Kelas Rehal untuk dalami al-Quran  Oleh ZUARIDA MOHYIN
        
      PELAJARAN Asas dan Tahfiz al-Quran diajar secara individu. Ustazah 
Rahimah bersama salah seorang pelajar kelas TAFA.   
---------------------------------
  
  REHAL adalah sejenis alat berupa bangku kecil yang dijadikan tempat 
meletakkan al-Quran sewaktu membaca kitab suci itu. Lantaran itu, apabila 
diminta membuat liputan di Kelas Bimbingan Rehal pastinya gambaran awal penulis 
ia adalah kelas-kelas pengajian al-Quran dan Muqaddam. 
   
  Namun Kelas Bimbingan Rehal yang beroperasi di 4A, Jalan Camar 4/3, Seksyen 
4, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor tidak sekadar mengkhusus kepada dua 
ilmu di atas. 
   
  Pengurusnya, Salmah Ahmad, 31, berkata, sejak penubuhan Kelas Bimbingan Rehal 
pada 31 Mac 2002 di tingkat dua bangunan rumah kedai itu, kelas tersebut yang 
lebih dikenali sebagai Rehal turut menyediakan dua kelas iaitu kelas awam dan 
perkhidmatan mengajar ke rumah untuk semua peringkat usia tanpa mengira jantina.
   
  Rehal telah bermula dengan menyediakan Pengajian Tahfiz al-Quran dan Fardu 
Ain atau TAFA. Ia ditawarkan untuk pengajian lepas waktu rasmi persekolahan 
bagi pelajar peringkat rendah dan menengah.
   
  Pengajian itu merangkumi pembelajaran dua jam sehari bersamaan 10 jam 
seminggu. Ia meliputi subjek seperti Asas al-Quran/Tajwid, Tahfiz al-Quran, 
Fikah, Sirah, Bahasa Arab dan Tulisan Jawi. 
   
  Kata Salmah, TAFA tercetus apabila melihat bilangan keciciran pelajar 
daripada mengikuti pendidikan di sekolah agama rakyat semakin tinggi. Ini 
ditambah pula dengan kelas agama swasta yang mengenakan bayaran pengajian yang 
agak mahal.
   
  Di Rehal, pelajaran Asas dan Tahfiz al-Quran diajar secara individu iaitu 
pembelajaran secara langsung atau talaqqi antara murid dan guru. Pelajaran lain 
diajar secara berkumpulan. Prestasi pelajar akan dipantau dari semasa ke semasa 
melalui laporan prestasi yang disediakan.
   
  “Apa yang menarik tentang TAFA ialah ia menggunakan sukatan pelajaran yang 
tersendiri. Malah ia tidak langsung bertentangan dengan J-Qaf walaupun ia telah 
lebih dua tahun awal diperkenalkan di Rehal. Kalau sebelum ini dalam subjek 
Asas al-Quran kami menggunakan kaedah pembelajaran Qiraati tetapi semenjak 
menggunakan buku Ruhul Amin, kami mendapati ia lebih mudah, cepat, merangkumi 
ilmu-ilmu tajwid dan bersistematik. 
   
  “Penjimatan masa yang agak ketara iaitu daripada enam bulan kepada sebulan 
menjadikan Rehal unik,” katanya. Dengan mengenakan yuran bulanan RM80, TAFA 
mampu melahirkan insan yang berilmu, beriman dan beramal pada harga yang 
berpatutan.
   
  Menjelaskan lebih lanjut tentang kelas awam, kata Salmah, di Rehal mereka 
menyediakan tiga subjek pengajian iaitu Asas Tajwid al-Quran, Fardu Ain dan 
al-Quran dan Fardu Ain. Setiap kelas dijalankan dalam lingkungan satu setengah 
jam sehari dan lima hari seminggu. Bayaran yang dikenakan adalah RM80 sebulan.
   
  Sementara itu, terdapat tiga pakej bagi perkhidmatan ke rumah. Pakej A (Asas 
al-Quran/Tajwid al-Quran/Fardu Ain) terbuka kepada orang dewasa atau 
kanak-kanak seramai empat peserta selama lapan jam dengan bayaran RM280 sebulan.
   
  Ia berbeza sedikit bagi Pakej B iaitu 12 jam sebulan antara lima hingga tujuh 
peserta dengan bayaran RM400 sebulan. Bagi Pakej C, pengajaran selama 16 jam 
sebulan antara lapan hingga 12 peserta dengan yuran RM600 sebulan. Pakej C 
hanya mengajar al-Quran dan Fardu Ain.
   
  Rehal dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 7 malam 
kecuali 1 hingga 2.30 petang untuk waktu rehat. Ia ditutup pada hari kelepasan 
am bagi negeri Selangor.
   
  Mengimbau sejarah penubuhan Rehal, cerita Salmah, sebelum kewujudannya 
pengasas merangkap pengerusinya, Ustaz Surur Shihabuddin Hassan An-Nadawi 
al-Hafiz bermula dengan mengajar dari rumah ke rumah. Sehinggalah pada Februari 
2002, sebuah pusat pengajian al-Quran dan Fardu Ain dengan nama yang digunakan 
sekarang didaftarkan di bawah Pendaftaran Perniagaan.
   
  “Awal-awal dulu, Rehal hanya memiliki tujuh murid. Kini bukan sahaja jumlah 
muridnya bertambah hari demi hari tetapi jumlah tenaga pengajarnya juga 
meningkat. Selama tiga tahun beroperasi, seramai 80 pelajar dan empat tenaga 
pengajar iaitu saya, Ustazah Rogayah, Ustazah Rahimah dan Ustaz Razis bernaung 
di bawah Rehal.
   
  “Terbaru, Rehal menawarkan Kursus Lengkap Ilmu Tajwid dan Kem Tahfiz dan 
Solat pada musim cuti persekolahan kanak-kanak antara usia 10 hingga 17 tahun. 
Setiap peserta akan diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek dan aktiviti. 
Antaranya Hafazan al-Quran, Motivasi Pelajar Cemerlang, Bimbingan Anak Soleh, 
Praktikal Solat, Zikir, Muhasabah, Riadah dan banyak lagi.
   
  “Pada cuti persekolahan yang bakal tiba tidak lama lagi, Rehal akan 
menganjurkan kem ini iaitu dari 28 Mei hingga 3 Jun. Kelumpang Resort Training 
Centre, Kerling, Hulu Selangor dipilih sebagai lokasi kem tujuh hari enam malam 
ini,” kata Salmah.
   
  Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi Kelas Bimbingan Rehal di talian 
016-3302019 (Rogayah) atau 019-2642017 (Salmah).
   
  Para pelajar sesi petang di Rehal turut diajar praktikal solat setiap hari 
selepas pukul 5 petang. 
   
  Kata Salmah, praktikal solat ini hanya bagi pelajar kelas petang memandangkan 
masa mereka tidak terlalu ketat. Tujuannya adalah untuk melatih anak-anak 
menjadi imam dan pandai melaungkan azan dan iqamat. 
   
  “Malah ada antara ibu bapa yang memberitahu mereka melihat ada perubahan pada 
anak-anak mereka seperti berani menjadi imam di rumah serta berlumba-lumba 
untuk bergelar bilal di surau.
   
  “Berita perubahan kanak-kanak ini cukup menggembirakan hati kami di Rehal 
lebih-lebih lagi pepatah Melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah daripada 
rebungnya,” kata Salmah.
   
  Allah tidak mempunyai anak  Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
  
Syeikh Sya'rawi berkata, selepas Allah s.w.t. menerangkan bahawa setiap sesuatu 
di alam ini di bawah kekuasaan-Nya, Allah s.w.t. hendak mengembalikan atas 
mereka yang cuba menjadikan Allah penolong dan sekutu bagi kerajaan-Nya. 
   
  Kemudian ayat-ayat yang berikut menunjukkan kefahaman mereka yang sesat 
terhadap hakikat Uluhiah dan penyelewengan mereka daripada dasar tauhid yang 
menjadi landasan agama Allah dan asas kefahaman yang betul dalam setiap 
risalah. Ia menggandingkan kefahaman mereka yang menyeleweng dengan 
kefahaman-kefahaman jahiliah yang karut terhadap zat Allah s.w.t. dan 
sifat-sifat-Nya, di samping menjelaskan wujudnya persamaan di antara hati kaum 
Musyrikin Arab dengan hati kaum Musyrikin daripada golongan Ahli Kitab serta 
membetulkan seluruh mereka yang menyeleweng ke arah kepercayaan syirik itu dan 
menerangkan landasan kefahaman keimanan yang betul kepada mereka.
   
  Firman Allah, “Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: ‘Allah mempunyai 
anak’. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia-lah yang 
memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah 
kekuasaan-Nya.
   
  Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); 
dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman 
kepadanya: ‘Jadilah engkau!’ Lalu menjadilah ia.” (Al-Baqarah: 116 dan 117)
   
  Firman Allah s.w.t., Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah 
mempunyai anak.” Inilah dakwaan golongan Yahudi, Kristian dan musyrikin. 
   
  Yahudi mendakwa Uzair sebagai anak Allah. Kristian pula mendakwa al-Masih 
anak Allah. Sedangkan golongan musyrikin pula mendakwa segala malaikat adalah 
anak perempuan Allah. Maka Allah s.w.t. mendustakan semua dakwaan mereka seraya 
berfirman, “Sebelum al-Quran meneruskan penerangannya tentang segi-segi 
kekarutan kefahaman mereka yang lain terhadap Allah s.w.t., ia terlebih dahulu 
membersihkan Allah s.w.t. daripada kefahaman itu dan menerangkan hakikat 
hubungan yang sebenar antara Allah dengan sekalian makhluk-Nya.”
   
  Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Ulama telah khilaf sebab turun ayat 
ini:
  1. Diturunkan kepada golongan Yahudi yang menjadikan Uzair anak Allah. Inilah 
pendapat Ibn Abbas r.a..
  2. Diturunkan kepada Kristian Najran yang berkata, Isa anak Allah. Inilah 
pendapat Muqatil. 
  3. Diturunkan kepada Kristian dan Musyrikin Arab kerana orang Kristian 
mendakwa Isa anak Allah dan musyrikin pula mendakwa malaikat adalah anak-anak 
perempuan Allah. Inilah pendapat Ibrahim bin al-Sariy.
  4. Bahawa ia diturunkan terhadap Yahudi, Kristian dan Musyrikin Arab. Inilah 
pendapat al-Tha'labi.
   
  Maha Suci Allah (daripada apa yang mereka katakan itu), iaitu Maha Suci Allah 
daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-suci-Nya. Dakwaan yang karut 
bahawa Allah mempunyai anak itu bukanlah dakwaan kaum Nasara sahaja terhadap 
Isa al-Masih, malah ia juga dakwaan kaum Yahudi terhadap Uzair dan dakwaan 
Musyrikin Arab terhadap malaikat. Ayat ini tidak menghuraikan dakwaan-dakwaan 
itu kerana tujuan penerangan ayat ini adalah untuk menerangkan secara ringkas 
tentang tiga golongan yang menentang Islam pada masa itu di Semenanjung Tanah 
Arab – yang anehnya ketiga-tiga golongan itu masih terus menentang Islam pada 
hari ini dalam bentuk pergerakan Zionis antarabangsa. Dan ketiga-tiga golongan 
ini lebih kufur daripada kaum Musyrikin pada masa itu – dan daripada kenyataan 
umum ayat ini gugurlah dakwaan kaum Yahudi dan Nasara kononnya mereka sahaja 
golongan manusia yang mendapat hidayat. Kini nyatalah bahawa mereka adalah sama 
dengan kaum Musyrikin (Arab).
   
  Bahkan Dialah yang daripada segala dakwaan mereka dengan sesuci-sucinya 
memiliki segala yang di langit dan di bumi. Bahkan ia bukan sebagaimana apa 
yang mereka sangka. Sebenarnya Allahlah yang bersifat Maha Pencipta semua yang 
ada daripada makhluk-Nya termasuklah Uzair, al-Masih dan malaikat. 
   
  Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. Al-Zajjaj berkata: Perkataan 
qunut mempunyai dua makna: 
  1. Qiam atau berdiri;
  2. Taat. 
   
  Dan yang masyhur pada bahasa dan penggunaan iaitu qunut dengan maksud doa 
ketika qiam sedangkan orang berqunut ialah orang yang melaksanakan arahan Allah 
s.w.t..
   
  Ulama tafsir mengemukakan tiga pendapat yang dimaksudkan dengan qunut:
  1. Ketaatan. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, Mujahid dan Qatadah;
  2. Ia bermaksud ikrar dengan ibadat. Inilah pendapat Ikrimah dan al-Suddi; 
  3. Ia bermaksud qiam. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Rabi'. 
   
  Sedangkan makna qiamnya pula mempunyai dua pendapat:
  1. Bahawa maksudnya qiam dengan syahadah dengan ubudiyah; 
  2. Iaitu berdiri di hadapan-Nya pada hari kiamat.
   
  Semuanya patuh kepada Allah s.w.t. dan sekali-kali tidak mungkin melanggar 
hukum takdir Tuhan. Oleh itu, tidak sekali-kali perlu difahamkan bahawa Allah 
s.w.t. mempunyai anak di kalangan makhluk-makhluk yang wujud di langit dan di 
bumi ini kerana seluruh makhluk ini adalah daripada ciptaan-Nya belaka. 
   
  Semuanya diciptakan dengan darjah yang sama dan alat yang sama.
  
  Berkehendak
   
  Firman Allah, “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala 
keindahannya); Allah sahajalah Pencipta dan Pereka yang tidak mempunyai 
sebarang contoh terdahulu dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, 
maka Ia hanya berfirman kepadanya: Di sini kita sampai kepada satu konsep Islam 
yang bersih dan sempurna mengenai Allah s.w.t. dan bentuk hubungan antara 
khalik dan makhluk, juga mengenai cara kemunculan makhluk daripada ciptaan-Nya. 
Konsep ini merupakan setinggi-tinggi dan sejelas-jelas kefahaman mengenai semua 
hakikat ini. Alam buana ini muncul daripada Penciptanya dengan perantaraan 
keputusan iradat Allah yang mutlak dan Maha Berkuasa iaitu, “Jadilah engkau!” 
Lalu menjadilah ia. 
   
  Apabila Allah s.w.t. berkehendak mencipta sesuatu, ia boleh terhasil tanpa 
sebarang larangan dan tangguh, bahkan dengan sekelip mata, pasti arahan-Nya 
terlaksana. Keputusan Iradat Allah hendak menjadikan sesuatu makhluk sudah 
cukup untuk melahirkan makhluk itu ke alam al-wujud mengikut rupa bentuk yang 
telah ditentukan-Nya tanpa perantaraan kekuatan dan bahan. 
   
  Tetapi bagaimana cara iradat Allah – yang kita tidak mengetahui hakikat itu – 
berhubung dengan makhluk yang hendak diciptakan-Nya itu adalah satu rahsia yang 
tidak didedahkan kepada kefahaman manusia, kerana tenaga manusia tidak 
dilengkapi dengan kesediaan-kesediaan untuk memahaminya kerana ia tidak 
diperlukannya dalam menjalani tugas yang diserahkan kepada mereka, iaitu tugas 
memerintah dan mengimarahkan bumi ini. 
   
  Sebagaimana manusia dikurniakan Allah s.w.t. dengan kudrat kuasa sekadar yang 
membolehkan mereka untuk membongkakkan undang-undang alam yang berguna kepada 
mereka di dalam menjalani tugas-tugas mereka, begitulah juga Allah s.w.t. 
menyembunyikan daripada mereka rahsia-rahsia lain yang tidak ada hubungan 
dengan tugas khalifah mereka yang agung. 
   
  Pendapat-pendapat falsafah hanya berkelana dan meraba-raba di padang gurun 
tanpa pedoman apabila ia cuba membongkarkan rahsia-rahsia ini dan membuat 
berbagai-bagai andaian yang terbit daripada kefahaman manusia yang tidak 
disediakan untuk bidang ini. Mereka sama sekali tidak dibekalkan dengan 
alat-alat yang membolehkan mereka mengetahui dan meneroka bidang ini. Oleh 
sebab itulah hasil andaian-andaian itu kelihatan lucu walaupun ia dibuat dalam 
tahap yang setinggi-tingginya. 
   
  Ia kelihatan begitu lucu hingga membingungkan manusia bagaimana pendapat ini 
boleh terkeluar daripada seorang ahli falsafah! Semuanya ini disebabkan 
ahli-ahli falsafah itu cuba keluar dengan kefahaman dan pemikiran manusia 
daripada tabiat kejadiannya dan membawanya keluar melebihi batas keupayaan yang 
ditentukan kepadanya. 
   
  Oleh sebab itu mereka tidak sampai kepada sesuatu pendapat yang boleh 
diyakini dan boleh dihormati oleh orang yang berpegang dengan kefahaman Islam 
dan hidup di bawah naungannya. Islam telah menyelamatkan para penganutnya yang 
beriman kepada hakikatnya daripada berkelana dan meraba-raba di padang gurun 
yang tidak berpandu dan daripada melakukan percubaan-percubaan yang gagal serta 
tersalah jalan dari awal lagi. 
   
  Gerakan iradat itu berlangsung dengan suatu cara yang tidak dapat diketahui 
oleh daya pemikiran manusia. Ini kerana hal ini di luar kemampuan daya 
pemikiran mereka. Oleh itu adalah kerja-kerja membuang tenaga yang sia-sia 
untuk berusaha membongkar rahsia ini dan meraba-raba di padang gurun tanpa 
pemandu.
  - DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Pasir 
Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.


Panduan untuk bakal pengantin & sudah berkahwin.. cara utk mengawal kewangan, 
meningkatkan dana kewangan utk berkahwin & sesudah berkahwin, berbelanja secara 
berhemah.. insha ALlah

layari laman web>> http://www.maskahwin.com/index.php?ref=delete 
untuk keterangan lanjut
                
---------------------------------
 New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage!

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
You can search right from your browser? It's easy and it's free.  See how.
http://us.click.yahoo.com/_7bhrC/NGxNAA/yQLSAA/JcWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Reply via email to