Kini konco Tun Mahathir mula serang 'orang kuat' PM                  Wan 
Nordin Wan Yaacob 
Tue | Dec 12, 06 | 04:45:22 AM       SEREMBAN, 12 Dis (Hrkh) - Pergeseran 
dalaman Umno tidak boleh dirahsiakan lagi selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr 
Mahathir Mohamad melancarkan serangan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri 
Abdullah Ahmad Badawi sejak awal tahun 2006.   Ujian demi ujian dan kritikan 
demi kritikan dihadapkan kepada Abdullah dari semasa ke semasa hingga akhirnya 
Umno dilihat kian kelabu dengan masalah dalaman yang sukar untukdiatasi 
meskipun Perhimpunan Agung Umno yang dikatakan sebagai medan perpaduan ahli 
parti sudah berlalu.   Umno 'retak menanti belah'   'Retak menanti belah', 
inilah ungkapan yang boleh disamakan dengan keadaan dalam Umno hari ini 
meskipun Dr Mahathir senyap seketika, namun konco-konconya pula kini menyerang 
pentadbiran orang kanan Abdullah.   Antaranya serangan peribadi ke atas Menteri 
Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad Hassan oleh Adun Lenggeng, 
Dato'Ishak Ismail dalam Sidang Dun Negeri Sembilan minggu lalu.   Ishak
 adalah tokoh politik yang sangat dikenali di negeri ini yang dikatakan sebagai 
penyokong kuat kepada bekas PM kerana pembabitannya dalam program-program 
bersama Dr Mahathir yang dijalankan di negeri ini.   Malah Ishak juga pernah 
secara terbuka menyokong kritikan Dr Mahathir ke atas Abdullah yang dilaporkan 
oleh sebuah akhbar online satu masa lalu.   Dalam pergeseran ini bukan Khairy 
yang jadi topik tetapi pembabitan abang Menteri Besar, Dato' Azman Hassan dalam 
urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pengagihan kontrak mula menjadi 'peluru' 
kepada Ishak untuk membedil orang kuat PM ini (Mohamad Hasan).   'Berbulu'   
Harakahdaily difahamkan bahawa Ishak sememangnya 'berbulu' dengan gelagat Azman 
yang didakwanya sebagai 'mastermind' dalam pentadbiran kerajaan pimpinan 
adiknya yang hanya naik kejawatanMB kerana dikenali sebagai tokoh yang paling 
rapat dengan Abdullah.   Tidak cukup dengan menghentam Mohamad di dalam dewan, 
di luar dewan Ishak terus menerus mengecam dan
 mengkritik kepimpinan Mohamad, malah di satu program bersama ahli Umno di Dun 
Lenggeng Ishak memperlekeh corak pentadbiran Mohamad yang lemah.   Mengulas isu 
tersebut Pengarah Pusat Aduan Rakyat Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan 
(AMKNS), Badrul Hisham Shaharin, berkata seluruh rakyat negeri ini sememangnya 
tahu soal campur tangan keluarga Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan 
negeri.   Katanya campur tangan itu khususnya dalam isu pengagihan projek dan 
hal pentadbiran yang lain.   Tandatangan MB tidak laku?   "Perkara ini sudah 
menjadi perbualan terbuka ramai orang tahu, bukan orang biasa, orang keADILan 
atau PAS yang cakap. Perkara ini diperkata orang Umno. Ramai orang Umno juga 
datang mengadu," katanya.   Badrul Hisham juga menyifatkan bahawa Mohammad 
sebagai MB yang lemah yang terpaksa bergantung kepada Azman untuk mengawal Umno 
Negeri Sembilan.   Malah beliau terpaksa melantik abangnya sebagai Setiausaha 
Umno Negeri Sembilan serta Ahli Majlis dan perbagai
 jawatan lagi bagi mengukuhkan kedudukannya di negeri tersebut, katanya lagi.   
Salah seorang ahli Umno yang tidak mahu dikenali berkata, apa yang dibangkitkan 
Ishak dalam dewan ialah menifestasi protes dalaman Umno.   Ramai kontraktor 
yang dahulunya kuat menyokong Umno negeri dipinggirkan hanya kerana dilabel 
orang kuat bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad.   "Dahulu semua orang 
berlumba nak jumpa MB dapatkan tandatangan sokongan untuk banyak benda tapi 
kini dapat sign MB tak membawa makna apa–apa jika tidak dapat 'endorsement' 
abang MB” katanya yang juga salah seorang ketua cawangan Umno di sini.   Kecoh  
 Sidang DUN Negeri Sembilan kecoh dan hangat dengan isu mengenai campur tangan 
Azman dalam pentadbiran kerajaan negeri. Isu ini telah mengheret tiga wakil BN 
bertikam lidah.   Dua wakil rakyat terbabit, Adun Palong, Aziz Samsudin dan 
Adun Sungai Lui, Zainal Abidin Ahmad yang menegur Ishak yang didakwa 
menimbulkan isu yang boleh mengaibkan orang lain.   Ketika
 membahaskan Belanjawan 2007, Ishak meminta Mohamad menasihatkan abangnya agar 
tidak campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan memberi tekanan 
kepada pegawai awam.   "Perkara ini (memberi tekanan) berlaku kepada seorang 
pegawai kerajaan dalam satu majlis, baru-baru ini," katanya tanpa menyebut nama 
abang Menteri Besar, tetapi jelas merujuk kepada abang Menteri Besar yang juga 
Setiausaha Umno negeri, Azman Hasan.   Kenyataan itu mengundang reaksi daripada 
Aziz yang berpendapat Ishak mengaibkan Mohamad.   Zainal Abidin juga 
menggunakan peluang ketika sesi perbahasan untuk mengingatkan Ishak supaya 
mengamalkan budi bahasa dan sopan santun seperti yang disasarkan kerajaan.   
"Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan kempen berbudi 
bahasa dan wajarlah kita semua berusaha mengamalkan budaya itu," katanya.   
Seleweng   Ishak berkata, beliau tidak berniat mengaibkan sesiapa dan teguran 
berhubung isu abang Menteri Besar dibuat untuk kebaikan semua
 pihak, kerana terlalu banyak orang mengadu menganai campur tangan keluarga 
Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan.   Terdahulu sebelum ini AMKNS turut 
mendedahkan isu penyelewengan Dana Kemiskinan sejumlah RM4.5 juta yang didakwa 
digunakan untuk ubah suai rumah MB Negeri Sembilan.   Dakwaan itu dibuat 
berasaskan kepada laporan audit tahun 2005 yang dibentang di Parlimen.Begitupun 
sehingga kini Mohamad tidak pernah mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan itu 
atau mengakuinya.   Dapatkan orang kuat PM ini terus mencatur politik negeri 
untuk satu penggal pilihan raya lagi, atau Ishak akan terus mencari jalan untuk 
menghentam Mohamad dengan kesumat yang berterusan.   Begitupun ada yang kecewa 
dengan sikap berdiam diri PAS Negeri Sembilan dalam isu ini malah isu yang 
membabitkan kerajaan negeri serta penyelewengan Dana Kemiskinan tatkala AMKNS 
giat menjalankan penerangan berhubung isu tersebut.   Reaksi dari pimpinan 
mahupun orang yang sepatutnya tidak pernah timbul
 hinggakan ada ahli PAS yang menyatakan bahawa isu ini seakan tidak diketahui 
oleh pimpinan PAS Negeri Sembilan untuk diperjuangkan. 

        
---------------------------------
Everyone is raving about the all-new Yahoo! Mail beta.

Kirim email ke