Persatuan Mahasiswa
Darul Aman (PERSADA)
No. 8, Jln. 19/13
46300 Petaling Jaya
Selangor.
 
6 Oktober 2008
 
Kepada:
Menteri Pelajaran
Timbalan Menteri
Pelajaran
Ketua Pengarah
Pendidikan Malaysia
Menteri Pengajian
Tinggi
Ketua Pengarah
Pengajian Tinggi
 
Yang Berhormat
Menteri-menteri,
 
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS
DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) WAJAR DIMANSUHKAN DI SEMUA SEKOLAH
DAN IPT
Merujuk
perkara di atas, kami selaku Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) telah 
mengkaji dan mempertimbangkan perihal isu berkaitan Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Seperti yang
kita sedia maklum, ia mula dicadang dan dilaksanakan pada tahun 2003 dan tahun
2008 ini merupakan tahun kelima pelaksanaannya.. Jika diikutkan, PPSMI untuk 
kumpulan perintis akan berjalan selama
lima tahun. Menurut Menteri Pelajaran, Hishamuddin Tun Hussein, projek perintis
inilah yang menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya.Justeru, kami 
merasakan adalah amat wajar sekiranya PPSMI dimansuhkan di kesemua
sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) jika
diteliti kepada kesan dan hasilnya setelah lima tahun pelaksanaannya.
Jika
melihat kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini, dengan terhentinya
pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu,
maka ini juga bererti bahawa bahasa Melayu itu sendiri telah dikhianati dan
dicabuli. Menurut Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussein, zaman ini
merupakan zaman penghinaan kepada seluruh bangsa Melayu, zaman cabaran dan
pancaroba terhadap tamadun dan budaya Melayu. Sekiranya kerajaan masih
terus-terusan meminggirkan bahasa Melayu, hal ini akan menjadi bom jangka dan
akan mencetuskan satu keadaan seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.
Daripada
aspek pencapaian pelajar pula, kita mendapati bahawa berlaku kemerosotan yang
serius terhadap pencapaian pelajar dalam subjek-subjek berkenaan. Hal ini
demikian kerana kurangnya minat pelajar untuk belajar subjek-subjek berkenaan
kerana kesukaran untuk memahaminya. Jika merujuk kajian yang
dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai kesan dasar PPSMI 
pada April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan
Sains mereka menggunakan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk
mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70 peratus murid menyatakan
mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan 80 peratus
terhadap pengajaran subjek Sains dalam Bahasa Inggeris dan mereka ‘sukar atau 
agak
sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi mereka dalam Ujian
Matematik dan Sains juga rendah, terutama item-item yang memerlukan murid
membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Dapatan 
daripada
kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai. Ia telah 
menyusah
dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu
sedikit pula meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris mereka. Maka,
tidakkah keadaan ini akan mengakibatkan kemunduran pelajar Melayu kita? 
Selain
itu, keadaan ini turut menambahkan bebanan guru kerana mereka terpaksa 
menggandakan
usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing, khasnya
pelajar sekolah rendah. Tidak dapat tidak, guru-guru terpaksa belajar ilmu nahu
atau ilmu tatabahasa dan perbendaharaan kata bahasa Inggeris terlebih dahulu
sebelum memulakan pengajaran, kerana bukan semua guru tersebut mahir berbahasa
Inggeris. Keadaan ini akan merumitkan para guru dalam memberikan kefahaman
kepada pelajar, sekaligus memberi tekanan kepada mereka. Dalam pada itu, mereka
terpaksa pula menghadiri kursus-kursus bagi memantapkan penguasaan bahasa
Inggeris, supaya dengannya para guru berupaya menyampaikan pengajaran dengan
berkesan. Hal ini perlu dilakukan secara berterusan, dan tentunya memakan masa
yang lama. Jika seorang guru pun sukar untuk memahami dan menyampaikan
pengajarannya dengan baik, maka tentulah pelajar akan lebih memerlukan masa
yang lama dalam memahami subjek yang dipelajari. 
Jika
difikirkan secara terperinci, pelaksanaan sesuatu dasar jika sekadar mahu
mencuba dan melihat dahulu impaknya merupakan dasar yang tidak menjamin masa
depan rakyat. Rakyat seolah-olah menjadi bahan uji kaji. Jika dasar ini tidak
berjaya, apakah kerajaan mampu mengembalikan masa depan pelajar-pelajar kita
yang telah gagal dalam pengajian dan terjerumus ke lembah sosial?
Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank
Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran
itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua, (seperti
Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa
ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam
tahun-tahun awal persekolahannya. Di samping itu, UNESCO juga memetik daripada 
'Education
for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers,
New York, Unicef') sebagai berkata: “Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar
itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah ialah bahasa yang tidak 
digunakan
sebagai bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran
dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam
pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.” Maka, tidakkah kerajaan melihat
kepada rumusan dan kajian yang dilakukan oleh UNESCO ini sebagai prinsip
sebelum mengambil keputusan melaksanakan dasar PPSMI di negara ini?
Justeru, kami dengan tegasnya memohon supaya kerajaan
memansuhkan dasar PPSMI di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT)
demi memartabatkan semula bahasa Melayu dan sebagai inisiatif untuk
mengembalikan kecemerlangan pencapaian para pelajar kita. Hal ini kerana para
pemimpinlah yang harus membela bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di negara
kita. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika
hilang bahasa Melayu dari lidah kita, maka di manakah identiti kita sebagai
bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu begitu gah dengan kekayaan berbahasa dan
kehalusan budi pekerti? Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan
tamadun Melayu semakin lama semakin hilang identitinya, maka janganlah bahasa
Melayu yang satu ini turut mengalami nasib yang sama.
Persatuan
Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)sangat berbesar hati
sekiranya YB Menteri-menteri dapat memberi perhatian yang sewajarnya terhadap
perkara yang kami utarakan ini.
Sekian.. Dengan
salam hormat.
 
Yang benar,
MOHD FAISAL MUSTAFFA
Presiden Penaja
Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA)
http://faisalmustaffa..com/v2/
 
 
 untuk maklumat lanjut sila layari::

www.faisalkini..blogspot.com

www.faisalmustaffa.wordpress.com

www.syababmuslims.blogspot.com


      

Kirim email ke