Edisi Remaja KL : 12 pelajar kutu rayau ditahan
  Oleh Zainal Zawawi Mohamed
  
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 12 pelajar lelaki dan perempuan berpakaian ala ‘Black 
Metal’(Gothic) menjadikan perhentian bas di hadapan sebuah pusat beli-belah di 
Jalan Imbi di sini, sebagai ‘rumah tumpangan’ untuk tidur semalaman, pagi 
semalam.

Mereka menjadikan perhentian bas itu sebagai tempat tidur kerana tidak 
mempunyai wang untuk menyewa hotel apabila keletihan selepas merayau di sekitar 
kawasan berkenaan pada malam minggu.

Kelakuan kurang sopan pelajar itu mencemarkan imej ibu kota pada pandangan 
pelancong asing menyebabkan mereka diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal, berkata 
polis menyerbu lokasi geng berpakaian ala Black Metal itu kira-kira jam 8 pagi 
sejurus menerima aduan orang awam.

Katanya, semua pelajar itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi 
untuk menjalani ujian air kencing bagi mengesan pengambilan dadah.

“Mereka berusia 15 hingga 19 tahun itu tinggal di sekitar ibu kota. Tiga 
daripada mereka adalah gadis.

“Hasil ujian dijalankan, tiada sesiapa yang positif dadah. Mereka diberi 
kaunseling sebelum dibenarkan pulang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit dikatakan tidak gemar pulang ke rumah, 
sebaliknya lebih suka tidur di perhentian bas.

Justeru, katanya, ibu bapa perlu mengambil berat gaya hidup anak masing-masing 
kerana pada usia semuda itu, mereka mudah terjerumus ke kancah jenayah.

Sementara itu, Kamal Pasha berkata, dalam operasi bersepadu yang dijalankan di 
Jalan Changkat Thamby Dollah, di sini, semalam, pihaknya menahan 51 warga asing 
yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, termasuk menggunakan MyKad dan 
pasport palsu.

“Polis turut menahan beberapa warga asing kerana positif dalam ujian air 
kencing kerana mengambil dadah,” katanya.

Kira-kira 30 anggota polis terbabit dalam operasi bersepadu itu yang turut 
dibantu 60 anggota Rela, termasuk unit anjing pengesan.
  
------------------------------------------------------------------------------------------
   
  Malaysia negara aman, Melayu yang cemerlang
   
  Edisi Curi: Kabel telefon dipotong

  Oleh Mohd Fazil Ahmad
  
ALOR STAR: Kira-kira 200 penduduk di kampung Mukim Tebengau, dekat sini, 
terputus komunikasi hubungan apabila kabel telefon di sepanjang jalan 
berhampiran dipotong dan dicuri pihak tertentu, seminggu lalu.

Antara kampung berkenaan, termasuk Kampung Masjid Telok Bulang, Kampung Tanah 
100, dan Kampung Lahar Buluh kini terpaksa menggunakan telefon bimbit selain 
menggunakan telefon awam di pekan Simpang Empat, lebih lima kilometer dari 
kampung mereka.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati, kabel telefon sepanjang 80 
meter di Kampung Teluk Bulang yang menyalur talian ke tiga kampung berkenaan 
putus akibat dipotong dan dibiarkan terjuntai di situ.

Bagaimanapun, kerja penyelenggaraan yang dilakukan syarikat kontraktor dari 
sini berjaya menghubungkan semula kabel terbabit yang memulihkan semula talian 
terputus terbabit.

Sebelum ini, penduduk yang menggunakan perkhidmatan itu terpaksa mencari 
alternatif lain untuk berkomunikasi dengan saudara- mara, polis dan ambulans 
jika berlaku kecemasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Teluk 
Bulang, Sobbri Ismail, 43, berkata masalah kecurian kabel telefon di kawasan 
itu kerap berlaku walaupun kerja penyelenggaraannya sudah dilakukan.

“Setakat ini lebih tiga kali kes kecurian kabel berlaku di kawasan ini dan 
menimbulkan masalah kepada penduduk jika berlaku kes kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk kampung pernah melaporkannya kepada 
Telekom Malaysia Bhd (TM) dan kabel yang dipotong diganti baru, namun tidak 
bertahan lama apabila sekali lagi dipotong pencuri berkenaan.

Katanya, pencuri kabel telefon itu dipercayai melakukan kegiatan itu ketika 
awal pagi atau setiap kali hujan atau ribut kerana tiada orang melalui kawasan 
berkenaan ketika itu.

“Mereka giat melakukan kegiatan itu antara jam 3 hingga 6 pagi ketika orang 
ramai tidur dan mencari lokasi jauh dari penglihatan orang ramai.

“Tidak semua penduduk kampung ini mempunyai telefon bimbit dan mereka terpaksa 
meminjam daripada orang lain untuk membuat panggilan dan ada masanyatalian 
sering terputus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun perkara itu dimaklumkan pihak berkenaan, namun 
pemasangan yang dibuat tidak bertahan lama dan kecurian berlaku lagi hingga 
membingungkan penduduk.

“Kecurian kabel bukan saja dilakukan golongan penagih tetapi orang awam yang 
mampu mengaut pendapatan lumayan hasil jualan tembaga yang diperolehi dari 
kabel berkenaan,” katanya.

Difahamkan, harga pasaran bagi tembaga yang dijual kini dikatakan mencecah RM18 
hingga RM20 sekilo menyebabkan pihak berkenaan sanggup berdepan risiko bagi 
mendapatkannya.

“Penduduk terpaksa menunggu beberapa hari untuk mendapatkan semula perkhidmatan 
telefon rumah masing-masing walaupun berlaku kes kecemasan.

“Setakat ini lebih 20 aduan diterima dari penduduk mengenai masalah ini yang 
kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Saya berharap pihak berkuasa memberi perhatian mengenai kejadian ini kerana ia 
sering berlaku dan seolah-olah dipandang mudah pihak berkenaan,” katanya.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan pencuri kabel itu menggunakan lori untuk 
mengangkut kabel terbabit dan dilakukan lebih dari seorang.

