Linda Widad Delgado : Perjalanan Panjang Memperoleh Hidayah Islam
<http://baitulmuqaddas.blogspot.com/2008/05/linda-widad-delgado-perjalan\
an-panjang.html>    
[http://bp1.blogger.com/_9rQtAJgIbIM/SDVorpzEVcI/AAAAAAAAAH0/KS1JHYsclwo\
/s320/Linda_W_Degaldo.jpg] LINDA DELGADO, adalah seorang anggota polisi
berpangkat Sarjana di Arizona, Amerika Serikat. Beliau menerima hidayah
Allah dan memeluk agama Islam ketika dunia digegarkan dengan isu
terrorisme. Ikuti kisah beliau berikut ini dalam terjemahan bahasa
malaysia.

LIMA tahun yang lalu, usia saya 52 tahun dan merupakan seorang Kristian.
Saya bukannya ahli pada mana-mana gereja, tapi sepanjang hidup, saya
sentiasa mencari kebenaran. Saya menghadiri banyak gereja dan belajar
daripada guru-guru mereka.

Semuanya tidak lengkap dan saya menyedari tiada apa yang benar melainkan
Allah. Sejak usia saya 9 tahun saya membaca Injil setiap hari. Tidak
dapat dikatakan, sejak sekian tahun lamanya, kerap kali saya mencari
kebenaran yang hakiki.

Bertahun-tahun lamanya sepanjang pencarian saya untuk kebenaran, saya
mempelajari beberapa ajaran agama. Lebih setahun lamanya saya belajar
dua kali seminggu bersama seorang paderi Katolik, tapi tidak boleh
menerima kepercayaan Katolik.

Kemudian selama setahun saya mempelajari Kesaksian Jehovah dan juga
tidak dapat menerima kepercayaan mereka.

Saya menghabiskan masa hampir dua tahun bersama Mormon dan masih tidak
menjumpai kebenaran.

Saya pergi ke beberapa gereja Protestan, sesetengahnya selama beberapa
bulan, cuba mencari jawapan pada persoalan saya.

Hati saya mengatakan Jesus bukannya Tuhan tapi adalah merupakan Nabi.
Hati saya mengatakan Adam dan Hawa bertanggungjawab atas dosa mereka,
bukan saya. Hati saya mengatakan saya mesti menyembah Tuhan dan tiada
yang lain.

Perasaan saya mengatakan saya bertanggungjawab atas usaha baik dan jahat
saya dan Tuhan sesekali tidak akan menjelma menjadi manusia untuk
memberitahu bukan saya yang dipertanggungjawabkan. Dia tidak perlu hidup
dan mati sebagai manusia, kerana Dia ialah Tuhan.

Begitulah kedudukan saya, penuh persoalan dan memohon doa kepada Tuhan
untuk pertolongan. Saya begitu takut menghadapi maut tanpa mengetahui
kebenaran. Saya berdoa dan terus berdoa.

Saya menerima jawapan daripada paderi-paderi dan mubaligh-mubaligh
mengatakan, "Ini ialah satu misteri".

Saya merasakan Tuhan mahukan manusia masuk ke syurga jadi Dia tidak akan
menjadikan ianya satu misteri untuk pergi ke sana, bagaimana untuk
menguruskan kehidupan ini, dan bagaimana untuk mengenali Dia. Saya tahu
hati saya menyatakan iaitu apa yang saya dengar selama ini tidak benar.

Saya tinggal di Arizona, Amerika Syarikat dan pada usia 52 tahun belum
pernah bercakap dengan orang Islam. Saya seperti kebanyakan orang Barat,
telah membaca banyak melalui media mengenai Islam sebagai agama fanatik
dan teroris, jadi saya tidak pernah mengkaji apa-apa buku atau maklumat
mengenai Islam. Saya tidak tahu apa-apa mengenai agama tersebut.

