Ieu aya analisis ti salah saurang profesor Malaysia.
Punten teu ditarjamahkeun :)


------
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Rencana/20050304232821/Article/

Tinta Strategi: Tuntutan wilayah bantut penerokaan kawasan minyak
Oleh Prof Madya Dr Azmi Hassan

BANTAHAN yang dibuat oleh Jakarta terhadap tindakan Kuala Lumpur yang
memberikan konsesi penerokaan minyak kepada Shell dan Petronas Carigali
di Laut Sulawesi, tidak begitu memeranjatkan kerana sememangnya sudah
diduga.

Kawasan konsesi yang dimaksudkan itu terletak sebelah timur Sabah,
terdiri daripada dua blok yang dinamakan ND6 dan ND7 berada dalam Lembah
Tarakan iaitu lebih kurang 100 kilometer dari timur laut Tawau.

Bantahan sudah diduga lebih awal kerana Jakarta sebelum ini sudah
membuat dakwaan bahawa sebahagian daripada perairan Laut Sulawesi di
sebelah timur Kalimantan adalah milik mereka dan kawasan penerokaan
minyak digelar Blok Ambalat dan Blok East Ambalat.

Jakarta berkeras dengan pendapat bahawa ND6 dan ND7 berada dalam
perairan mereka kerana menggunakan logik kedua-dua blok itu berada dalam
kawasan Blok Ambalat yang sebelum ini telah diberi konsesi penerokaan
minyak kepada syarikat minyak Itali, ENI.

Bagi Kuala Lumpur pula penghujahan blok ND6 dan ND7 berada dalam wilayah
perairan negara kerana menggunakan dalil apa yang termaktub dalam peta
Pentas Benua dan Wilayah Perairan Malaysia 1979 yang jelas menunjukkan
kedua-dua blok itu berada dalam perairan Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa Indonesia sudah beberapa kali menghantar
nota bantahan terhadap kesahihan peta 1979. Malaysia juga menggunakan
kaedah bantahan sama apabila Indonesia memberikan konsesi Blok Ambalat
kepada ENI.

Tetapi, kaedah serupa itu sebenarnya tiada kesudahannya dan besar
kemungkinan akan membantutkan usaha penerokaan minyak yang akhirnya
boleh merugikan kedua-dua negara.

Begitu jelas sekali percanggahan kedudukan ND6, ND7 dan Blok Ambalat
berlaku kerana ada pertindihan tuntutan wilayah perairan dan perkara
sebegini bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku dan tidak mustahil
masalah ini boleh diselesaikan dengan pantas dan adil.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, memberi harapan bahawa
masalah terbaru ini boleh dijadikan perintis kepada penyelesaian yang
membabitkan kegiatan penerokaan minyak di Laut Sulawesi.

Masalah yang dihadapi Jepun, China dan Taiwan mengenai tuntutan wilayah
perairan Kepulauan Senkaku dan Diaoyu di Laut China Timur, dikatakan
lebih rumit dan sensitif tetapi masih dapat dikawal.

Ada beberapa kejadian yang membimbangkan berlaku, terutama sekali di
antara Jepun dan China yang membabitkan masalah penerokaan minyak di
kawasan itu. Tetapi setakat hari ini kejadian itu belum lagi
diterjemahkan dalam bentuk konflik ketenteraan.

Ramai penganalisis berpendapat perbalahan di Laut China Timur itu timbul
bukan sangat berpunca daripada perebutan khazanah sumber asli, tetapi
lebih kepada semangat nasionalis sesetengah pihak di China dan Jepun
yang tidak gemar melihat kedaulatan negara seolah-olah dicabar.

Begitu juga dengan masalah tuntutan bertindih di Laut Sulawesi menjadi
panas bukan sangat kerana berebutkan habuan ekonomi daripada penerokaan
sumber minyak, tetapi lebih kerana timbul semangat berbentuk nasionalis
di kalangan pihak tertentu.

Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia, Iin
Arifin Takhyan, jelas mempamerkan pendekatan yang akan diambil Jakarta.

Antara lain Iin Arifin berkata: "Blok itu (ND6 dan ND7) masih berada
dalam wilayah Indonesia, tetapi Malaysia menganggap sejak Pulau Sipadan
dan Ligitan dinyatakan sebagai wilayah Malaysia, blok minyak dan gas itu
didakwa sebagai miliknya juga".

Perlu diingat bahawa pada 2002, Mahkamah Antarabangsa di The Hague telah
membuat keputusan kedua-dua Pulau Sipadan dan Ligitan adalah milik
Malaysia setelah isu tuntutan bertindih berlarutan buat sekian lama.

Walaupun kedua-dua pulau itu tiada kena mengena dengan tuntutan
bertindih kawasan penerokaan minyak Laut Sulawesi, isu lama ini
ditimbulkan kembali jelas mencerminkan ada kalangan di Indonesia yang
masih tidak berpuas hati di atas kehilangan Pulau Sipadan dan Ligitan.

Perlu diungkit juga bahawa Indonesia turut kehilangan Timor Leste (Timor
Timur) pada 1999 dan kehilangan kedua pada 2002 adalah tamparan hebat
dan sukar diterima oleh sesetengah golongan di Indonesia.

Isu terbaru di Laut Sulawesi telah memperlihatkan Tentera Nasional
Indonesia (TNI) mengambil pendekatan yang agak agresif kerana
kemungkinan bimbang peristiwa 1999 dan 2002 akan kembali berulang.

Ada berita yang menyebut Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) telah
menghantar tiga kapal perang ke kawasan terbabit di Laut Sulawesi dan
khabarnya juga akan menghantar sebuah kapal selam untuk membantu
pemantauan kawasan itu daripada dicerobohi.

Untuk tujuan apa TNI menghantar kapal perang dan kapal selam ke kawasan
terbabit sukar difahami kerana Petronas baru saja mengumumkan
pembahagian kontrak, tetapi penerokaan sebenar belum dimulakan.

Berapa lama aset TNI ini akan membuat pemantauan sukar ditelah, tetapi
apa yang nyata ialah penggunaan kapal perang dan kapal selam di kawasan
itu tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan TNI
tidak berada dalam keadaan yang optimum akibat daripada sekatan
ketenteraan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) sejak 13 tahun lalu.

Sebagai contohnya, hanya 40 peratus jet pejuang yang dimiliki tentera
udara TNI dapat digunakan pada satu ketika akibat kurang alat ganti dan
penyelenggaraan. Jet pejuang Sukhoi umpamanya hanya mempunyai kemampuan
radar saja, tanpa dibantu oleh kelengkapan persenjataan asas yang lain.

Sebab itu, apabila ombak besar tsunami melanda pantai Aceh baru-baru
ini, TNI mendapati begitu sukar untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat
mereka kerana aset mereka tidak boleh beroperasi dengan baik.

Pendekatan yang diambil Beijing dan Tokyo untuk menghurai masalah
tuntutan Kepulauan Senkaku dan Diaoyu, patut dijadikan sebagai
pengajaran bagaimana masalah yang rumit dapat diselesaikan jika pihak
yang bertelagah mengambil sikap sederhana dan penuh diplomatik.

Beijing dan Tokyo amat memahami bahawa jika sikap agresif diambil maka
habuan ekonomi dalam bentuk hasil sumber minyak akan terlepas begitu
saja. Pendekatan sederhana diambil kerana kedua-dua negara ini amat
memerlukan tenaga dari sumber minyak untuk kegunaan industri mereka.

Begitu juga Jakarta dan Kuala Lumpur perlu mengambil pendekatan yang
lebih berhemah kerana kedua-dua negara memerlukan hasil daripada sumber
minyak. Tindakan agresif tidak kira berpunca sama ada dari Jakarta atau
Kuala Lumpur sudah tentu akan merugikan kedua-dua pihak.


------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Help save the life of a child.  Support St. Jude Children's Research Hospital's
'Thanks & Giving.'
http://us.click.yahoo.com/mGEjbB/5WnJAA/E2hLAA/0EHolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Komunitas Urang Sunda --> http://www.Urang-Sunda.or.id
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/urangsunda/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke