Muhammad s.a.w.: Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman      
                                       Muddin Beting      
         Fri | Mar 30, 07 | 07:20:41 PM                           Meskipun 
zahir bentuk bashari, 
 Batinnya bangsa terlalu safi,
 Kerana peri haknya ruhani
 Pernah berkata lisannya murni:

 
 Sebagai nabi aku terkandung
 Dalam rahasia di Balai Agung,
 Padahal Adam masih terapung
 Antara air dan tanah lempung.
 Meskipun rupaku anak Adam, 
 Darjatku asal terlebih kiram.

 
 Tatkala Adam belum teringat,
 Tatkala Kalam belum bersurat
 Dan Papan tulis belum tercatat,
 Sudah terpandang oleh kunhi Zat
 Seri wajahku di dalam mirat.

 
 Sinaran sani cahaya kamalat,
 Pancaran murni asma dan sifat,
 Rumusan seni segala makhlukat
 Yang zahir pada cermin hakikat
 Dalam diriku semua terlibat.

  
 (Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa 
sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum 
Muslimin)

  

 Utusan Terakhir 
 Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. mendapat ejekan daripada Abu Jahal, Abu 
Lahab, Al-`As bin Wa`il, Uqbah bin Abi Mu`ith dan lain-lain bahawa Baginda akan 
terputus keturunan kerana semua anak lelaki Baginda meninggal dunia. Salah 
seorang daripada mereka berkata, “Biarkanlah dia. Dia akan mati tanpa 
meninggalkan seorang pun anak lelaki. Dan perjuangannya tidak lama lagi akan 
berakhir begitu sahaja”.

 
 Tipu daya kecil mereka memberi kesan sedikit sebanyak, menusuk hati dan 
membuatkan Baginda berasa sedih. Arab Quraisy sememangnya amat bermegah dengan 
anak yang banyak lebih-lebih jika anak lelaki.

 
 Namun telahan mereka meleset sama sekali. Mereka memikirkan Baginda sebarangan 
orang, sama seperti tokoh-tokoh dan pemuka Quraisy yang lain. Hakikatnya, 
hingga kini Baginda sentiasa diingati, bukan sahaja sewaktu awal kewafatannya 
bahkan hingga ke akhir zaman.

 
 Berjuta lidah sentiasa menyebut dan menyeru namanya tanpa henti di sepanjang 
longitud bumi, berjuta manusia bersilih ganti menuruti sunnahnya, dan berjuta 
hati sentiasa mencintainya di seluruh pelusuk dunia. Baginda sentiasa diberi 
ucapan salawat dan salam oleh Allah subhanahu wa ta`ala, para malaikat dan oleh 
kaum muslimin. Kaum muslimin mengingati dan menyebut nama Baginda lebih kerap 
daripada menyebut dan mengingati nama ibu bapa sendiri.

 
Baginda diingati kerana Baginda Nabi Allah, penghulu dan penutup segala nabi 
dan rasul terdahulu sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s, kekasih Allah dan 
kekasih malaikat. Bagindalah satu-satunya insan teladan yang dapat dijadikan 
panduan dan ikutan dalam serba-serbi lapisan dan lapangan kehidupan. Beriman 
kepada Allah tidak lengkap tanpa beriman kepada Baginda kerana Bagindalah yang 
menyampaikan perintah Allah.

 
 Nama baginda sentiasa seiring dengan nama Allah dalam kalimah shahadat. 
Seseorang yang beriman dengan Allah tetapi menolak kerasulan Baginda, sama ada 
menolak sepenuh atau sebahagian daripada ajarannya, adalah kufur. Pengakuan dan 
penyaksian kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang membezakan kaum muslimin 
dengan penganut-penganut agama lain.

 
 Usaha Meruntuhkan Wibawa 
 Betapapun begitu, musuh-musuh Islam sejak dulu hingga kini, baik secara 
langsung mahupun melalui wakil mereka dari kalangan kaum muslimin sendiri, 
dengan segala tipu daya tetap berusaha menggugat dan meruntuhkan wibawa 
Baginda. Pertama, dari segi autoriti al-Qur`an itu sendiri bahawa kitab itu 
adalah rekaan Baginda, atau bukan wahyu Allah sepenuhnya tetapi mengalami 
pencairan atau menempuh perubahan atas sifat Baginda sebagai insan biasa. 
Kedua, dari segi akhlak Nabi. Ketiga, dari segi periwayatan hadis yang sampai 
kepada kita, bahawasanya ia mengikut hawa nafsu para sahabat, tabi`in dan ulama 
yang juga manusia biasa dan bisa melakukan kesilapan.