“Kami akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu supaya pencuri terbabit 
dapat ditahan untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, kami berharap pihak TM menyambung semula kabel telefon yang 
dipotong untuk memudahkan kami berkomunikasi, terutama ketika kecemasan,” 
katanya.

Seorang penduduk, Mohd Khairul Amli, 16 berkata, sejak terputus talian dia 
sering menghadapi masalah ketika ingin menghubungi rakan sekolah bagi mengulang 
kaji pelajaran.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz, Simpang 
Empat itu, berkata sejak talian telefon rumah terputus dia terpaksa pergi 
sendiri ke rumah rakannya untuk berbincang mengenai pelajaran.

“Saya terpaksa pergi sendiri ke rumah rakan yang sebelum ini hanya 
menghubunginya jika mengalami masalah berkaitan pelajaran. 

“Jika ke rumahnya belum tentu dia ada di rumah dan terpaksa pulang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Peruncitan) TM Kedah, Fauziah Mohd Taib ketika 
dihubungi berkata, pihaknya meminta kerjasama polis dan penduduk kampung bagi 
menangani masalah ini.

“Kita memandang serius kes ini kerana ia merugikan kerajaan dan pengguna. Kita 
mengharapkan pihak berkuasa dan orang awam bekerjasama bagi memantau kegiatan 
ini,” katanya.
  --------------------------------------------------
   
  Edisi Rompak: Sasar wanita berumur
Oleh Siti Azura Abdul Rahman
  
KELANA JAYA: Kes rompakan dan samun semakin membimbangkan penduduk Taman Kelana 
Indah Jalan SS7/28, di sini, berikutan sasaran utama perompak tertumpu kepada 
golongan wanita terutama mereka yang berumur.

Lebih merisaukan, perompak yang disyaki individu sama dalam setiap kes, 
merompak mangsa di laluan utama orang ramai termasuk di kawasan rumah penduduk 
tanpa menghiraukan keadaan sasaran mereka.

Seorang penduduk, Musa Mohamad, 56, peristiwa yang menimpa isterinya cukup 
membuatkan mereka sekeluarga �kecut perut� kerana kejadian 
berlaku di hadapan rumahnya ketika wanita itu mendukung cucu.

�Tanpa disangka, leher isteri saya diacu pisau rambo dan pada masa sama 
seorang daripada mereka meragut rantai dan gelang tangan tanpa menghiraukan 
cucu kami dalam dukungan.

�Ini bukan kejadian pertama dan kami membuat laporan di balai polis 
berhampiran namun sehingga kini tiada tangkapan dilakukan walaupun pengecaman 
gambar dibuat,� katanya ketika menghadiri Majlis Dialog Mesra Rakyat 
Parlimen Kelana Jaya di sini, semalam.

Beliau yang 15 tahun menetap di situ kesal dengan kecuaian pihak polis dalam 
menangani isu ini kerana kejadian sama berlaku di kawasan perumahan itu.

Katanya, tindakan perompak itu dianggap biadab sehinggakan mereka berani 
menyapa beberapa wanita yang juga pernah menjadi mangsa sebelum ini ketika 
berselisih jalan.

�Kami yakin mereka individu sama dan mereka berlagak seolah-olah tidak 
pernah melakukan sesuatu terhadap kami sebelum ini.

�Dengan bersahaja, mereka menegur beberapa wanita yang pernah dirompak 
ketika berselisih jalan,� katanya yang turut menggesa pihak polis 
menggiatkan aktiviti rondaan terutama menjelang malam kerana khuatir 
keselamatan penduduk.

Dalam pada itu, beberapa penduduk turut menyuarakan rasa tidak puas hati mereka 
terhadap tindakan polis yang didakwa bersikap sambil lewa ketika menjalankan 
tugas di kawasan itu termasuk kegagalan melakukan tindakan sepatutnya selepas 
menerima aduan.

Menjawab dakwaan berkenaan, Pegawai Penyiasat Kanan Zon Dua iaitu Kelana Jaya 
dan Damansara, Asisten Superintendan Ranjit Singh, berkata masalah itu akan 
segera ditangani biarpun pihaknya kekurangan anggota.

Dialog selama empat jam itu dipengerusikan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Lok Seng 
Kok yang turut sama menjawab persoalan berkaitan masalah penduduk.

Selain itu, wakil daripada beberapa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Alam Flora turut serta bagi menjawab 
dan membincangkan masalah yang berlaku di kawasan terbabit.
   
  ---------------------------------------------------------
   
  Edisi Maksiat & Ugut: Usah malu lapor polis
Oleh Mohd Razlan Salleh
  
KUALA LUMPUR: Wanita yang pernah dipermainkan lelaki "gigolo" dinasihati tidak 
malu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa supaya perbuatan jijik 
itu tidak berulang kepada wanita lain.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Datuk Dr Mohammed Yussof Hussein, berkata 
sikap mangsa yang enggan mendedahkan perbuatan berkenaan menyebabkan lelaki 
terbabit lebih berani melakukan perbuatan sama terhadap wanita lain.

�Wanita yang menjadi mangsa lelaki "gigolo" itu perlu tampil membuat 
laporan polis supaya lelaki berkenaan mendapat pembalasan terhadap apa yang 
dilakukannya.

�Pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini kerana ia menjejaskan moral 
wanita tempatan selain penjenayah itu sendiri yang berasal dari luar 
negara,� katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Metro Ahad, semalam 
mengenai seorang eksekutif wanita tempatan yang terpaksa membayar RM1,000 
sebulan kepada lelaki Bangladesh yang mengugut menyebarkan gambar aksi intim 
mereka kepada umum.

Dr Mohammed Yussof berkata, mangsa boleh memohon kepada pihak berkuasa 
merahsiakan identiti supaya ia tidak memalukan dirinya.

"Apa yang penting, lelaki warga asing berkenaan yang mengambil kesempatan 
terhadap wanita tempatan perlu dihadapkan ke muka keadilan dan menerima hukuman 
sewajarnya," katanya yang juga Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee 
Lam Thye, berkata pihaknya kesal perbuatan lelaki terbabit yang pada asalnya 
datang ke negara ini untuk mencari rezeki tetapi melakukan jenayah.

"Kes seperti ini amat mendukacitakan. Sepatutnya warga asing yang datang ke 
negara ini untuk bekerja perlu menggunakan peluang diberikan sebaik mungkin dan 
bukannya mengambil kesempatan melakukan jenayah."

"Pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap perkara seumpama ini kerana 
penjenayah terbabit bukan saja merosakkan masyarakat kita, malah tidak 
menghargai jasa kerajaan membenarkan mereka bekerja di negara ini," katanya.

Lee turut menasihati wanita tempatan supaya lebih berwaspada ketika memilih 
pasangan terutama daripada kalangan warga asing sebelum membuat keputusan 
melakukan hubungan lebih intim atau mendirikan rumah tangga.

"Seelok-eloknya mangsa perlu membuat laporan polis supaya kejadian seumpama ini 
tidak berulang," katanya.
   
  --------------------
   
  Edisi Ilmu Hitam & Fitnah: Bahana fitnah santau
DJ Dolasoh dan Mohd Rashidi Yusof
  
LENGGONG: Lebih 100 peniaga restoran dan gerai makanan terutama milik orang 
Melayu di sekitar daerah ini, terpaksa gulung tikar berikutan fitnah santau 
sejak empat bulan lalu, mengakibatkan orang ramai takut singgah makan minum di 
situ.

Malah, bandar Gerik dan Lenggong yang menjadi tumpuan ramai berikutan terletak 
di laluan ke Pantai Timur melalui Lebuhraya Timur Barat, kini lengang berikutan 
keengganan orang ramai singgah menjamu selera di situ.

Fitnah santau berkenaan semakin diperbesar-besarkan kononnya 22 mangsa di 
daerah ini menemui ajal akibat terkena santau.

Difahamkan, perbuatan santau kononnya akibat dendam wanita kepada seorang 
lelaki dipercayai tersebar di Gerik sejak empat bulan lalu sebelum merebak ke 
Lenggong, Pengkalan Hulu, seterusnya ke seluruh negeri ini sehingga orang ramai 
kini takut makan di kedai.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk 
Saarani Mohamed, berkata fitnah santau yang dianggap tidak berasas itu 
mendatangkan kesan buruk khususnya kepada peniaga makanan kerana lebih 100 
restoran serta gerai makanan ditutup kerana tiada pelanggan.

“Fitnah santau ini menjejaskan beratus-ratus, malah mungkin beribu-ribu peniaga 
restoran dan gerai makanan di negeri ini.

“Malah, pekan Gerik sebagai tempat transit pengguna jalan raya antara Pantai 
Barat dan Pantai Timur yang sebelum ini disinggahi pelanggan kini lengang.

“Lenggong yang terkenal dengan masakan ikan Tasik Raban kini turut terjejas 
teruk akibat berita yang tidak berasas ini,” katanya kepada pemberita selepas 
merasmikan Pesta Makanan Tradisional Perak 2006 di Padang Bunga Raya di sini, 
kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk 
Khamsiyah Yeop, Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perak, Habsah Nordin, 
Pegawai Daerah Gerik, Abdul Karim Osman dan Ketua Polis Daerah Hulu Perak, 
Superintendan Mahad Nor Abdullah.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan berkata, beliau 
kesal kerana ada pihak tertentu sanggup menyebar dan memperbesarkan berita yang 
tidak pasti itu.

sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan orang ramai.

“Saya juga sedih kerana orang ramai mudah percaya kepada cerita seperti ini dan 
kemudian menokok tambah sehingga mereka sendiri menjadi gelisah.

“Saya difahamkan memang ada berlaku beberapa orang yang makan di restoran dan 
gerai makan mengalami batuk dan muntah tetapi sebenarnya ia berlaku kepada 
individu terbabit sebelum mereka makan di situ lagi,” katanya.

Saarani berkata, individu berkenaan sebelum itu juga disahkan doktor diserang 
penyakit batuk kering dan secara kebetulan selepas makan di kedai dia termuntah 
di depan orang ramai sehingga dibuat tanggapan terkena santau.

“Jika hanya melihat peristiwa ini kemudian dijadikan ukuran dan tanggapan tanpa 
ada bukti kebenarannya, maka ia amat malang sekali. 

“Saya berharap supaya tidak ada lagi sesiapa menyebarkan cerita santau ini dan 
tidak menjadikan perbuatan ini sebagai satu budaya kerana ia akan merugikan 
khususnya kepada orang Melayu sendiri,” katanya.
   
  ---------------------------------------------------
   
  Edisi Dakyah: Jumpa kitab suci lain
Oleh Zalifah Mohd Yatim
  
JOHOR BAHRU: Seorang jemaah Masjid Jamek Plentong terkejut apabila menemui 
sebuah kitab suci agama lain diletakkan di sebuah rak buku dalam masjid itu, 
baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Johor, Yosree 
Ikhsan, berkata pihaknya menerima kitab berkenaan daripada jemaah terbabit 
baru-baru ini.

Katanya, kitab berkulit warna hitam pada bahagian tepi tertulis perkataan 
Al-Kitab dan jika dilihat dari jauh tidak menyedari bahan bacaan itu untuk 
agama lain.

Menurutnya, pada bahagian dalam muka surat buku itu tertulis perkataan 
`Perjanjian Lama’ dan buku itu didapati dicetak pada 1996 di Jakarta, Indonesia.

Beliau katanya, antara bahan yang ditulis di dalam buku itu mengenai kejadian 
alam, Nabi Musa, sejarah keturunan Bani Israel. 

Bagaimanapun, pihaknya masih belum mengetahui motif sebenar bahan bacaan itu 
diletakkan di masjid itu.

“Kami menjalankan siasatan tujuan sebenar bahan bacaan itu diletakkan di rak 
masjid berkenaan. Sama ada ia ditemui di tempat lain dan diletakkan di situ 
atau ada muslihat di sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan dan memantau kes berkenaan bagi 
mengelakkan kegiatan yang sama berleluasa di tempat lain, di negeri ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta 
menghubungi JAJ bagi membantu siasatan.

Sementara itu, katanya, sepanjang Januari hingga Julai lalu sebanyak 2,157 kes 
pelbagai kesalahan jenayah syariah seperti khalwat dikesan dengan tangkapan 599 
lelaki dan 575 wanita.

Katanya, seramai 506 ditahan kerana melakukan persetubuhan luar nikah, berjudi 
(238), berkelakuan tidak senonoh (207), lelaki berlagak perempuan (18), minum 
arak (sembilan), terbabit dalam pelacuran (dua) dan masing-masing satu kes 
kerana menghina Islam serta mengajar tanpa tauliah.
   
  -----------------------------------------
   
  Edisi Melayu hanyut: 20 Mat Rempit amuk
Oleh Zuliaty Zulkiffli
  
ALOR STAR: Lebih 20 Mat Rempit mengamuk dengan membelasah seorang pemandu 
kereta yang dipercayai terlanggar sebuah motosikal yang ditunggangi rakan 
mereka, awal pagi semalam.

Penunggang motosikal itu, Mohd Faizal Yahya, 23, meninggal dunia di Hospital 
Alor Star (HAS), kira-kira jam 4 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Faizal yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dikatakan 
dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kubang Rotan, Kuala Kedah, selepas 
membantu kakaknya berniaga di kedai makan di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat di Lebuhraya Darulaman berhampiran 
Stadium Negeri, dekat sini, kira-kira jam 1.15 pagi, mangsa dipercayai 
dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki lalu menyebabkan dia 
tercampak ke tengah jalan.

Pemandu kereta Nissan Cefiro itu kemudian berhenti untuk melihat apa yang 
berlaku, tapi sekumpulan Mat Rempit di kawasan itu membelasahnya dengan topi 
keledar.

Dia kemudian pengsan, manakala kumpulan Mat Rempit itu terus memecahkan cermin 
keretanya menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri bersama motosikal 
Faizal sebaik polis tiba.

Faizal yang tidak sedarkan diri dibawa ke HAS dengan ambulans kerana kecederaan 
serius di kepala tetapi meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi.

Pegawai Penyiasat Trafik Kota Star, Cif Inspektor Zuhaimi Hassan, berkata 
berdasarkan siasatan awal polis, motosikal yang ditunggang Faizal dipercayai 
dilanggar kereta itu sebelum ia terbabas.

Katanya, polis hanya menerima laporan itu kira-kira jam 1.30 pagi walaupun 
kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.15 pagi.

“Pemandu kereta terbabit yang dipercayai dibelasah 20 penunggang motosikal yang 
juga rakan mangsa dibawa polis ke hospital selepas dia tidak sedarkan diri 
akibat pengsan,” katanya.

Ahli perniagaan berusia 34 yang menetap di Taman Golf di sini, hanya cedera 
ringan dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum membuat laporan di Balai Polis 
Trafik Kota Star, semalam.

“Kita sudah mengambil sampel darah pemandu terbabit untuk dianalisis bagi 
mengesan sama dia mengambil alkohol atau tidak ketika memandu.

“Polis hanya memperolehi nombor pendaftaran motosikal mangsa daripada 
keluarganya di Kubang Rotan, Kuala Kedah,” katanya.

Sementara itu, kakak Faizal, Salmah, 43, berkata dia seperti tidak percaya adik 
bongsunya meninggal dunia kerana setengah jam sebelum kejadian, mereka pulang 
dari berniaga di kedai makan milik mereka di Taman Bersatu.

Katanya, Faizal yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Su’ meminta dia yang membawa 
wang hasil niaga dalam beg tangan pulang awal bagi mengelakkan dirompak.

“Pada malam itu, arwah beriya-iya mahu menjamu rakannya walaupun kami baru 
memulakan perniagaan kelmarin selepas bercuti hampir sebulan,” katanya.

Selain itu, kata Salmah, arwah juga kelihatan gembira menerima hadiah baju-T 
putih daripada teman wanita beberapa hari lalu dan menyimpannya di rumah ibu 
mereka.

Rakan karib, Faizal, Azrin Abdul Halim, 23, pula berkata arwah bersikap pelik 
ketika menikmati makan malam bersama rakan di kedai Salmah.

Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai pembancuh air di kedai berkenaan enggan 
menerima wang ketika dihulurkannya kerana dia mahu menjamu semua rakannya.

“Sebelum itu, arwah sempat berbaring di atas motosikal sambil merenung ke 
langit seolah-olah dia memikirkan sesuatu.

“Dia memberitahu dia mengehadkan keluar malam bersama rakan dalam masa beberapa 
hari ini kerana dia mahu berehat panjang di rumah bersama keluarga,” katanya.

Jenazah Allahyarham Faizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Rotan, 
Kuala Kedah, selepas solat Asar, semalam.
   
  ------------------------------------------------------------------
   
  Edisi Maksiat : Katil bergerak pecah tembelang
Oleh Norfaisal Jahuri
  
MELAKA: Katil yang bergerak-gerak memecah tembelang seorang pelajar perempuan 
tingkatan lima yang cuba menyembunyikan teman lelakinya ketika pegawai penguat 
kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan 
Kampung Hulu di sini, awal pagi kelmarin.

Malah, tangan lelaki yang juga pelajar institut pengajian tinggi (IPT) itu 
boleh dilihat pegawai penguat kuasa berkenaan kerana tilam katil terbabit 
terangkat akibat terkena badan lelaki berusia 18 tahun itu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.45 pagi itu, pegawai penguat kuasa Jaim terpaksa 
menunggu hampir setengah jam sebelum pintu bilik dibuka pelajar berusia 17 
tahun terbabit..

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Rahimin Bani, berkata selepas memperkenalkan 
diri, pegawainya membuat pemeriksaan.

“Selepas beberapa kali ditanya, gadis itu tetap menafikan ada orang lain di 
bilik berkenaan sehingga kami ternampak katil bergerak-gerak dan kelihatan 
tangan seseorang.

“Apabila menyingkap tilamnya kelihatan seorang lelaki yang cuba menyembunyikan 
diri di bawah katil.

“Pemeriksaan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan 
mahram dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro, di 
sini, semalam.

Dalam serbuan berasingan pada operasi mencegah maksiat itu kira-kira setengah 
jam sebelum itu, Rahimin berkata, satu lagi pasangan yang juga pelajar IPT 
turut ditahan di sebuah hotel di Jalan Tun Ali di sini.

Katanya, ketika pihak Jaim melakukan pemeriksaan di bilik lain, pasangan lelaki 
itu berusia 22 tahun dan perempuan 18 tahun menyedari kehadiran pegawai penguat 
kuasa Jaim berkenaan.

“Lelaki terbabit segera mengarahkan teman wanitanya keluar dari bilik untuk ke 
tempat lain.

“Selepas tiba giliran bilik mereka diperiksa, kami menemui sehelai tudung dan 
kasut wanita. Lelaki itu menafikan terdapat wanita di situ.

“Bagaimanapun, ketika keluar dari bilik itu, kami menemui seorang perempuan 
berkaki ayam di tangga. Apabila disoal siasat, dia mengakui bermalam bersama 
teman lelaki yang diperiksa Jaim sebelum itu. Mereka ditahan untuk siasatan,” 
katanya

Beliau berkata, pasangan yang baru bertunang turut ditahan di sebuah bilik di 
hotel dekat Jalan Kampung Hulu.

“Lelaki yang ditahan itu berusia 23 tahun dan pasangannya berusia 22 tahun,” 
katanya

Semua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah 
Negeri Melaka, 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.

Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan 
atau kedua-duanya sekali.
   
  ----------------------------------------------------
  Edisi Sindiket Nikah: 50 nikah guna sindiket asing
Oleh Zalifah Mohd Yatim
  
JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Johor (JAJ) menahan 25 pasangan berkahwin 
menggunakan khidmat sindiket didalangi warga asing yang beroperasi di tiga 
tempat di negeri ini.

Kebanyakan yang ditahan warga asing yang mengambil jalan mudah menggunakan 
khidmat sindiket terbabit.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAJ, Yosree Ikhsan, berkata 
mereka ditahan sejak awal tahun ini menggunakan sindiket di Kampung Melayu 
Pandan dan Ulu Tiram di sini, serta Kota Tinggi. 

“Kebanyakan pasangan yang ditahan pekerja warga asing sama ada yang masuk 
secara sah atau haram kerana mahu berkahwin sesama mereka.

“Antara yang ditahan adalah pendatang warga Indonesia, Bangladesh, Kemboja dan 
Myanmar yang memiliki permit kerja tetapi mengikut undang-undang di negara ini, 
mereka tidak boleh berkahwin.

“Selain itu, terdapat juga penduduk tempatan yang menggunakan khidmat sindiket 
itu untuk berkahwin dengan pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Ada pasangan yang bernikah sindiket kerana sudah terlanjur atau perkahwinan 
mereka mendapat tentangan keluarga.

Selain itu, mereka bernikah menggunakan perkhidmatan sindiket kerana jahil 
mengenai agama atau undang-undang negara ini.

“Sesetengah pasangan yang ditahan dikesan menggunakan kad pengenalan palsu 
negara ini,” katanya.

Beliau berkata, semua pasangan yang ditahan sudah dikenakan tindakan mengikut 
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, termasuk yang diarah bernikah semula 
atau mendapat perintah dipisahkan.

“Pasangan yang mahu bernikah jangan mengambil mudah menggunakan perkhidmatan 
sindiket kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya. 
   
  -------------------------------------------------------------
  Edisi Khalwat : Tiada dokumen nikah, cerai
Oleh Adnan Mohamad
  
TUMPAT: Seorang wanita yang menghadapi tuduhan berkhalwat di Mahkamah Rendah 
Syariah di sini, semalam, mendakwa sudah bercerai dengan suami keempat sebelum 
berkahwin buat kali kelima.

Tertuduh, Che Jarah Hassan, 48, berkata dia berkahwin dengan Roswadi Othman, 
34, kira-kira dua minggu sebelum Ramadan tahun lalu di Terengganu.

Sebelum itu, Che Jarah Hassan, 48, mendakwa berkahwin dengan suami keempatnya, 
Nik Hassan Nik Yaakub, 44, di negara jiran dan tidak memiliki sebarang dokumen 
bagi mengesahkan perkahwinan mereka.

Dia juga mendakwa sudah diceraikan Nik Hassan tetapi juga tidak mempunyai 
sebarang dokumen bagi mengesahkan perceraiannya sebelum berkahwin kali kelima 
dengan Roswadi.

Che Jarah berkata demikian selepas mahkamah mendakwanya bersama pasangannya, 
Roswadi melakukan khalwat kerana berkurung sebagai bukan pasangan mahram atau 
isteri mengikut Seksyen 9 (1), Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan ketika 
ditahan jam 1.50 pagi di dalam sebuah rumah di Kampung Gerung, dekat sini, pada 
27 April lalu.

Dakwaan itu dibuat selepas Che Jarah gagal menunjukkan dokumen bagi menyatakan 
dia sudah bercerai dengan suami keempatnya dan didakwa hanya menunjukkan 
dokumen kematian suami pertamanya untuk berkahwin buat kali kelima. 

Tuduhan khalwat dikenakan ke atas pasangan itu selepas mahkamah meragui status 
tertuduh wanita berhubung perceraian dengan suami keempatnya.

Pertuduhan kes itu dibacakan Timbalan Pendakwa Syarie, Rohani Abdul Kadir di 
hadapan Hakim Syarie, Mohd Hafiz Daud.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan 
berkhalwat sebelum diminta untuk hadir semula di mahkamah pada 24 September 
depan.

Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan RM1,000 seorang dengan 
seorang penjamin.

April lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita didakwa memperdaya Pejabat 
Kadi Jajahan Tumpat dengan mengemukakan surat mati suami pertamanya untuk 
berkahwin buat kali kelima walaupun dia didakwa masih mempunyai seorang suami 
yang sah.

Tindakannya terbongkar apabila dia ditahan sepasukan penguatkuasa syraie 
Jabatan Hal Ehwal Agam Islam Kelantan (JAHEAIK) bersama `suami kelimanya’ di 
sebuah rumah di Kampung Gerung, Tumpat, kira-kira jam 1.50 pagi.
   
  ---------------------------------------------------------------------------
   
  Edisi Dilema isteri lama: Diserang isteri bekas suami
Oleh Alias Abd Rani
  
KEMAMAN: Seorang ibu yang kepingin mencium dua anak kesayangan yang dijaga 
sejak lahir, dihentak dua kali dengan telefon bimbit oleh isteri baru bekas 
suami di pekarangan sebuah balai polis di sini, semalam. 

Sebelum kejadian, mangsa Haslinda Hamzah, 34, dari Kampung Bandar Baru Kertih, 
dikatakan membawa dua anak berusia 11 dan sembilan tahun ke Balai Polis Kertih, 
dekat sini, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, kira-kira jam 11 malam.

Guru tadika yang dikatakan terlalu sayangkan anaknya dipercayai merelakan 
pemergian dua anaknya untuk diambil bekas suami sebelum memohon untuk mencium 
dua anak kesayangannya itu.

Ketika cuba mencium anak bongsu berusia sembilan tahun itu, secara tiba-tiba 
isteri bekas suami mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang mangsa daripada 
mencium kanak-kanak itu.

Pada waktu sama, isteri bekas suami terbabit turut membaling telefon bimbit ke 
mukanya menyebabkan cermin matanya patah dan mangsa luka di hidung.

Wanita terbabit dipercayai sekali lagi melibas mangsa dengan telefon yang 
dibaling itu menyebabkan mangsa luka di pipi kiri.

“Kejadian itu berlaku apabila bekas suami menelefon untuk mengambil dua anak 
yang berada di rumah saya kira-kira jam 10 malam tetapi mereka tidak mahu ikut 
ayahnya.

“Saya tidak sedap hati lalu membawa mereka ke balai polis kerana bimbang bekas 
suami bertindak di luar dugaan.

“Ketika di balai polis, bekas suami dan isterinya cuba memujuk dua anak saya 
pulang tetapi mereka enggan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya 
di Kampung Baru, Kerteh, semalam.

Menurutnya, dua anaknya merayu sambil menangis supaya tidak menyerahkan mereka 
kepada bekas suaminya untuk dibawa ke bandar Kemaman.

“Oleh kerana bekas suami dan isteri terus mendesak dua anak saya, dalam keadaan 
sedih dan tertekan saya cuba mencium anak bongsu tetapi isteri baru bekas suami 
terus menerjah saya.

“Dia (isteri baru) memukul saya dengan telefon bimbit dan melibas kali kedua 
dengan objek sama menyebabkan cermin mata patah dan pipi kiri lebam,” katanya.

Menurut Hazlinda, dia kini dalam keadaan tertekan dan bimbang nasib anaknya itu.

“Saya bimbang pembelajaran mereka terjejas. Itu yang merisaukan saya sehingga 
sekarang. Lagipun saya tidak rela berpisah dengan dua anak yang dipelihara 
sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Haziq ketika ditemui berkata, dia tidak 
mahu pulang ke rumah ayahnya bukan kerana hasutan ibu tetapi tidak tahan dengan 
sikap ayah yang suka memukulnya.

Menurutnya, dia tertekan selama tujuh bulan tinggal bersama ayah dan ibu 
tirinya.

“Saya tidak suka tinggal dengan abah. Dia selalu pukul saya dan mak tiri pula 
pilih kasih,” katanya.

Apa yang kami inginkan tidak dituruti sebab itulah saya lebih suka tinggal 
dengan mama," katanya sambil menangis.

Menurut Haziq, dia mahu tinggal dengan ibu dan bukan berpunca daripada hasutan 
atau paksaan sejak tinggal dengan ibunya ketika masih kecil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Nor Hashim 
Mohd, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa 
malam kelmarin.
   
  ---------------------------------------------------------------------
   
  Edisi Penghuni tertipu: Bantah pengurusan
Oleh Nazarali Saeril
  
KUALA LUMPUR: Ratusan penghuni Kondominium Desa View Tower, Taman Malawati, di 
sini, terpaksa berkumpul di depan pintu masuk bagi menghalang pengurusan 
kondominium daripada mengambil alih kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk kawasan itu, Lutfi Ahmad Ghazi, 52, berkata 
penghuni berkenaan berkumpul di depan kondominium berkenaan sejak seminggu lalu 
kerana tidak puas hati dengan pengurusan yang didakwa tidak telus dalam banyak 
perkara membabitkan penduduk.

Penghuni di sini tidak pernah melantik pengurusan terbabit untuk menguruskan 
hal ehwal kami. Mereka sudah ada di sini sejak kira-kira lima tahun lalu dan 
mengenakan pelbagai syarat sehingga menyusahkan penduduk.

"Kami sudah tidak tahan dengan pelbagai undang-undang ciptaan mereka dan 
akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil alih pengurusan kondominium untuk 
kepentingan kami sendiri," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan penduduk berkumpul untuk menghalang pengurusan daripada 
mengambil alih tempat itu mengundang rasa tidak puas hati pihak terbabit.

Menurut Lutfi, wakil pengurusan diiringi beberapa pengawal peribadi datang 
setiap hari ke kondominium itu dan mendakwa mereka mahu mengambil alih 
pengurusan perumahan berkenaan semula.

�Akibatnya pertelingkahan besar antara penduduk dengan wakil pengurusan 
serta pengawal peribadinya berlaku malam tadi.

"Kami sudah maklumkan kepada polis berkaitan perkara itu dan selepas 
menunjukkan beberapa dokumen disahkan Jabatan Insolvensi Malaysia, mereka 
beredar dari sini selepas diarahkan pihak berkuasa," katanya.

Menurut Lutfi, masalah bermula selepas pengurusan dikatakan gagal memenuhi 
permintaan penduduk untuk membuktikan mereka dilantik penghuni serta pelbagai 
lagi termasuk penyata kira-kira yang enggan ditunjukkan dan penyewaan beberapa 
premis kepada pihak luar.

Katanya, pihak pengurusan mendakwa mempunyai surat kebenaran daripada mahkamah 
untuk menguruskan tempat berkenaan tetapi dokumen ditunjukkan kepada penduduk 
dipertikaikan kesahihannya.

�Pengurusan membuat pelbagai undang-undang seperti pemakaian pelekat 
kenderaan, kawasan tidak boleh diletakkan kenderaan, pemotongan air sesuka hati 
mereka dan banyak lagi tanpa berbincang dengan persatuan penduduk.

"Lebih teruk, mereka tidak pernah melayan permintaan penduduk untuk berbincang 
atau mendapatkan kepastian berkaitan sesuatu undang-undang dan perkara 
berkaitan," katanya.

Menurut Lutfi, penduduk di sana akan terus mengawal kawasan berkenaan daripada 
diceroboh pihak pengurusan dengan berkumpul di pintu masuk setiap masa.

Katanya, mereka sudah sepakat akan menyelesaikan perkara itu menggunakan 
saluran mahkamah dan buat masa sekarang, pihak pengurusan terbabit tidak akan 
dibenarkan menguruskan segala hal ehwal berkaitan penduduk di situ.
   
  ------------------------------------------------------------------------------
   
  Edisi Rakyat terpinggir: ‘Kami mahu bas, teksi’
Oleh Mohamad Yatim Latip
  
MELAKA: Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal di Taman Bukit Larang Indah, 
Bukit Pegoh dan Bukit Kecil di Telok Mas di sini, kesal kerana tiada kemudahan 
pengangkutan awam disediakan di kawasan mereka sejak beberapa tahun lalu.

Kebanyakan penduduk terutama warga emas dan mereka yang tidak mempunyai 
kenderaan mendakwa terpaksa menggunakan kemudahan awam seperti bas henti-henti 
dan teksi yang melalui kawasan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan penduduk yang ditemui mendakwa 
mereka terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk menaiki bas awam atau 
teksi di pekan Telok Mas setiap kali hendak ke bandar.

Seorang warga emas yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Taman Bukit Larang 
Indah, R Rengasamy, 64, berkata, walaupun dia jarang keluar, namun dia turut 
merasai kesukaran menaiki bas atau teksi untuk ke bandar.

Beliau berkata, ada kalanya rakan warga emas yang tinggal serumah di situ 
berdepan dengan masalah mendapatkan kenderaan awam setiap kali keluar ke bandar 
Melaka mahupun untuk ke pekan Telok Mas berdekatan.

“Memang susah jika ada di antara kami di sini hendak keluar disebabkan 
ketiadaan bas mahupun teksi tetapi kami tidak digalakkan keluar sendirian oleh 
petugas di rumah kebajikan ini,” katanya.

Seorang penduduk, Raja Latiffah Raja Bagus, 62, yang tinggal di taman 
berkenaan, berkata ketiadaan pengangkutan awam di kawasan itu menyusahkan 
penduduk terutama warga emas dan tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Katanya, sesetengah penduduk hanya mempunyai basikal, terpaksa mengayuh basikal 
mereka sebelum diletak berhampiran kedai di pekan Telok Mas untuk menaiki bas 
ke bandar.

“Ada ibu terpaksa menggunakan motosikal untuk menghantar anak mereka ke sekolah 
pagi dan petang walaupun tiada lesen.

“Sepatutnya, bas henti-henti perlu masuk ke kawasan perumahan itu mengikut 
waktu ditetapkan bagi memudahkan orang ramai yang tinggal di beberapa kawasan 
taman berkenaan,” katanya.

Penduduk, Wong Pit Yin, 49, pula mendakwa mereka juga menghadapi masalah 
terpaksa membayar tambang teksi yang mahal untuk pulang ke rumah selepas 
melakukan urusan di bandar Melaka seperti membeli ikan dan sayur di pasar besar 
Melaka Sentral dan sebagainya.

Katanya, dia terpaksa membayar tambang teksi RM20 untuk dihantar terus ke rumah 
kerana tidak sanggup berjalan kaki dari simpang pekan Telok Mas sejauh tiga 
kilometer itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Telok Mas, Datuk Wira 
Amid Nordin mengesahkan pernah menerima aduan berhubung masalah yang dihadapi 
penduduk di ketiga-tiga kawasan terbabit.

“Saya akan cuba meminta jasa baik syarikat bas tempatan menyediakan 
perkhidmatan bas di kawasan ini bagi mengatasi masalah penduduk terbabit.

“Keseluruhan penduduk di kawasan ini dianggarkan lebih 1,000 orang maka sudah 
sepatutnya mereka mendapat kemudahan awam bagi memudahkan mereka berurusan di 
bandar,” katanya.

Amid berkata, kalau boleh biarlah syarikat bas tempatan menyediakan 
perkhidmatan di situ satu atau dua jam sekali mengikut kesesuaian.

Beliau juga mendakwa menerima aduan bahawa terdapat segelintir penduduk di 
kawasan itu yang sanggup mengenakan bayaran sebanyak RM10 hanya untuk 
menumpangkan warga emas yang hendak menaiki bas di simpang pekan Telok Mas.
   
  ------------------------------------------------------------------
   
  Edisi Diabaikan: Mana bantuan modal RM5,000?
Oleh Mustafa Ngah Mansor
  
KAMPUNG GAJAH: “Saya reda dengan pemergiannya tetapi agak terkilan kerana 
harapan Allahyarham membina kehidupan baru tidak kesampaian,” kata Syarifah 
Zainuddin, 43, kakak kepada bekas penerima anugerah Pingat Hang Tuah 1976, Musa 
Zainuddin, 40, yang meninggal dunia, kelmarin.

Syarifah berkata, ini kerana adiknya itu sebelum ini ada dijanjikan bantuan 
RM5,000 oleh pihak kerajaan yang bakal digunakan untuk memulakan perniagaan 
sendiri.

“Dia dijanjikan bantuan modal RM5,000 untuk membuka perniagaan tetapi hingga 
saat dia menghembuskan nafas terakhir tiada langsung berita mengenai bantuan 
itu,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Tersusun Changkat Lada, 
di sini, semalam.

Musa bekas penerima Pingat Hang Tuah 1976 meninggal dunia kerana demam sejak 10 
hari lalu. Dia menghembuskan nafas terakhir jam 3.45 pagi kelmarin.

Syarifah berkata, dia dimaklumkan sebelum ini Kementerian Pembangunan Wanita, 
Keluarga dan Masyarakat pernah menyatakan persetujuan memberi bantuan kepada 
Musa bagi memulakan perniagaan.

Beliau berkata, bantuan itu akan diberikan berikutan tersiarnya kisah 
penderitaan Musa di media massa pada akhir Mac lalu.

Ibunya, Rahman Harun, 61, berkata Musa yang masih bujang dibawa ke klinik 
swasta untuk mendapatkan rawatan selepas dia meminta berbuat demikian pagi hari 
kejadian.

“Sebelum itu dia enggan berjumpa doktor walaupun beberapa kali dipujuk.

“Bagaimanapun, pagi Jumaat lalu dia beria-ia hendak ke klinik untuk mendapatkan 
rawatan dan dengan bantuan jiran, kami pergi ke klinik swasta di Tanjung 
Tualang,” katanya.

Rahmah berkata, ketika di klinik doktor menasihatkannya menghantar Musa ke 
hospital tetapi anaknya menolak.

Beliau berkata, nasihat doktor terngiang-ngiang di telinganya tetapi apakan 
daya Tuhan lebih mengasihinya.

Ibu kepada 10 anak itu berkata, Allahyarham tidak mahu makan sejak demam 10 
hari lalu walaupun dihidangkan makanan yang dipesannya tetapi selera makannya 
tertutup.

Musa menerima anugerah Pingat Hang Tuah pada 1976 kerana keberaniannya 
menyelamatkan mangsa kejutan elektrik di Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur 
ketika dia berusia 10 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat Pulau, 
jam 11.30 pagi kelmarin.
   
  -----------------------------------------------------------------
   
  Edisi DVD/VCD lucah/ceta rompak : Tukar haluan
Oleh Manan Samad
  
PUTRAJAYA: Kegiatan cetak rompak membabitkan cakera padat video (VCD) dan 
cakera video digital (DVD) kini beralih ke premis yang mempunyai lesen sah 
selepas sindiket pencetakan bahan itu di premis tidak berlesen hampir 
dilumpuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna 
(KPDNHEP).

Pemilik premis terbabit berani berbuat demikian kerana permintaan terhadap VCD 
dan DVD cetak rompak tinggi di pasaran biarpun penguat kuasa KPDNHEP sentiasa 
melakukan operasi dari semasa ke semasa.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Mohd Roslan Mahayudin, berkata berikutan 
trend terbaru itu, pihaknya akan menjalankan pemantauan rapi di 42 premis 
mencetak VCD dan DVD berlesen di seluruh negara.

“Sebenarnya, premis mencetak VCD dan DVD berlesen hanya ada di empat kawasan 
iaitu Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Kira-kira 20 premis berada di Selangor dan Kuala Lumpur, manakala bakinya di 
tiga negeri terbabit.

“Siasatan pihak kami mendapati, kegiatan cetak rompak di premis haram 
berkurangan, sebaliknya mereka beralih ke premis berlesen,” katanya ketika 
ditemui Harian Metro selepas Larian Pengguna sempena Sambutan Hari Pengguna 
2006, di sini, semalam.

Acara yang dianjurkan KPDNHEP dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan 
Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan itu dirasmikan Menteri 
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal yang 
turut serta menyertai larian itu.

Shafie yang ditemui pemberita selepas larian itu berkata, sepanjang tahun ini 
lima premis berlesen disyaki terbabit dalam pengeluaran VCD dan DVD cetak 
rompak.

“Terbaru, kita menggempur kilang di Sri Damansara, Jumaat lalu. Kilang itu 
antara yang terbesar dan mengaut keuntungan lebih RM400 juta hasil kegiatan 
terbabit.

“Kilang itu juga mengeluarkan 25,000 filem lucah...ini antara satu jumlah 
terbesar. Kementerian akan meneruskan tindakan tegas terhadap penyelewengan 
yang dilakukan (pemilik berlesen).

“Kita akan mengenakan hukuman setimpal termasuk membawa kes itu ke mahkamah dan 
akan menarik balik lesen jika premis terbabit didapati bersalah mengikut 
undang-undang,” katanya.

Akhbar ini kelmarin melaporkan satu sindiket VCD dan DVD secara haram yang 
mengaut keuntungan mencecah RM450 juta sejak enam tahun lalu, mengubah suai 
alat kawalan jauh penggera kereta bagi membuka bilik rahsia dalam kabinet dapur 
dan rak buku untuk menyimpan barangan cetak rompak itu di Kawasan Industri Sri 
Damansara.

Kabinet dapur serta rak itu dimuatkan dengan pinggan mangkuk serta buku sebagai 
taktik mengaburi pihak berkuasa sedangkan satu daripada bahagiannya mempunyai 
pintu rahsia elektronik.

Sindiket terbabit menyiapkan dua bilik rahsia di tingkat berlainan yang didakwa 
tidak diketahui pekerjanya sendiri.

Dalam operasi itu, KPDNHEP merampas tiga mesin bernilai kira-kira RM20 juta 
yang setiap satunya mempunyai kapisiti mencetak sehingga lima juta keping VCD 
dan DVD setahun, selain menahan sembilan pekerja lelaki dan seorang wanita 
berusia 19 hingga 40 tahun di kilang yang mempunyai lesen menghasilkan cakera 
optik tulen itu.

Kegiatan itu terdedah selepas penguat kuasa KPDNHEP menahan sebuah van yang 
baru keluar dari kilang dua tingkat itu dan menemui kira-kira 25,000 VCD dan 
DVD lucah.

                
---------------------------------
 New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage!

[Non-text portions of this message have been removed]



Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Reply via email to