Huraian sangat jelas dan itulah yang kita tahu mengenai azzan.
Yang timbul persoalan saya ialah kenapa bila ada musibah seperti kebakaran
ada orang azzan sedangkan kita bukan hendak solat. Begitu juga bila orang
nak tinggalkan rumah kerana hendak ke Makkah tunai haji. Dari huraian yang
panjang lebar tadi tidak ada disebut pun mana-mana nas mengenainya.




________________________________
From: "bawanggoren...@yahoo.com" <BawangGoreng @yahoo.com>
To: Ikhwanul Muslimun <hidayahnet@yahoogroups.com>
Sent: Wednesday, January 7, 2009 23:36:19
Subject: Help Palestine [hidayahnet] Perihal Azan


Perihal Azan
Azan(أَذَان) adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam 
sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang 
Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. 
Dari segi bahasa, azan bermaksud ialah "al-i`lam" (pemberitahuan) atau 
"an-nida'" (seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu 
untuk menandakan waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan 
tentang waktu solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan dengan lafaz-lafaz 
tertentu.

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan sembahyang 
fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu fardu kifayah bagi sesuatu kumpulan, 
dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli 
kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan satu sunat aini atau, dan 
pahala sunat akan diperolehi apabila seseorang itu melakukannya. Bagi kaum 
wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan 
fitnah apabila meninggikan suara mereka.

Dalil bagi azan

Al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak menyatakan melaungkan azan mempunyai banyak 
kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur'an ialah firman Allah 
SWT yang bermaksud: "Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) 
sembahyang.. ." (Surah al-Ma'idah, ayat 58). Dalil daripada as-Sunnah pula 
merangkumi banyak hadis. Antaranya ialah sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila 
tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang 
lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Asal usul azan

Dari Abdullah bin Umar katanya: Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota 
Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk 
memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan 
waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada 
pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata 
Umar bin al-Khattab r.a., "Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan 
atau memberitahukan waktu sembahyang?" Bersabda Rasulullah SAW: "Hai Bilal, 
pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang." (Hadis Riwayat Muslim)

Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah. Ketika 
orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka 
berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin 
hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk 
memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya. Al 
maklum setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada 
diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang 
dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang 
keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil 
semua orang untuk solat tepat pada waktunya. Ada banyak cadangan yang diusulkan 
seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang 
dari Umar r.a. yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai 
pemanggil kaum Muslim untuk solat
 pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh 
semua orang, termasuk Rasulullah SAW memandangkan banyak cadangan-cadangan yang 
lain lebih mirip kepada kaum kafir.

Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud 
mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a. meriwayatkan: "Ketika cara memanggil 
kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi 
melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan 
bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang 
begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah 
bertanya, "Untuk apa? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, 
kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat." Orang itu berkata 
lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik?" Dan aku menjawab, 
" Ya!" Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang, 
"Allahu Akbar, Allahu Akbar...." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui 
Rasulullah SAW dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda 
bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya
 nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan 
kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara 
yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal. "Rupanya, 
mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya 
kepada Rasulullah SAW. Baginda bersyukur kepada Allah SWT di atas semua 
petunjuk tersebut.

Cara Azan Yang Dilakukan Oleh Muazzin (bilal)

Daripada Abu Juhaifah r.a. katanya, "Aku telah melihat Bilal sedang Azan dan 
aku memerhatikan mulutnya, kepalanya kekanan dan kekiri dan dua jarinya didalam 
telinganya." Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi, beliau menganggap 
hadis ini panjang. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah pula menyebut, 
"meletakkan dua jarinya ke dalam dua telinganya." Hadis yang diriwayatkan oleh 
Abu Daud menyebut, "(Bilal) telah memalingkan tengkuknya ketika menyebut "Haiya 
alassolah" ke kanan dan ke kiri, tanpa berpusing badannya." Asal hadis ini di 
dalam soheh al-Bukhari dan soheh Muslim. Dan daripada Abu Mahzurah r.a. bahawa 
Nabi SAW perkenan suaranya lalu diajarkan Azan kepadanya. (Riwayat Al-Bukhari 
dan Muslim)

Huraian:

        1. Setiap umat Islam dikehendaki mengambil berat didalam melakukan amal 
ibadatnya termasuklah ibadat sembahyang.
        2. Sunat bagi tukang azan meletakkan dua jarinya kedalam dua telinganya 
supaya suaranya lebih nyaring.
        3. Sunat juga ia memalingkan kepalanya kekanan dan kekiri ketika 
menyebut "Haiyya alassolah" dan "Haiyya alalfalah"
        4. Makruh bagi tukang azan memalingkan badannya sekali ketika sedang 
berazan.
        5. Harus bagi imam memberi upah kepada tukang azan dari wang Baitul Mal 
atau dari ahli mukim atau dari pihak yang berkuasa. Kerana khidmatnya memanggil 
orang untuk melakukan solat.Adab dan Tertib Azan

Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Ia dilaungkan sebanyak dua kali 
bagi setiap lafaz kecuali Takbir pada awal azan disebut sebanyak empat kali dan 
lafaz kalimah tauhid hanya sekali sahaja. Sila rujuk [Azan dan Iqamat ] 
cara-cara azan. Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki Muslim yang 
berakal. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja untuk semua kariah, dan 
tidak boleh dibuat berulang kali untuk kariah yang sama. Azan hendaklah 
dilafazkan dalam Bahasa Arab.
Azan dilaungkan ketika masuk waktu solat melainkan pada waktu Subuh. Waktu 
Subuh mempunyai dua azan di mana Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu 
iaitu bermula waktunya selepas berlalu separuh malam untuk memberitahu Muslimin 
bahawa waktu Subuh sudah hampir. Azan kedua dikumandangkan ketika masuk waktu 
Subuh.
Untuk solat Jumaat, azan berkumandang sebanyak dua kali, kali pertama untuk 
menandakan masuk waktu Zuhur untuk memanggil orang-orang Muslim ke masjid dan 
kali kedua dikumandangkan sejurus sebelum Imam memulakan khutbah Jumaat. Iqamat 
dilafazkan selepas imam selesai membaca khutbah, dan sebelum imam mengangkat 
Takbir Jumaat.
Sunat Azan
Orang yang melaungkan azan (muazzin) mestilah suci daripada hadas kecil, hadas 
besar dan najis. Beliau juga hendaklah menghadap kiblat ketika mengumandangkan 
azan. Azan sunat dilafazkan oleh muazzin yang baik dan merdu suaranya serta 
nyaring. Azan hendaklah dinyaringkan biarpun didengar oleh salah seorang 
daripada jemaah ketika sembahyang berjemaah. Sekiranya tidak menggunakan 
pembesar suara, azan hendaklah dilaungkan di tempat yang tinggi. Penggunaan 
pembesar suara di merata tempat memaafkan perbuatan ini. Azan juga sunat 
dilakukan berdiri kecuali jika ada uzur.
Ketika muazzin membaca "hayya 'ala as-salah", muazzin hendaklah menghadapkan 
muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca "hayya 'ala al-falah" 
menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri. Juga disunatkan melakukan tarji' 
semasa azan iaitu menyebut dua kalimah syahadah secara senyap sebelum 
dinyaringkan.
Disunatkan juga muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya 
dengan tujuan untuk meninggikan suara. muazzin tidak boleh bercakap ketika 
mengumandangkan azan. Orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya 
secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada 
lafaz "hayya 'ala as-salah" dan "hayya 'ala al-falah". Kedua-duanya disahut 
dengan "la haula wala quwwata illa bi Allah" yang bermaksud "tiada daya dan 
kekuatan kecuali daripada Allah".
Azan itu hendaklah dilakukan dengan Tertib dan Muwalat di antara lafaz azan dan 
Iqamat.
Syaitan Lari!
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi s.a.w bersabda: "Apabila dikumandangkan 
azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar 
olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila 
qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang 
kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata 
kepadanya: "Ingatlah apa yang belum kamu ingat!" Sehingga akhirnya orang itu 
tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan 
berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur'an. Dalam menghadapi keadaan-keadaan 
yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa 
sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh 
Rasulullah SAW, contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan 
takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek. 
Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan 
azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir.

Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia 
dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada 
mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan 
pada dirinya. Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan 
doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah 
memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya. Maka apabila manusia 
terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk 
merosakkan manusia.