PENEMUAN SAYA
Empat tahun yang lalu, saya bersara setelah berkhidmat selama 24 tahun
sebagai pegawai polis. Suami saya juga pesara polis. Setahun sebelum
kami bersara, saya merupakan seorang sarjan polis dan penyelia. Anggota
polis seluruh dunia mempunyai ikatan yang sama, kita panggil sebagai
Persaudaraan Penguat kuasa Undang-Undang. Kita sentiasa membantu antara
satu sama lain tidak kira polis dari jabatan mana atau negara mana
sekalipun.

Tahun tersebut saya menerima satu risalah yang memerlukan bantuan
daripada sekumpulan anggota polis dari Arab Saudi yang datang ke Amerika
Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris di universiti berdekatan dan
mengadakan latihan di akademi polis di bandar tempat tinggal saya.

Anggota polis dari Arab ini sedang mencari rumah untuk mereka tinggal
bersama keluarga angkat bertujuan untuk mereka mempelajari budaya
Amerika dan mempraktikkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari.

Anak lelaki saya membesarkan cucu perempuan saya sebagai bapa tunggal.
Saya membantunya mencari rumah berhampiran rumah kami agar kami dapat
menjaga cucu. Saya berbincang dengan suami saya dan kami bersetuju ada
baiknya kita membantu anggota polis tadi. Ianya juga merupakan satu
peluang untuk cucu saya mempelajari mengenai orang daripada negara lain.
Saya diberitahu anak-anak muda tadi beragama Islam dan saya begitu
tertanya-tanya.

Seorang jurubahasa dari Arizona State University membawa seorang pemuda
Arab bernama Abdul untuk bertemu dengan kami. Kami menunjukkan kepada
pemuda tadi bilik tidur dan bilik mandi yang dia akan guna apabila
tinggal bersama kami. Saya terus sukakan Abdul. Perwatakannya yang baik
dan menghormati orang memikat hati kami!

Kemudian Fahd dibawa ke rumah kami. Dia lebih muda dan pemalu, tapi
seorang anak muda yang ceria. Saya menjadi tutor mereka dan kami
berkongsi banyak pengalaman kerja kepolisian, mengenai Amerika Syarikat
dan Arab Saudi, Islam dan lain-lain.

Saya memerhatikan bagaimana mereka saling bantu membantu antara satu
sama lain dan juga 16 anggota polis Arab Saudi yang lain yang datang
mempelajari bahasa Inggeris.

Sepanjang tahun mereka di sini, saya menghormati Fahd dan Abdul yang
tidak membiarkan budaya Amerika mempengaruhi mereka. Mereka ke masjid
setiap hari Jumaat, menunaikan solat pada setiap waktu walaupun mereka
keletihan, dan sentiasa berhati-hati apa yang mereka makan dan
seterusnya. Mereka menunjukkan kepada saya masakan tradisional mereka
dan mereka membawa saya ke pasar dan restoran Arab. Mereka begitu baik
dengan cucu saya. Mereka sentiasa memberi cucu saya hadiah, berjenaka
dan bersahabat.

Mereka melayan saya dan suami saya dengan penuh hormat. Setiap hari
mereka akan bertanya sekiranya mereka perlu membantu saya membeli
barangan di pasar sebelum mereka pergi belajar bersama anggota polis
Arab yang lain.

Saya mengajar mereka bagaimana menggunakan komputer, dan saya melanggani
akhbar Arab online dan mula membuat carian di internet untuk mempelajari
lebih mendalam mengenai mereka, budaya mereka dan agama mereka. Saya
tidak mahu melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka.

Satu hari, saya menanyakan mereka jika mereka ada Quran lebih. Saya
hendak membaca apa yang diperkatakan didalamnya. Mereka membuat
permohonan daripada kedutaan mereka di Washington DC dan mendapatkan
saya Quran terjemahan bahasa Inggeris, kaset-kaset dan risalah-risalah.
Atas kehendak saya, kami mula berbincang mengenai Islam (mereka terpaksa
bercakap bahasa Inggeris dan ini menjadi fokus sessi pembelajaran).

Saya mula menyayangi anak muda ini, dan mereka memberitahu saya bahawa
sayalah orang bukan Islam yang pertama mereka mengajarkan Islam!

Setelah setahun, mereka menamatkan pengajian mereka serta latihan di
akademi polis. Saya telah dapat membantu mereka dalam pengajian
kepolisian, kerana saya pernah menjadi jurulatih polis.