 
 Cubaan pertama musuh-musuh Islam itu telah dijawab secara tuntas oleh ulama 
sejak awal lagi. Kalaulah benar dakwaan bahawa Baginda mereka-reka al-Qur`an, 
bagaimana mungkin seorang insan ummi (tidak pandai menulis dan membaca) yang 
terkenal dengan gelar al-Amin (amanah) sebelum diangkat menjadi Rasul, boleh 
mengarang karya sehebat itu walhal Baginda tidak pernah dikenali sebagai 
penyair. Tidak mungkin seorang manusia yang mengalami perubahan usia, emosi dan 
kematangan boleh mengekalkan sifat ayat-ayat al-Qur`an yang, meskipun tidak 
berkesinambungan, tetapi menyentuh dan berbicara tentang pelbagai tema secara 
konsisten dan selaras dalam tempoh 23 tahun.

 
 Baginda sentiasa mensucikan Kitab Suci ini dengan memulai bacaan dengan 
memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan. Baginda sentiasa berulang 
kali membaca al-Qur`an ketika di khalayak ramai dan ketika bersendirian sebagai 
sumber petunjuk dan kekuatan tanpa jemu dan letih, sesuatu yang mustahil jika 
al-Qur`an karangan sendiri kerana biasanya penulis cepat muak membaca karya 
sendiri. Bahkan Allah s.w.t. sendiri menempelak dan mencabar mereka yang 
meragui kekudusan al-Qur`an agar menghasilkan sepuluh surah (Hud: 13), atau 
satu surah semisalnya (al-Baqarah: 23 dan Yunus: 38), dengan bantuan seluruh 
insan dan jin.

 
 Sungguh benarlah apa yang disampaikan Baginda itu kalam Allah s.w.t. tanpa 
sedikit pun pengurangan atau tokok-tambah atau pencairan sebagaimana 
ditohmahkan oleh golongan orientalis dan modernis. Allah s.w.t. sendiri 
memperakui bahawa apa-apa yang disampaikan Baginda adalah wahyu lewat 
firman-Nya: “Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsu. 
Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (an-Najm: 
2-3)

 
 Dari sudut akhlak, akhlak Baginda adalah jelmaan daripada al-Qur`an seperti 
diperhati dan diakui oleh isteri Baginda, `Aisyah r.a.. Tiada sebarang 
percanggahan antara kehidupan umum dan kehidupan peribadi Baginda. 
Sahabat-sahabat yang hidup sezaman dengan Baginda tidak seorang pun pernah 
mencemuh akhlak Baginda, sama ada sebelum ataupun selepas Baginda diangkat 
menjadi Rasul, seperti yang dilakukan oleh mereka yang keliru yang hidup 
terkemudian.

 
 Malah Allah Yang Maha Tinggi memberi pengiktirafan paling tinggi apabila 
memuji Baginda dengan pujian: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) 
memiliki akhlak yang agung” (al-Qalam: 4), bersesuaian sekali dengan misi 
Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia dalam kalangan manusia.

 
 Dalam soal keraguan terhadap hadis yang tiba kepada kaum muslimin hari ini, 
hakikatnya hadis-hadis telah dikumpul dengan penuh sistematik oleh orang 
berwibawa. Bahkan Baginda sendiri dan para sahabat karib mengeluarkan banyak 
kenyataan dan mengambil tindakan bagi mempastikan bahawa al-Qur`an dan al-Hadis 
tidak bercampur-baur.

 
 Tradisi ini diwarisi para tabi`in dan pengikut mereka, seterusnya berlanjutan 
kepada enam ulama hadis, iaitu: Imam Bukhari, Imam Muslim, al-Nasai, Abu Daud, 
al-Tarmizi dan Ibn Majah.

