dipetik Daripada Utusan Malaysia 21 Jun 2010
UPSR, PMR mungkin dimansuh
Oleh KAMIL MASLIH
[email protected]
Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bersalaman
dengan para perwakilan pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Pagoh,
Muar, semalam. -BERNAMA
--------------------------------------------------------------------------
MUAR 20 Jun - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah
Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat
terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik
kepada pelajar.
Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan
sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini
sedang mengkaji dengan teliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu
sebelum membuat keputusan muktamad.
"Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11
tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat
ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang
baik dalam peperiksaan awam.
"Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen
sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM.
"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja
peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat
Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar dekat sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelaksanaan UPSR dan PMR adalah
baik namun disebabkan terlalu menjurus kepada peperiksaan, tujuan utama
menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara
holistik tidak tercapai sepenuhnya.
Beliau berkata, disebabkan terlalu berorientasikan peperiksaan, fokus utama
guru dan pelajar tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan
mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.
"Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tidak pakai lagi PMR dan UPSR. Orang
(majikan) tidak tanya pun berapa 'A' yang dapat dalam PMR dan UPSR, sebaliknya
hanya keputusan SPM dan di peringkat universiti saja orang ambil kira," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan negara lain hanya mempraktikkan
satu peperiksaan awam sepanjang persekolahan dan contoh itu boleh diambil
Malaysia dengan memberi lebih penekanan kepada penilaian di peringkat sekolah.
"Saya sendiri berpendapat adalah lebih wajar kalau perlu adanya penilaian, kita
buat di peringkat yang terakhir, selepas belajar 11 tahun (di sekolah rendah
dan menengah) sebelum masuk universiti.
"Saya mengajak golongan pakar pendidikan dan masyarakat untuk memberi respons
kerana kita belum ada keputusan tetapi banyak pihak mencadangkan untuk mengubah
sistem kepada hanya satu sahaja peperiksaan awam," katanya.
Namun menurut Muhyiddin, sekiranya peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan, ia
hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah dan bukannya
sebagai peperiksaan awam.
Tegas beliau, banyak perkara harus diteliti terlebih dahulu dan penstrukturan
semula perlu dilakukan bagi membolehkan keputusan penilaian di peringkat
sekolah dapat diguna pakai oleh pelajar untuk memasuki sekolah berasrama penuh.
"Ini ada hubung kait dengan rombakan sistem pendidikan negara untuk mengubah
bentuk kurikulum supaya lebih banyak masa terluang untuk fokus kepada
subjek-subjek utama serta aktiviti sukan.
"Di peringkat kementerian, kita sedang meneliti dan memerlukan input dari warga
akademik, pendidik dan masyarakat. Debat sihat dalam media juga bagus untuk
perkara ini," katanya