Saya mengajak ramai kawan-kawan polis mereka ke rumah saya untuk
menyiapkan projek universiti dan mempraktikkan bahasa Inggeris. Seorang
daripada mereka membawa isteri ke Amerika, dan saya diajak ke rumah
mereka. Mereka begitu baik dan saya berbicara dengan isterinya mengenai
pakaian Islam, wudhu dan perkara lain.

Seminggu sebelum "anak-anak angkat" saya pulang ke Arab Saudi, saya
merancang untuk mengadakan jamuan makan malam dengan hidangan
tradisional mereka (saya membeli separuh daripadanya kerana tidak tahu
memasaknya). Saya membeli hijab dan baya (gaun panjang). Saya hendak
mereka pulang mengingati saya memakai pakaian wanita Islam yang
sempurna.

Mengucap dua kalimah syahadah
Sebelum kami mula hendak makan, saya mengucapkan dua kalimah syahadah.
Anak-anak muda tadi menangis dan ketawa dan ia sungguh istimewa sekali.
Saya percaya dalam hati saya, Allah telah menghantar anak-anak muda ini
sebagai membalas jawapan saya dalam doa-doa saya selama ini. Saya
percaya Allah telah memilih saya untuk melihat kebenaran pada cahaya
Islam. Saya percaya Allah telah menghantar Islam ke pintu rumah saya.
Saya memujiNya atas sifat keampunan, penyayang dan pengasihNya kepada
saya.

PENGEMBARAAN SAYA DALAM ISLAM
Anak-anak angkat Arab saya pulang ke kampung halaman mereka seminggu
selepas saya memeluk agama Islam. Saya amat rindukan mereka, tapi masih
terasa gembira. Saya telah menghadiri masjid berdekatan tempat tinggal
saya sebaik sahaja saya memeluk agama Islam dan mendaftarkan diri saya
sebagai seorang Islam. Saya menjangkakan sambutan yang baik daripada
masyarakat Islam tempatan. Saya menyangkakan semua orang Islam adalah
seperti anak-anak angkat saya yang telah bersama saya setahun yang lalu.

Keluarga saya masih dalam keadaan terperanjat! Mereka menyangkakan saya
akan berpegang pada agama baru ini hanya untuk sementara waktu, menjadi
tidak ketentuan, dan beralih ke agama lain, seperti mana yang saya
lakukan sebelum ini. Mereka begitu hairan dengan perubahan pada
kehidupan harian saya. Suami saya seorang yang serba boleh, jadi dia
membeli makanan halal apabila saya katakan kita akan makan makanan halal
dan menjauhkan makanan haram, dia setuju.

Perubahan seterusnya ialah mengalihkan semua gambar manusia dan gambar
haiwan daripada semua bilik di rumah kami. Satu hari apabila suami saya
pulang kerja dia mendapati gambar-gambar yang digantung di dinding
sebelum ini, telah disusun dalam album. Dia hanya melihat tanpa sebarang
komen.

Seterusnya saya menulis surat pada keluarga saya yang bukan Islam dan
memberitahu mereka keadaan saya dan menjelaskan bagaimana ianya tidak
akan mengubah hubungan kekeluargaan. Saya menerangkan sedikit asas
Islam. Keluarga saya tetap dengan pendirian mereka, dan saya meneruskan
usaha belajar sembahyang dan membaca Quran. Saya menjadi aktif dalam
kumpulan wanita Islam melalui internet dan ini memudahkan pembelajaran
saya.

Saya juga menghadiri kelas asas Islam di masjid apabila saya tidak
bekerja. Saya masih seorang sarjan polis ketika itu dan ianya adalah
sukar – sebenarya mustahil untuk bertudung. Ini begitu menggusarkan
saya dan amat saya bimbang. Hanya lapan bulan lagi dan saya boleh
bersara, jadi saya membuat permohonan, lalu dibenarkan untuk bekerja
tiga hari seminggu untuk saya membuat perancangan dan projek
penyelidikan.

Enam bulan berlalu, muslimah di masjid tidak begitu mengendahkan saya.
Saya merasa kecewa. Saya terasa seperti orang luar. Saya jadi keliru.
Saya cuba bergiat aktif dalam komuniti bersama segelintir muslimah yang
baik dengan saya. Saya tercari-cari mereka yang baik hati, setia kawan
dan sikap yang baik yang ditelah ditunjukkan oleh anak-anak muda polis
Arab pada setiap hari.

Saya melakukan banyak kesilapan di masjid, seperti bercakap di tempat
sembahyang. Saya pergi ke majlis komuniti dan makan dengan menggunakan
tangan kiri; saya menggunakan `nail polish' dan telah dimarahi.
Saya mengambil wudhu dengan cara yang salah dan dipandang serong. Saya
menjadi lemah semangat.

Pada satu hari saya menerima bungkusan daripada kawan muslimah saya yang
saya kenal melalui internet. Dalam bungkunsan tersebut terdapat beberapa
abayas, hijabs, stokin sutera dan sekeping nota yang mengalu-alukan
kemasukan saya ke dalam agama Islam. Wanita ini daripada Kuwait.

Seterusnya seorang muslimah yang baik hati mengirimkan telekung dan
sejadah yang dia buat sendiri. Wanita baik ini tinggal di Arab Saudi.

Saya menerima e-mel yang saya sentiasa ingat apabila saya terasa seperti
orang asing. Nota dalam e-mel tersebut berbunyi : " Saya merasa gembira
anda memeluk agama Islam, sebelum saya menemui ramai orang Islam". Ini
bukanlah penghinaan. Ianya adalah peringatan iaitu Islam itu sempurna
dan kita sebenarnya orang Islam yang tidak sempurna. Sepertimana diri
saya sendiri yang mempunyai kelemahan, begitulah juga saudara-saudara
Islam saya yang lain.

Saya juga mula memahami apa yang saya percaya sebagai anugerah Allah
pada umat Islam : iaitu persaudaraan dalam Islam.

Empat tahun berlalu, kehidupan saya berubah dengan begitu ketara.
Keluarga saya telah menerima dengan rasa baik dan toleran yang saya
adalah seorang Islam dan akan sentiasa berada dalam keIslaman. Segala
puji bagi Allah yang telah menguji saya yang memeluk Islam dan
berhadapan dengan keluarga yang berusaha untuk mengeluarkan saya
daripada Islam.

Beransur-ansur, saya mendapat kawan setempat dan melalui ruangan siber,
ramai kawan-kawan muslimah saya telah menjadi keluarga Islam saya yang
membantu, mengasihi dan menjalinkan persahabatan. Penghujung tahun
pertama saya memeluk Islam, saya telah jatuh sakit dengan penyakit yang
membahayakan. Saya berpegang teguh pada tali Islam dan bersyukur dengan
pemberian teh biji hitam dan air zam-zam serta doa daripada sahabat saya
serata dunia.

Setelah keadaan kesihatan saya bertambah teruk saya menjadi lemah. Saya
terpaksa memberhentikan kerja komuniti dan terpisah daripada komuniti
Islam setempat. Saya berusaha keras dalam solat saya, menghadapi
kesukaran untuk menyebut perkataan Arab, tapi tidak pernah putus asa.

Guru yang mengajar Islam membuat beberapa kaset, dan sahabat saya
membawanya ke rumah saya. Setelah dua tahun, saya telah belajar empat
surah daripada Quran. Ini mungkin nampak sedikit pada kebanyakan orang
Islam, tapi untuk saya ianya adalah satu pencapaian yang besar. Saya
belajar memahami ayat-ayat yang diucapkan didalam solat, perjuangan
selama dua tahun.

Tahun ketiga keIslaman saya, saya terkena serangan sakit jantung dan
terpaksa melalui pembedahan jantung. Ianya waktu yang begitu sedih untuk
saya, kerana saya tahu saya tidak akan dapat menyentuh dahi saya ke
lantai ketika solat, tapi akan selamanya terpaksa duduk atas kerusi
untuk menunaikan solat. Pada masa inilah saya memahami kemudahan yang
Allah berikan dalam ibadah. Bersembahyang secara duduk diatas kerusi
adalah dibolehkan; tidak berpuasa apabila keuzuran adalah dibolehkan.
Saya tidak merasakan keIslaman saya kurang apabila saya melakukannya
dalam keadaan yang demikian.

Setelah menziarahi beberapa buah masjid, ianya adalah seperti Mini
Bangsa Bangsa Bersatu, saya dapat melihat beberapa kumpulan kecil di
masjid yang terhasil mengikut bahasa dan budaya bukannya disebabkan oleh
suka atau tidak suka pada seseorang. Saya merasa senang walaupun
terdapat banyak perbedaan, saya sentiasa boleh mendapatkan ucapan
"Assalamualaikum" dan senyuman.

Kemudian, saya mula berkenalan dengan mereka yang memeluk Islam seperti
saya. Terdapat banyak persamaan antara kita – kami menghadapi ujian
yang sama, seperti ahli keluarga yang bukan Islam, kesukaran menyebut
perkataan Arab, terasa kesunyian pada hari perayaan Islam, dan tidak
mempunyai ahli keluarga untuk berbuka pada bulan Ramadhan.

Adakalanya keIslaman kami akan mengakibatkan sahabat lama kita yang
tidak boleh menerima perubahan pada diri kita, atau disebabkan oleh
aktiviti yang kita tidak dapat bersama dengan mereka yang bukan Islam
seperti menari serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

Apabila saya tidak berupaya melakukan khidmat komuniti, saya berusaha
dengan cara lain untuk kebaikan komuniti Islam. Saya berterusan memohon
pertolongan Allah dalam hal ini.

Pada satu hari, cucu saya mencadangkan agar saya menulis buku mengenai
anak-anak angkat saya daripada Arab Saudi, Islam dan pengalaman keluarga
saya dengan Islam. Saya membuat keputusan untuk menulis buku dan
termasuk juga cerita mengenai sekumpulan gadis, Islam dan bukan Islam.
Cerita tersebut termasuklah masalah yang dihadapai oleh anak gadis di
sekolah dan di rumah dan saya akan menggunakan pengetahuan saya dalam
Islam sebagai panduan untuk karektor dalam buku tersebut.

Saya mula menulis beberapa siri buku yang dipanggil "Islamic Rose
Books". Saya membentuk kumpulan penulis wanita Muslim dan penulis
aspirasi dan seterusnya terhasillah persatuan Islamic Writers Alliance
(Persekutuan Penulis Islam). Persekutuan ini ialah organisasi
antarabangsa yang memberi sokongan untuk penulis wanita Islam dan
penulis aspirasi. Matlamat utama kami ialah untuk mempromosi hasil kerja
kami kepada para pembaca dan penerbit.

Saya juga membuat keputusan untuk membantu dua Tabung Makanan Islam
dengan cara membantu mereka membuat pangkalan data yang digunakan untuk
tujuan inventori, pelanggan, dan untuk menghasilkan lapuran yang
diperlukan untuk tujuan penajaan serta pembiayaan.

Saya juga membuat keputusan iaitu saya akan membelanjakan sebahagian
besar keuntungan hasil jualan buku tersebut untuk membeli buku dan
ditempatkan di perpustakaan kanak-kanak. Saya dapati banyak perpustakaan
yang mempunyai banyak ruangan kosong ditempat buku kanak-kanak Islam.

Banyak lagi yang saya perlu pelajari mengenai Islam. Saya tidak pernah
jemu membaca Quran dan saya gemar membaca kisah-kisah mengenai
tokoh-tokoh Islam yang unggul.

Apabila saya merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara, saya akan merujuk
pada sunnah Rasul saw. Saya akan melihat bagaimana Baginda saw akan
bertindak dalam sesuatu situasi dan saya akan menjadikannya sebagai
panduan.

Pengembaraan saya dalam Islam akan berterusan, dan saya sentiasa
mengharapkan pengalaman-pengalaman baru. Saya bersyukur pada Allah atas
sifat keampunanNya dan sifat penyayangNya      Shalom, Tawangalun.

Kirim email ke