Jual ulam di Internet

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
[email protected]


         DIA mula menikmati ulam sejak kecil selepas diajar ibunya.
Kini, ulam mentah seperti pucuk selasih, ulam raja, selom, tenggek
burung (daun tiga jari) serta pegaga sering menjadi pilihan utama dalam
sajian makanannya.      


DIA mula menikmati ulam sejak kecil selepas diajar ibunya. Kini, ulam
mentah seperti pucuk selasih, ulam raja, selom, tenggek burung (daun
tiga jari) serta pegaga sering menjadi pilihan utama dalam sajian
makanannya.

Bagi Noraida Arifin, 35, selain mempunyai kandungan serat yang tinggi,
ulam mempunyai pelbagai khasiat yang dapat membantu dalam menjaga
kesihatan dan kecantikan.

"Sejak kecil saya memang tidak lupa untuk mengambil ulam ketika makan.
Biasanya saya mengambilnya secara mentah, dicicah bersama sambal
belacan. Namun, suami saya tidak begitu gemar mengambil ulam kecuali
ulam raja.

"Selain ulam, tumbuhan herba seperti kunyit hidup, pilis, temu lawak
serta param juga saya amalkan terutama ketika berpantang. Ternyata
amalan itu banyak membantu wanita seperti saya dalam penjagaan kesihatan
selepas bersalin," katanya.


Noraida berkata, sejak kecil ibunya sering bercerita mengenai khasiat
herba dan ulam-ulaman yang mudah didapati di sekitar kampungnya di
Kampung Bechah Resak, Tumpat.


Katanya, ibunya banyak menanam ulam serta pokok herba seperti daun
selasih, pegaga serta pucuk mata ayam di kawasan sekitar rumah dan ia
sedikit sebanyak menimbulkan minatnya terhadap tumbuhan.

Tumbuhan ulam dan herba juga sering dijadikan bahan rawatan tradisional
dan kini terdapat banyak kajian yang dilakukan untuk mengkomersialkan
lagi khasiat ulam berkenaan.

Untuk itu, Noraida berkata, dia dan suami turut menanam beberapa jenis
tumbuhan herba serta ulam di sekitar rumah yang bukan saja untuk dimakan
malah dijadikan pokok contoh untuk pembeli.

Minat yang mendalam terhadap tumbuhan sebenarnya turut mendorong lulusan
Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia ini untuk
mengasaskan perniagaan menjual pelbagai jenis pokok tanaman menerusi
laman web melur.com.

Perniagaan yang diasaskan sejak lima tahun lalu itu kini semakin
berkembang dan mendapat sambutan hangat daripada penggemar tumbuhan dari
seluruh negara.

"Pada mulanya, laman web berkenaan diwujudkan sekadar untuk suka-suka
berkongsi maklumat mengenai tumbuhan termasuk tanaman herba yang saya
peroleh daripada ibu, pembacaan serta rujukan sendiri.

"Namun, lama kelamaan, saya terfikir mengapa tidak kembangkan laman web
berkenaan sebagai satu portal perniagaan untuk membantu penggemar
tumbuhan mendapatkan tanaman yang mereka gemari.

"Bermula dari situlah saya luaskan skop melur.com kepada laman web yang
menyediakan banyak maklumat berguna mengenai tanaman serta memasarkan
pelbagai tumbuhan menerusi katalog yang disediakan. Alhamdulillah,
portal ini semakin berkembang kini," katanya.

Laman web yang asalnya sekadar untuk berkongsi maklumat serta
pengetahuan mengenai tumbuhan herba, ulam-ulaman serta penjagaan pokok
itu diperkenalkan pada Disember 2003. Kini, ia menjadi antara portal
yang paling mendapat sambutan terutama dalam kalangan penggemar pokok
herba.

Anak sulung daripada tujuh beradik kelahiran Tumpat, Kelantan, ini masih
bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang dalam bidang
kejuruteraan.

Isteri kepada Datu Mohd Rithaiddeen, 35, ini memperuntukkan sekitar dua
jam sehari untuk mengemas kini pesanan serta pertanyaan di laman web
berkenaan.

Katanya, biarpun mempunyai dua kerjaya dalam satu masa, dia tidak
sesekali melupakan masa untuk bersama keluarga terutama tiga anak yang
masih kecil.

"Keluarga adalah aset yang ternilai bagi saya namun, perniagaan ini juga
amat penting kerana ia berkait rapat dengan minat saya sendiri," kata
ibu tiga anak perempuan, Dayang Nur Iman Alani, 9, Dayang Nur Syafiqah,
6 dan Dayang Nur Ain Syazwani, 4.

Mengenai perancangan masa depan, Noraida berkata dia tidak mahu
terburu-buru membuka ladang herba tetapi sebaliknya mahu menumpukan
kepada strategi pemasaran menerusi Internet.

Melihat potensi yang ada, ia mendorong dirinya untuk mengembangkan
perniagaan herba itu ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti. 

"Gaya hidup masyarakat yang semakin moden dan sibuk menyaksikan mereka
tidak mahu membazirkan masa melawat sesuatu nurseri semata-mata untuk
mencari pokok yang diinginkan.

"Ia mendorong masyarakat beralih kepada urusan pembelian barangan
menerusi Internet kerana ia ternyata lebih mudah, banyak pilihan serta
menjimatkan masa.

"Selain itu, penggemar tanaman herba dari seluruh negara juga tidak
perlu bersusah payah untuk pergi ke sesuatu kawasan untuk mendapatkannya
sebaliknya hanya boleh memesan di Internet dengan harga yang hampir
sama," katanya yang pernah menghasilkan buku berjudul Penyembuhan
Semulajadi Melalui Herba, terbitan PTS Milenia pada 2005.

 

Petikan: Harian Metro 26 Januari 2009

Attachment: mainpix
Description: mainpix

Kirim email ke