Selasa Oktober 20, 2009
Persembahan dikir barat 14 jam tanpa henti
BAGI penumpang kereta api Tren Ekspres Timuran, perjalanan dari Tanjung Pagar, 
Singapura ke Tumpat, Kelantan sejak petang Isnin memberikan satu pengalaman 
unik apabila sepanjang jalan mereka dihiburkan dengan persembahan dikir barat 
tanpa henti.

Selama 14 jam, Kumpulan Dikir Barat Sri Rahmat mendendangkan lagu-lagu rakyat 
Kelantan, diselangselikan dengan lagu tradisional, rakyat Malaysia, patriotik, 
lagu-lagu lama dari era sebelum seniman agung P. Ramlee sehinggalah lagu-lagu 
pop dan lagu-lagu Hindustan serta negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.


Usaha Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan persembahan di dalam tren 
yang bergerak itu bertujuan mempromosikan pelancongan kereta api untuk menarik 
pelancong dari luar negara menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama 
bagi menjelajah dan mengenali negara ini.

Bagi Kumpulan Dikir Barat Sri Rahmat, yang terdiri daripada 25 anggota dari 
Perkampungan Inap Desa Seterpa, Kota Baharu, persembahan seni budaya terkenal 
Kelantan merupakan satu usaha menempa nama di dalam Malaysia Book of Records.

Pengurus kumpulan itu, Rosli Mohd Hamzah, 47, mereka baru sahaja selesai 
melakukan persembahan di Pameran Promosi Pelancongan Malaysia 2009 di Singapura 
sejak 16 Okt.

Sebaik kereta api bergerak dari Stesen Woodlands pada pukul 6.50 petang Isnin, 
kumpulan dikir yang menggunakan lapan alat muzik tradisional iaitu dua rebana, 
masing-masing satu gong, serunai, tamborine, romba, canang dan cin cak memecah 
kesunyian sehinggalah kereta api berhenti di Stesen Tumpat.

"Hanya "kertok" sahaja alat muzik yang kita tak boleh guna dalam keretapi ini 
sebab alat itu terlalu besar dan tidak sesuai digunakan dalam keretapi yang 
sentiasa bergegar ini," kata Rosli.

Malam yang semakin larut tidak menghalang suara "Tukang Karut" dan "Tuk Jogho" 
yang semakin serak dan kering untuk terus menyanyi.

Fokus dan semangat anak Kelantan yang mahu menempa sejarah ini begitu kental, 
ditambah pula sokongan padu daripada sebahagian wartawan dan penumpang yang 
naik turun keretapi turut menyertai dan mengikut gerak tari "Awak-awak", 
pendikir yang bertepuk beramai-ramai.


Sang suria yang sedikit demi sedikit menampakkan sinarnya, menyemarakkan 
semangat anggota dikir Sri Rahmat dengan sekali-sekala "Awak-awak" melaungkan 
ungkapan semangat seraya berkata: "Dekat doh dekat doh, Nok pecoh doh, sikit je 
lagi!" yang bermaksud "sudah semakin hampir, sikit masa lagi kita pecah rekod".

Akhirnya, tepat pukul 8.50 pagi gerabak Tren Ekspres Timuran tiba dengan 
selamat di Stesen Tumpat. BERNAMA



dipetik daripada akhbar mstar online



* Sri Rahmat adalah kumpulan dikir dari Kg. Pak Rahmat yang turut terpilih 
sebagai sebuah kg yang bertanding dalam Anugerah Desa Cemerlang Peringkat 
Negeri Kelantan 2009 yang penilaiannya dibuat pada 20 Okt 2009.




Kirim email ke