Perginya seorang pejuang Muslim 
    Susunan Razak Rashid Ghows



    
            
    
 
    


    
               
    Imam Warith Deen Mohammed berjasa besar menyebarkan ajaran Islam sebenar di 
Amerika Syarikat


PADA sembilan Ramadan lalu, bersamaan 9 September, rakyat
Amerika Syarikat yang beragama Islam terutama masyarakat kulit hitam
kehilangan seorang tokoh paling berpengaruh dalam penyebaran ajaran
Islam, Imam Warith Deen Mohammed, 74.


Imam Mohammed menggantikan bapanya, Elijah Muhammad sebagai
pemimpin Nation of Islam tapi menolak ajaran yang hanya mementingkan
keagungan masyarakat kulit hitam. 

Selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran, akhirnya Imam Mohammed
berjaya mengubah pemahaman yang berteraskan ideologi pemisahan
berdasarkan kaum kepada ajaran Islam sebenar.


Beliau adalah anak ketujuh kepada Elijah Muhammad, yang mengetuai Nation of 
Islam, dari 1935 hingga 1975.


Nation of Islam, pertubuhan yang mengamalkan satu bentuk
nasionalisme kulit hitam, pada mulanya diasaskan oleh seorang aktivis
kulit hitam, Wallace Fard Muhammad pada 1930, sebelum diambil alih oleh
Elijah.

Imam Mohammed dilahirkan di Michigan pada 1933 dengan nama Wallace
Deen Mohammed bagi mengambil sempena nama pengasas Nation of Islam itu
dan sejak kecil lagi, beliau adalah anak yang paling disukai Elijah.


Beliau dimasukkan ke sekolah Nation of Islam di selatan
Chicago dan belajar bahasa Arab bagi memudahkannya membaca al-Quran
memandangkan bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. 

Sejak zaman remajanya lagi, Imam Mohammed dilihat sebagai
calon paling sesuai bagi menggantikan bapanya untuk meneruskan
perjuangan Nation of Islam.


Namun lama kelamaan Wallace mampu melihat antara ajaran agama
yang sebenar dan yang berteraskan kepentingan warna kulit semata-mata.
Beliau sudah mula meragui perjuangan yang dibawa oleh bapanya dalam
pertubuhan berkenaan.


    
                    
     
    Keluarga Imam W.D Mohammed dan orang ramai mengusung jenazah selepas 
sembahyang jenazah di Villa Park.
    

                    

    Pada
1961 beliau dimasukkan ke penjara persekutuan Minnesota selama 14 bulan
kerana enggan menyertai tentera, dengan alasan beliau tidak mahu
berjuang bagi sebuah negara yang mengamalkan dasar perkauman dan
pemisahan di kalangan warga kulit hitam.


Ketika dalam penjara inilah pandangannya terhadap agama Islam
diperkukuhkan lagi berbanding pandangan bapanya mengenai keagungan
masyarakat kulit hitam dan keupayaan mereka menjaga diri mereka
sendiri. Ketika dalam penjara jugalah beliau mendalami pembelajaran
al-Quran.


Pada pandangan Wallace, ajaran yang dibawa bapanya menyalahi
ajaran Islam sebenarnya. Walaupun aspirasi Nation of Islam pada asasnya
bertujuan murni, ia kemudian berubah menjadi tercemar dan kadangkala
seolah-olah menghina Tuhan dengan konsep perjuangannya yang sempit.


Akibatnya hubungan di antara bapa dengan anak menjadi semakin
renggang. Beliau disingkir daripada pertubuhan berkenaan, diterima
semula, disingkir lagi dan beberapa kali dibuang oleh keluarganya
sendiri.


Wallace Mohammed juga pernah terpaksa bekerja sebagai
pengimpal, pembuat roti, pencuci karpet dan tukang cat bagi menyara
kehidupannya.


Beliau kemudian merapatkan dirinya dengan Malcolm X, seorang
lagi pengikut Nation of Islam yang meragui perjuangan pertubuhan itu,
sehingga Malcolm dibunuh pada 1965. 

Pada 1974 Wallace kembali semula ke pangkuan Nation of Islam
dan kekal sehingga ke akhir hayatnya. Bapanya, Elijah meninggal dunia
setahun kemudian dan Wallace diangkat sebagai imam agungnya atau
‘Supreme Minister’. Ketika inilah berlakunya perubahan.


Sebarang doktrin yang mengagungkan masyarakat kulit hitam yang
bercanggah dengan ajaran sebenar Islam disisihkan, begitu juga dengan
anggapan anggota pertubuhan itu mengenai sifat ketuhanan yang ada pada
diri Wallace Fard, pengasas Nation of Islam.


“Dia bukan Tuhan, saya tahu dia bukan Tuhan,” kata pemimpin
baru itu beberapa tahun kemudian, begitu juga “Elijah Muhammad (bapanya
sendiri) bukan Nabi”.


Beliau mulai menggalakkan masyarakat kulit hitam di Amerika
supaya mengikuti kelas bahasa Arab, menunaikan solat lima waktu sehari,
berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan ibadat Haji di Makkah
sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.


Pada 1976, Wallace mengumumkan bahawa beliau hanya ingin dipanggil dengan 
gelaran imam saja dan tidak lagi ‘Supreme Minister’.


Pada 1977, beliau menukarkan nama Nation of Islam kepada ‘World
Community of al-Islam in the west’. Kini pertubuhan itu dikenali
sebagai ‘American Socitey of Islam’.


Seorang lagi aktivis Nation of Islam, Louis Farrakhan yang
enggan berubah mengikut Imam Mohammed, mengambil langkah menghidupkan
semula pertubuhan Nation of Islam yang lama dan meneruskan dasar
antiSemitik dan antikulit putih. 

Imam Mohammed mara terus ke depan dengan membawa masyrakat
Islam Amerika ke dalam kelompok arus perdana Islam global dan jumlah
pengikutnya bertambah daripada ratusan ribu kepada melebihi dua juta
orang, termasuk peninju terkenal dunia, Muhammad Ali.


Beliau juga berjaya menyatukan masyarakat Muslim
Afrika-Amerika dengan masyarakat Islam imigran Amerika. Beliau kemudian
dikenali di peringkat global dan pernah menemui Pope John Paul II
beberapa kali serta mengambil bahagian dalam perjumpaan antara agama
dengan golongan Katolik dan Yahudi. 

Jasa dan pengorbanan Imam Mohammed kini dinikmati dengan
secara meluas oleh kira-kira lebih enam juta rakyat Amerika yang
beragama Islam.


Mereka bebas mengamalkan ajaran Islam di beberapa ribu pusat
Islam kecil dan besar serta masjid tanpa mempunyai perbezaan pendapat
atau fahaman nasionalisme yang sempit. Semoga Allah SWT merahmati
rohnya dan memberkati perjuangannya menegakkan agama Islam di bumi
Amerika. 

~al Fatihah~




      Get your preferred Email name!
Now you can @ymail.com and @rocketmail.com
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/sg/

[Non-text portions of this message have been removed]


------------------------------------

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Reply via email to