apabila kereputan sudah teruk dan sampai ke dalaman
gigi, pulpa gigi akan dikeluarkan dan digantikan dengan tampalan.

* Gigi yang reput teruk mungkin terpaksa dicabut keluar sepenuhnya.

Pencegahan

* Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari – selepas makan dan
sebelum tidur atau berkumurlah selepas makan minum. Gunakan serat
gigi/floss untuk membersihkan celahannya.

* Lakukan pemeriksaan dan pembersihan gigi profesional secara berkala –
kanak-kanak bermula usia dua tahun setelah semua gigi susunya tanggal
manakala bagi orang dewasa, purata sekurang-kurangnya setahun sekali

* Elakkan terlalu kerap mengudap dan menghirup sesuatu

* Hindari makanan yang boleh terperangkap di alur dan lubang gigi untuk
jangka masa panjang. Contohnya, kerepek, gula-gula atau biskut.
Sebaliknya, makan makanan yang mampu memberikan perlindungan kepada gigi
seperti keju yang berdasarkan beberapa kajian mendapati, ia membantu
mencegah kaviti.

Begitu juga dengan, buah-buahan dan sayur-sayuran yang meningkatkan aliran
air liur dan; kopi tanpa pemanis, teh serta gula-gula getah tanpa gula
yang menyingkirkan partikel makanan.

* Sesetengah orang sememangnya rentan terhadap kereputan gigi, misalnya
disebabkan oleh masalah perubatan tertentu

* Memakai bahan pengetat penutup rekahan pada permukaan gigi

Tip menguruskan sakit gigi

* Bersihkan semua bahagian gigi dan mulut anda, tidak ketinggalan kawasan
yang sakit

* Gunakan air suam untuk memberus gigi

* Gunakan ubat gigi khas untuk gigi sensitif

* Elakkan makanan atau minuman panas, sejuk atau manis yang boleh
mencetuskan kesakitan

* Dapatkan pelega kesakitan dari farmasi sebagaimana yang disarankan oleh
doktor anda

- MDA dengan kerjasama Colgate-Palmolive baru-baru ini melancarkan Bulan
Kesihatan Mulut/Oral 2007 yang memasuki tahun keempat penganjurannya, kali
ini dengan tema Kaviti Sifar Senyuman Lebih Sihat.

Sebanyak 430 pengamal pergigian seluruh negara mengambil bahagian dengan
menawarkan pemeriksaan kepada orang ramai di klinik-klinik mereka, tanpa
dikenakan apa-apa bayaran.

Pameran bergerak turut diadakan di empat stesen pergigian utama di Kuala
Lumpur; Kota Bharu, Kelantan; Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang yang
berjaya menarik lebih 100,000 penyertaan rakyat Malaysia.

Colgate turut berbesar hati mengagihagihkan sampel produk mereka secara
percuma kepada orang ramai yang ‘berani’ melakukan pemeriksaan sepanjang
berlangsungnya kempen tersebut.




Hormat selalu daripada Pakdo


Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke