Dipetik sepenuhnya daripada laman web Bernama.
Kawasan Berisiko Tinggi Berlaku Jenayah Wajib Tubuh Rukun Tetangga SINTOK, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan mewajibkan kawasan yang berisiko tinggi berlaku kekerapan kejadian jenayah, kawasan 'panas' dan sesak menubuhkan Skim Rukun Tetangga (SRT), Rukun Tetangga (RT) atau skim sukarela lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili. Katanya kerajaan menyediakan geran tahunan sebanyak RM5,000 bagi setiap SKT dan RT selain anggota terbabit diberi perlindungan insurans 24 jam. Beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji semula untuk mewajibkan peraturan supaya anggota SKT dan RT yang menjalankan tugas bermula selepas tengah malam dan melebihi empat jam diberi pelepasan bekerja oleh majikan pada keesokkan harinya. " Pelepasan itu ditarik balik 15 tahun lepas kerana beberapa masalah dan peraturan untuk memperkemaskannya sedang dibuat," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi pembangunan Sistem Pengurusan Rukun Tetangga, Tabika Perpaduan dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) di universiti itu di sini hari ini. Ongkili berkata enam lokasi di seluruh negara telah dipilih bagi melaksanakan projek perintis sistem itu secara dalam talian, dengan projek itu yang mengambil masa selama tiga setengah tahun melibatkan perbelanjaan sebanyak RM8.86 juta akan bermula pertengahan tahun ini dan menggunakan sistem komputer SerindIT.com yang dibangunkan oleh UUM. Lokasi itu ialah Kelab Rukun Tetangga (KRT) Goshen, Kota Marudu, Sabah; KRT Bandar Baru Permy Jaya, Miri, Sarawak; Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) Sri Rampai, Kuala Lumpur; PAP Tumpat, Kelantan; PAP Kulim, Kedah dan KRT Taman Johor Jaya, Pasir Gudang, Johor. " Pengurusan secara dalam talian membolehkan JPNIN memantau aktiviti skim yang dilaksanakan agar keputusan berkaitan perpaduan sehingga ke akar umbi dapat dibuat segera," kata Ongkili. Beliau menambah JPNIN akan mengenalpasti keperluan, menentukan skop kerja, pembangunan aplikasi dan infrastruktur, latihan serta pengendalian sistem dalam tempoh tiga setengah tahun sebelum ia dapat diperluaskan ke seluruh negara. Katanya sebelum ini sistem pengurusan dibuat secara manual dan melalui proses yang mengambil masa agak lama dan kerajaan berharap ia dapat melancarkan perkhidmatan dan operasi skim-skim JPNIN. "Kerajaan juga berharap projek ini akan membantu mempercepatkan pelan tindakan lima tahun JPNIN (2006-2010) untuk menambah bilangan KRT daripada 3,429 kepada 4,100 pada 2010, SRS daripada 637 sekarang kepada 1,700 dan Tabika Perpaduan daripada 1,496 kepada 1,646 bagi tempoh sama," tambahnya. Katanya JPNIN telah melaksanakan 30,526 aktiviti membabitkan hampir dua juta penduduk menyertai aktivitinya sejak penubuhannya dan didapati menjadi unsur terpenting dalam membentuk perpaduan dan integrasi nasional. -- BERNAMA