 
 Ada juga segolongan kecil daripada kaum muslimin terkeliru dengan sabda 
Baginda: “Sesungguhnya aku manusia seperti kamu juga” lalu mereka melihat 
Baginda sebagai entiti fizikal, makhluk biologi (basyari) seperti manusia biasa 
yang lain, sama seperti anggapan kafir Quraisy tadi, dan sama juga sebagaimana 
Iblis melihat Adam dari aspek fizikal semata-mata. Walhal Baginda berkata 
begitu kepada orang-orang yang tidak beriman bagi menafikan tanggapan mereka 
bahawa Baginda adalah Tuhan lantaran segala kata yang diucapkan amat luar biasa 
sekali.

 
Dalil al-Qur`an, serta hujah sejarah dan psikologi yang dapat diterima oleh 
akal yang sihat ini membawa kepada kefahaman penting bahawa Junjungan Besar 
Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam adalah Utusan Terakhir yang 
memiliki wibawa yang terpelihara dan tidak dapat diganggu-gugat apatah lagi 
diruntuhkan. Reaksi balas spontan kaum muslimin terhadap sebarang percubaan 
menghina kemuliaan Baginda yang berpunca daripada kejahilan, iri hati, dendam 
kesumat dan provokasi liar menunjukkan betapa cinta, kasih, hormat dan dekatnya 
mereka kepada Baginda.

 
 Teladan par excellence 
Sehubungan dengan ini, kaum muslimin adalah paling bertuah kerana mempunyai 
role model yang terbukti paling unggul. Sudah menjadi tabiat semula jadi insan 
suka meniru atau mencontohi orang lain. Dengan erti kata lain, insan hidup 
dengan model. Model pilihan mempengaruhi corak kehidupan seseorang kerana model 
itulah yang mengisi acuan idealismenya. Sekurang-kurang contoh tauladan 
mempunyai ciri-ciri terpuji dan menonjol dalam tiga aspek, iaitu: keilmuan, 
ketrampilan dan akhlak.

 
Sejarah mencatatkan bahawa penghormatan para sahabat terhadap Baginda amat 
tinggi. Dalam satu peristiwa, misalnya, seorang sahabat sengaja mencari helah 
untuk mencium perut Baginda sebelum berperang, dengan berkata: “Sekiranya saya 
terbunuh dalam peperangan ini, saya berpuas hati kerana sekurang-kurangnya saya 
sudah menyentuh Engkau, ya Rasul Allah”.

 
 Di tempat lain dicatatkan bahawa bekas makanan Baginda disimpan, demikian juga 
kuku, janggut dan segala pakaian dan peralatannya. Belum pernah ada mana-mana 
tokoh sepanjang sejarah di muka bumi dilayan sebegitu tinggi seperti Baginda. 
Baginda sungguh diagungkan oleh para sahabat tetapi tidak pun diangkat sebagai 
Tuhan.

 
Hal ini berlaku kerana meskipun jasad Baginda berbentuk basyari, Baginda makan 
dan minum, berkahwin dan tidur seperti insan-insan lain, namun makam rohani 
Baginda terlalu tinggi tidak terperi. Untuk mencapai makam setinggi begitu, 
tentulah memerlukan persiapan luar biasa. Mana mungkin rohani biasa mampu 
menerima sesuatu yang mengandung bawaan yang berat seperti wahyu, sedangkan 
jika al-Qur`an diturunkan ke atas gunung, pastilah gunung akan tunduk hancur 
berkecai kerana takut kepada Allah (al-Hasyr: 21).

 
 Sedangkan untuk membuat penaakulan terhadap hukum graviti itu pun, yang kini 
disifatkan sebagai penemuan terhebat, Newton harus mempersiapkan diri yang 
bukan kepalang. Demikian juga dengan Archimides dan Prinsip Ketumpatannya. 
Kedua-duanya tidak mungkin secara tiba-tiba memahami hukum dan prinsip tanpa 
persiapan awal. Tetapi apa yang ditemui mereka tidaklah mencapai taraf wahyu. 
Akal yang rasional dapat membuat perbandingan betapa hebatnya persediaan rohani 
Baginda menerima wahyu itu.

 
Baginda adalah sebaik-baik contoh teladan (uswatun hasanah) bagi sekalian 
bangsa manusia, sebaik-baik ikutan kerana baginda juga adalah sebaik-baik 
makhluk. Insan tanpa mengira usia, baik kanak-kanak, orang dewasa, orang tua, 
lelaki, perempuan, yang bujang mahupun yang sudah berkahwin, semuanya mengambil 
Baginda sebagai ikutan.

 
 Hal ini dapat disaksikan sejak Baginda masih hidup lagi. Semasa menyambut 
ketibaan Baginda di Yathrib dalam peristiwa Hijrah, semua peringkat umur 
berkumpul menunggu dengan penuh sabar dan debar, bersama-sama menyanyikan lagu 
segar sepanjang zaman “thala `al badru `alayna ….(telah terbit bulan purnama ke 
atas kami ...).”

 
 Dalam menyiapkan angkatan perang ketika mempertahankan diri atau menyerang 
musuh, anak dan bapa, suami dan isteri, bersedia dan bersatu dalam pimpinan 
Baginda.

 
 Baginda adalah contoh teladan unggul bagi wanita muslim, bukannya Fatimah atau 
`Aishah. Dalam satu kisah, seorang remaja wanita sanggup menyanggah anjuran 
ibunya agar tidak mencairkan susu sekali pun tiada siapa yang nampak. Bagi 
remaja muslim, contoh teladan haruslah Baginda, bukan Ali atau Fatimah. Dengan 
mengambil Baginda sebagai contoh teladan, nescaya kaum muslimin berpotensi 
mencapai piawaian Ali atau Fatimah atau `Aishah. Jika Ali, Fatimah, `Aishah 
atau sahabat lain dijadikan model, piawaian yang dicapai mungkin lebih rendah 
daripada itu. Ali, Fatimah dan `Aishah hanya dijadikan rujukan untuk melihat 
bagaimana mereka mencontohi Baginda.

 
 Pembentuk Identiti 
 Terbukti Bagindalah yang memberi identiti kepada masyarakat Islam, tanpa 
mengira suku kaum, keturunan, warna kulit atau bahasa lalu membentuk identiti 
umat Islam. Dalam mana-mana masyarakat, terdapat tiga golongan yang kerap kali 
saling berkonflik antara satu sama lain, iaitu: remaja–belia, dewasa dan tua.

 
 Dalam masyarakat Barat khususnya, golongan dewasa tidak mampu memimpin 
remaja-belia untuk mencontohi role model yang baik pada pandangan mereka kerana 
mereka suatu ketika dahulu juga pernah menuntut kebebasan dalam memilih role 
model. Masyarakat Barat sukar mencapai kesepakatan memilih satu role model 
untuk semua kerana masing-masing mempunyai idola sendiri. Mereka juga sentiasa 
mencari-cari role model sebenar yang mampu diteladani dalam aspek keilmuan, 
ketrampilan dan akhlak.

 
 Sebaliknya, dalam masyarakat Islam, semua orang, baik remaja–belia, dewasa 
mahupun tua, mencontohi orang yang sama. Oleh itu tidak berlaku jurang antara 
generasi atau apa yang kini dikenali sebagai krisis identiti.

 
 Banyak tokoh dan pemuka masyarakat Barat yang kelihatan seolah-olah layak 
menjadi role model dipertikaikan oleh ahli masyarakat mereka sendiri kerana 
tidak memiliki integriti, moral yang kacau-bilau, dan moral serta penampilan 
kehidupan awam yang amat kontradik dengan perwatakan sebenar.

 
 Paul Johnson dalam `Intellectuals’ telah menjelaskan secara terperinci 
kehidupan dan karektor sebenar pemikir dan ilmuwan terkenal masyarakat Barat, 
contohnya Jean Jacques Rousseau (penulis buku Emily yang dianggap buku 
pendidikan yang terkenal), Ernest Hemingway (novelis terkenal Amerika 
Syarikat), Leo Tolstoy (novelis terkenal Russia), Bertrand Russel (ahli 
falsafah terkenal) yang rata-rata filsafat mereka sahaja nampak cantik, tetapi 
ilmu dan amalan mereka berlawanan sekali dengan filsafat mereka.

 
 Dari satu sudut lain, golongan yang mereka gelar ‘bintang’, seperti artis, 
ahli sukan dan sebilangan politikus, secara terang-terangan mendedahkan jiwa 
mereka yang kosong lagi hampa. Hal ini telah disebut dalam konteksnya dengan 
tepat sekali oleh Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Pembangunan di Malaysia: 
Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.

 
Justeru, Michael H. Hart ternyata benar apabila secara jujur memilih Muhammad 
bin Abdullah sebagai pilihan pertama dalam The 100 A Ranking of the Most 
Influential Persons in History, walaupun pada hakikatnya, Nabi Muhammad tidak 
wajar sama sekali diletakkan sekelas dengan para ahli teologi, pemimpin, 
ilmuwan, saintis atau aktivis mengikut ukuran manusiawi.

 
 Umpama Pasak Bumi 
Baginda adalah umpama gunung yang mengakar kukuh dan kuat, menjadi pasak bumi 
dan mengikat sekelilingnya, yakni kaum muslimin, menjadi padu dan satu. Jika 
autoriti Baginda diserang dengan penuh helah dan tipu-daya oleh para orientalis 
dan pengikut mereka atas nama ahlul-Quran, gerakan feminisme, golongan 
modernis, orientalis atau gerakan penilaian semula hadis, maka lagak mereka 
laksana kerakusan golongan pemusnah pasak dan perosak alam sekitar yang, jika 
dibiarkan, akan membawa akibat jauh lebih buruk kepada jiwa kaum muslimin 
berbanding kerosakan alam sekitar semata-mata.

 
 Dari Buaian ke Liang Lahad 
 Demikian peri pentingnya Baginda dalam kehidupan kaum muslimin, lantaran 
Baginda sendiri adalah sumber ilmu, maka sudah menjadi kewajipan setiap muslim 
mempelajari dan memahami sejarah dan ajaran Baginda, malah mengenali Baginda 
secara mesra. Mesra dalam hal ini merujuk kepada dekat, atau hampir, biarpun 
tidak pernah bersua muka.

 
 Kanak-kanak yang sedang tumbuh membesar wajar sekali didedahkan dengan sejarah 
dan akhlak Baginda, sama ada secara formal ataupun tidak formal, sebagai 
lanjutan dari laungan azan, iqamat dan berzanji. Kanak-kanak perlu diajar 
sejumlah hadis, terutamanya yang berkaitan soal keutamaan ilmu dan akhlak mulia.

 
 Salah satu pendekatan kreatif dalam rangka mendekatkan kanak-kanak dengan 
sejarah dan ajaran Baginda ialah menerusi filem animasi “Muhammad: The Last 
Prophet”. Tayangan Amal Perdana filem ini telah dibuat pada tahun 2004 di Ibu 
Negara dan di negeri-negeri di Malaysia sempena Majlis Sambutan Keputeraan 
Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., anjuran bersama Angkatan Belia Islam 
Malaysia (ABIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri-negeri. Filem yang 
sudah dialihbahasakan ini harus dimiliki setiap keluarga di Negara ini sebagai 
salah satu kaedah pendidikan dalam keluarga.

 
Usaha memahami konsep kerasulan ini seterusnya dilanjutkan lagi pada peringkat 
dewasa dan usia lanjut menerusi pengajian ilmu al-Hadis dan segala implikasinya 
dalam realiti kehidupan masa kini, secara berterusan, misalnya, melalui usrah 
(study circle). Memahami konsep kerasulan dan kenabian harus berlaku bersekali 
dengan memahami konsep-konsep penting seperti konsep Tuhan, al-Qur’an, insan, 
ilmu, akhlak dan kebahagiaan.

 
 Konsep-konsep ini adalah perkara pokok dalam membina kerangka berfikir muslim 
yang jelas dan mantap serta mempunyai pandangan alam Islam. Dengan pendidikan 
begini, kaum muslimin akan sentiasa berasa dekat dan mesra dengan Baginda 
sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Baginda sebagai model operasi yang 
boleh dijelmakan dalam diri. Allahumma salli `ala sayyidina Muhammad wa `ala 
alihi wa ashabihi wa sallim.   * Penulis ialah Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah 


                
---------------------------------
 What kind of emailer are you? Find out today - get a free analysis of your 
email personality. Take the quiz at the Yahoo! Mail Championship.

Kirim email ke