RAKYAT INDONESIA MENGAKU BUNUH 4 SEKELUARGA PELAJAR MALAYSIA

Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Rakyat Indonesia, Dharman Agustari, 33, yang dipercayai terlibat membunuh sekeluarga penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Kaherah, akan dibicara di Mahkamah Kaherah dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Sumber Utusan Malaysia memberitahu, proses perbicaraan itu dipercepatkan kerana ia membabitkan kes jenayah dan pelajar dari luar negara.

Utusan Malaysia difahamkan, siasatan kes tersebut hampir selesai selepas Dharman mengaku bersalah melakukan perbuatan kejam terhadap Allahyarham Muhammad Zaki Ayub 27; isterinya, Nurul Hayati Bohari, 27; anak mereka, Siti Maryam Hafizah, 3 tahun tiga bulan dan Muhammad Muazz Hafiz, 11 bulan, Jumaat lalu.

Dharman dikatakan membunuh Muhammad Zaki disebabkan masalah kewangan.

Bagaimanapun, polis mengandaikan mangsa bertelingkah dengan Dharman dan menyebabkan beliau dibunuh, isterinya dicederakan serta dibakar hidup-hidup bersama dua anak mereka.

Lelaki itu bagaimanapun, dalam kenyataan kepada polis menyatakan kekesalan terhadap tindakannya dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Sumber berkata, sehingga hari ini polis yakin pembunuhan kejam ke atas keluarga penuntut Malaysia itu hanya membabitkan seorang penjenayah sahaja.

Ini berdasarkan penemuan wang tunai RM35,000, telefon bimbit mangsa dan isterinya pada Dharman ketika tangkapan dibuat beberapa jam selepas itu.

Menurut sumber, proses perbicaraan dan jatuh hukuman akan dijalankan di Mahkamah Kaherah tetapi hukuman dilaksanakan di negara tertuduh iaitu di Indonesia.

Difahamkan, pelaksanaan itu berdasarkan perjanjian antara kedua-dua negara tersebut.

``Ini bermakna jika tertuduh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup, pelaksanaannya akan dibuat di Indonesia,'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah, Wan Bakar Wan Dagang ketika dihubungi memberitahu, jenazah keluarga malang itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Malaysia di Kaherah, pukul 10 malam tadi waktu Malaysia.

Terdahulu, katanya, keempat-empat jenazah itu dikafankan di Hospital Saida Zainab, Kaherah serta disembahyangkan di Dataran Haiyyu-Akhir.

Beliau memberitahu, Kedutaan Malaysia di Kaherah telah menghubungi keluarga mangsa sebelum dan selepas proses pengkebumian dijalankan.

Mengikut laporan Hospital Saida Zainab, jenazah kedua-dua mangsa tidak dapat dimandikan kerana hancur manakala mayat isteri mangsa separuh hancur.

Tambah Wan Bakar, jenazah Muhammad Zaki dikebumikan berhampiran anak bongsunya di kawasan kubur lelaki manakala jenazah Nurul Hayati berhampiran anak sulung mereka.

Kira-kira 1,500 orang termasuk pelajar dan warga Malaysia dan Indonesia turut serta bersembahyang jenazah.

Beliau berkata, sejak semalam, pihak kedutaan Malaysia menerima ucapan takziah terutama daripada para pelajar, warga dan kerajaan Indonesia yang kesal dengan kejadian tersebut.

Ditanya mengenai perkembangan lanjut kes tersebut, Wan Bakar memberitahu, rumah mangsa masih dikawal ketat oleh polis Kaherah kerana kediamannya mempunyai banyak barang berharga.

Katanya, barang-barang milik keluarga tersebut akan dibungkus dan dihantar balik kepada keluarga mereka di Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Dua bangunan restoran dan kafe siber yang disewa oleh Allahyarham Muhammad Zaki pula akan ditutup.

Dalam pada itu, Wan Bakar sekali lagi meminta semua pelajar Malaysia yang bakal melanjutkan pengajian di Kaherah tidak terbabit dalam perniagaan untuk mengelak kejadian seumpama itu berulang lagi.

Katanya, berikutan kejadian berkenaan, polis Kaherah mahu kedutaan negara bertegas dalam soal tersebut kerana tindakan pelajar menjalankan perniagaan sambil belajar mengundang terlalu banyak risiko.

``Kita memang sedar perkara tersebut namun ia sukar dikawal kerana terdapat 6,000 pelajar Malaysia di sana dan kebanyakannya berniaga,'' ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan para pelajar terpaksa menjalankan perniagaan untuk menampung kehidupan kerana 90 peratus pelajar di sana membiayai sendiri pengajian mereka.



Roslee bin Kartawi
Mobile: 6-016-3162141
Tel: 6-03-21424768
 
Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (An-Nur:35)

Yahoo! Mobile
- Download the latest ringtones, games, and more!

Komunitas Urang Sunda --> http://www.Urang-Sunda.or.id



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT
click here


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke