Umno seakan pendatang tanpa izin? Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat KERJA menggali lubang dan menutupnya semula rupa-rupanya tidak berlaku setakat di Malaysia sahaja. Berita dari Singapura yang menyebut “menyediakan lebih banyak peruntukan bagi merawat ‘tahi judi’ sedang dirangka” menjelaskan penyakit tersebut sudah 'berjangkit'.
Kerajaan Singapura terpaksa membuat rancangan ini sebagai persiapan menangani kesan-kesan sampingan jika kasino pertamanya dibina dalam tempoh terdekat. - (Utusan Malaysia 21 Mac 2005). Jika kita kembali ke Malaysia, kita sudah ada pusat judi dan kasino di Genting Highlands. Dari sudut ini, mungkin kita mendahului Singapura! Jika Singapura akur akan keburukan yang boleh lahir dari rakyat yang menjadi ‘tahi judi’ maka apa kata Kerajaan Umno/BN yang memerintah Malaysia? Jika judi haram, tidak berdosakah Kerajaan Islam Hadhari yang meluluskan lesen, premis dan operasi di bukit peranginan itu? Saya tidak faham bagaimana Umno boleh mengizinkan kegiatan perjudian, sedangkan dalam istilah orang Melayu; orang yang berjudi sering diberi gelaran sebagai ‘tahi judi’. Perihal hinanya judi di mata orang Melayu juga serius sehingga sanggup dihubungkan dengan ‘tahi’. Dalam pada itu pun, tergamak kerajaan yang diberi mandat masih menginstitusikan judi dalam bentuk ‘halal’. Kerajaan seakan-akan cuba mencabut akar umbi kebencian rakyat terhadap judi sekian lama. Demikian juga dengan ‘tahi arak’. Sekali lagi ia diterima dalam perbendaharaan kata umat Islam untuk menghina mereka yang meminum arak. Di sini, parti manakah yang lunak dengan kegiatan meluluskan pembinaan kilang, melesenkan jualan termasuk menghalalkan premis serta segala kegiatan yang boleh melicinkan perniagaan arak? PAS atau Umno? Malah terdapat syarikat pengeluar arak yang telah disenarai dan diurusniagakan di Bursa Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun. Jika 2,000 orang sami Buddha boleh berdemonstrasi di hadapan Bursa Saham Thailand pada minggu lepas kerana membantah penyenaraian awam kerana yakin akan kesan keburukan arak, sikap ulama’ hadhari dalam Umno pula bagaimana? Jika judi dan arak dihubungkan dengan ‘tahi’ maka kenapa pula tidak turut disenaraikan pemberi dan penerima rasuah ke dalam kategori ‘tahi’? Kita sepatutnya mengutuk pengamal rasuah sama seperti kita mengutuk ‘tahi arak’ dan ‘tahi judi’. Tidak kira sama ada orang itu, orang korporat, penjawat awam, atau orang politik; mereka perlu dihina. Kempen menyedarkan rakyat akan mereka yang makan rasuah sama seperti memakan tahi, minum air tahi, memakai pakaian yang berlumuran tahi, hidup dalam rumah yang berdinding dan berlantaikan tahi serta memandu kereta berjenama yang berlimpahan dengan ‘tahi’ amat perlu diperbesarkan. Semua orang boleh bersetuju dengan tekad Perdana Menteri yang mahu “memerangi rasuah berterusan” (Berita Harian 23 Mac 2005). Tidak cukup dengan BPR, Kerajaan mewujudkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysialah. Semua ini akan melibatkan wang rakyat. Ini, orang panggil teori. Cakap-cakap tidak akan sama dengan amal. Amalan yang rakyat mahukan kepastian ialah apa kesudahannya 16 kes rasuah melibatkan VVIP yang berprofil tinggi? Ini pernah diisytiharkan sendiri oleh Dato’ Seri Rais Yatim sejurus sebelum pilihan raya umum ke-11. Kita mesti sedar bahawa usaha pencegahan pun perlu, tetapi usaha penangkapan dan pendakwaan pun penting termasuk usaha menimbulkan rasa jijik terhadap rasuah di hati rakyat. Memang ketiga-tiga unsur ini berasingan, tetapi ia saling bergantungan dan diperlukan serentak. Kita perlu tingkatkan kempen ini untuk menyuburkan perasaan benci rakyat kepada segala kerja fasik, kufur, derhaka, maksiat dan kejahilan. Ini selaras dengan maksud Ayat yang berbunyi: “Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalangan kamu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.” (Surah Al-Hujuraat: Ayat 7). Perkataan ‘tahi’ mestilah digunakan bagi menyemarakkan sikap benci terhadap rasuah. Kita mahu setiap rakyat khususnya umat Islam naik loya dan kembang pipi apabila bertemu dengan pemberi dan penerima rasuah. Jika tidak, orang boleh persoalkan kejujuran erti proses “empowerment” yang digembar gemburkan itu. Rakyat boleh kata, “macam mana nak buat, apabila rakyat yang di “empower” membuat laporan dakwaan rasuah, tiba-tiba pihak atasan senyap sahaja. Rakyat tahu bahawa kuasa akhir untuk memutuskan pendakwaan berada di atas meja Perdana Menteri. Di sinilah timbulnya masalah antara PAS dan Umno dari segi pangkal tempat bertolak. Selaku orang Islam, kita sudah ada agama kita yang mengharamkan rasuah, arak dan judi. Bertolak dari sini sebagai pangkalan, maka kita sudah ada haluan yang jelas. Walau bagaimana pun, untuk mendapat pahala, Allah S.W.T telah menentukan dari awal-awal lagi tentang kaedah niat dan pelaksanaan untuk mendapat keredhaanNya. Masalahnya ialah apabila ketiga-tiga penyakit ini sedang dikendalikan oleh pemimpin nasionalis yang sekular dari Umno dan BN yang menjadi kerajaan. Sebenarnya, faham sekular yang berselindung di sebalik kebangsaan tidak mempunyai unsur ketaatan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan dan ketika. Ia semakin teruk apabila kerajaan yang dipimpin Umno ini mengamalkan dasar yang pragmatik. Sesuai dengan dasar parti dan aliran pemikiran tersebut yang dicipta oleh manusia, maka pemimpin Umno tidak melihat nafsu sebagai musuh yang perlu dikawal. Oleh kerana ia cuma aliran fikiran, ia lebih berteras kepada lojik akal. Semua peraturan digubal mengikut fikiran semata-mata. Ini menjadikan suara mereka tidak pernah tetap dan kejap kerana sering dipengaruhi nafsu. Lihatlah pendirian Umno/BN mengenai rasuah, arak dan judi. Sekali kendur, sekali tegang. Sekejap kembang, sekejap kempis. Jika tiba kepada kroni, mungkin ada pertimbangan. Jika berlaku kepada musuh politik, maka akan dibongkarlah habis-habisan. Dalam konteks rasuah misalnya, kes Tan Sri Eric Cheah dan beberapa orang lagi menteri adalah contoh-contoh jelas. Satu, dua sahaja yang disegerakan. Selebihnya, senyap sunyi sampai sekarang. Saya tidak nafikan yang Umno juga turut bersuara dalam ketiga-tiga perkara ini. Bagaimanapun, ia cuma mencuri dari ajaran Islam. Itu pun, dia “berkokok” mengikut musim. Lazimnya menjelang perhimpunan dan pemilihan. Amalan mencampur adukkan Islam dengan faham kebangsaan yang sekular sangat berbahaya kepada umat. Apa faedahnya, mewujudkan gedung judi terbesar, (mungkin untuk maksud tarikan pelancong misalnya), tetapi terpaksa pula mewujudkan pusat-pusat rawatan yang memberi kaunseling, rawatan jantung, unit R&D dan lain-lain langkah untuk mengurangkan ketagihan. Inilah yang disebut enam tolak enam, kali enam. Yang tinggal ialah ‘licin’. Elok-elok judi tiada, diadakan. Setelah lahir ‘tahi judi’, usahakan pembasmian. Demikian jugalah dengan lain-lain penyakit sosial seperti arak, dedah aurat, bersekedudukan, cara hidup gay, lesbian dan lain-lain lagi. Umno seakan-akan sengaja membiarkan maksiat membiak kemudian buat-buat sibuk mencari penyelesaian. Keluhan-keluhan yang berbunyi, “apa nak jadi dengan negara kita” adalah contoh yang jelas. Tanpa menerima hukum Allah atau menerima sebahagian dan menolak sebahagian, Umno seolah-olah “pendatang tanpa izin” yang bertamu secara curi di muka bumi Allah. Mereka memasuki kerajaan Allah tanpa membawa passport dan dokumen perjalanan keluar masuk yang sah bernama “wal iman billah, wal yaumil akhir” yakni beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Kalau betul-betul beriman kepada Allah, tidak berlaku pelbagai kegawatan sosial seperti ini. Ini betul-betul macam kes pendatang tanpa izin. Mahu mendapat taraf kerakyatan, Umno mesti terlebih dahulu mengiktiraf yang muka bumi ini ada tuannya. Setiap peraturan yang ditetapkan tuan langit dan bumi ini wajib dilaksanakan. Menghalalkan pembinaan gedung judi samalah seperti menghalalkan judi itu sendiri. Dalam konteks ini, saya tidak tahulah Islam Hadhari ini, Islam jenis apa! Di sini, pemimpin Umno jangan pula cuba mengelirukan orang ramai dengan isu masyarakat majmuk kerana pluralnya penduduk Malaysia, hatta seluruh penduduk dunia ini sekalipun juga telah disengajakan oleh Allah S.W.T. Lalu, Al-Quran yang diturunkan itu juga melibatkan pengguna peringkat antarabangsa yang akan memandu seluruh umat manusia kepada keselamatan termasuk sekelompok orang Melayu, Cina dan India di sebuah Semenanjung yang sangat kecil bernama Malaysia. Apabila Umno tidak menerima Islam dengan sepenuhnya, maka selama itulah Umno seakan-akan menjadi parti yang sama dengan PATI. Jika tenaga kerja dari Indonesia, Selatan Thailand, Myanmar dan Bangladesh boleh diburu dan dihantar pulang kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen, maka jangan-jangan Umno juga bertapak secara haram di atas bumi Allah S.W.T. Umno perlu semak kehadiran mereka sama ada bertaraf pendatang tanpa izin atau tidak untuk tidak digolongkan sebagai pendatang haram. Umno semestinya semak terlebih dahulu setiap undang-undang dan peraturan yang hendak dilaksanakan. Ia mesti selaras dengan kehendak kerajaan di langit dan di bumi. Umno perlu ingat bahawa Kerajaan Allah S.W.T meliputi seluruh permukaan laut, darat, langit, bumi dan antara langit dan bumi. Pandai-pandai membuat hukum sendiri dan menafikan hukum Allah akan meletakkan Umno sebagai pendatang haram di sisi Allah S.W.T. Dalam konteks inilah PAS sedang menyedarkan seluruh rakyat Malaysia akan pentingnya kuasa yang diamanahkan melaksanakan Islam di muka bumi. Jika orang mempersoalkan yang Umno kononnya turut mahukan Islam seperti PAS, maka izinkan saya menurunkan Perkara 4(1) dalam Perlembagaan Malaysia yang berbunyi: ‘This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extent of the inconsistency, be void.’ Dengan petikan di atas, agak-agak masih adakah ruang untuk mengamalkan Islam yang kaaffah di bawah Kerajaan Umno/BN tanpa bersyirik kepada Allah? Izinkan pertanyaan-pertanyaan itu berlegar di kepala kita buat seketika. __________________________________ Do you Yahoo!? Yahoo! Sports - Sign up for Fantasy Baseball. http://baseball.fantasysports.yahoo.com/ ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> What would our lives be like without music, dance, and theater? Donate or volunteer in the arts today at Network for Good! http://us.click.yahoo.com/WwRTUD/SOnJAA/i1hLAA/JcWolB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif (BA) unless otherwise stated Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED] To Sub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] To Unsub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/