Menjawab azan

Menjawab azan hukumnya sunat. Ini berdasarkan dalil (dengan satu perbuatan Nabi 
SAW), ketika mana baginda mendengar tukang azan melaungkan takbir, baginda 
bersabda, "(kamu berada) atas Fitrah." Ketika baginda mendengar syahadah, 
baginda bersabda, "Kamu selamat daripada neraka." (Hadis Riwayat Muslim). 
Jumhur Ulama berkata, "Jika menjawab azan itu wajib, sudah pasti Nabi SAW akan 
menyahut azan tersebut sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Maka apabila 
(terdapat perbuatan Nabi yang tidak menyahut azan seperti laungan muazzin) 
menjadi tanda bahawasanya arahan (menjawab azan seperti hadis dari Abi Sa'id) 
menunjukkan kepada istihab (sunat)..." [As-Sana'ani, Subulus Salam. jld. 1, ms. 
428]

Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya dia mendengar Rasulullah SAW 
bersabda: "Apabila kamu mendengar muadzin menyerukan azan, maka ucapkan pula 
apa yang dibaca muadzin itu. Kemudian bacalah salawat untukku, kerana 
sesungguhnya orang yang bersalawat bagiku, Allah memberi berkat kepadanya 
sepuluh kali. Sesudah itu mohonkanlah bagiku kepada Allah 'Alwasilah', iaitu 
suatu tempat di syurga yang hanya akan ditempati oleh seorang hamba Allah. Aku 
berharap, akulah yang akan menempatinya. Maka siapa yang memintakan 'Alwasilah' 
itu untukku, dia akan beroleh syafa'at (pembelaan) dariku." (Hadis Sahih 
riwayat Muslim)

Dari Sa'ad bin Abu Waqqash r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang mendengar 
muadzin menyerukan azan, lalu dia mengucapkan: 'Asyhadu alla ilaaha illallah 
wahdahu lasyarikalah, wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu, radhitu billahi 
rabban, wa bi Muhammadin rasulan, wa bil Islami dinan' (Aku mengaku tidak ada 
Tuhan selain Allah, satu-satunya- Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahwa 
Muhammad hamba-Nya dan Rasul-Nya aku suka Allah menjadi tuhanku, Muhammad 
sebagai Rasul dan Islam jadi agamaku) maka diampuni Allah dosa-dosanya." (Hadis 
Sahih riwayat Muslim)

Doa selepas Azan

Setelah selesai azan, doa berikut adalah sunat dibaca oleh muazzin dan penganut 
Muslim lain yang mendengar azan: "Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang 
sempurna ini dan solat yang sedang didirikan." (Allahumma rabba hadhi-hid 
da'wa-tit-tamma wa-salatil qae-ma)

اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة

Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan (Ati muhammadanil wasilata 
wal fadeela)

آت محمداً الوسيلة و الفضيلة

Serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya (Wab ath-hu 
maqamam-mahmuda- nil ladhi wa at-ta)

وابعثه مقاماً محموداً الذي وعدته

(Hadis riwayat Bukhari)
Adab mendengar azan

Seelok-eloknya janganlah berkata-kata (bersembang) , sebaliknya, jawaplah azan 
dan berdoalah selepas azan habis dilaungkan.

Benarkah bercakap ketika azan tidak boleh mengucap?

Dikatakan bahawa jika bercakap ketika azan akan menghadapi azab tidak boleh 
mengucap ketika nazak adalah perkara yang salah/tidak tepat. Jika benar 
bercakap ketika azan adalah satu perkara yang salah dan dilarang oleh Allah, 
kenapakah para sahabat bercakap ketika azan dilaungkan? Ni berdasarkan hadis, 
"Adalah mereka di zaman Umar bin al-Khattab, menunaikan solat (Sunat) pada hari 
Jumaat, sehinggalah Umar masuk ke dalam masjid, apabila Umar masuk (ke dalam 
masjid, dan beliau duduk di atas mimbar, lalu tukang azan melaungkan azan. Kata 
Thalabah: Kami pun duduk (berhenti dari menunaikan solat sunat) dan kami 
berbicara (bersembang) . Apabila azan selesai, lalu Umar berdiri untuk 
menyampaikan khutbah, kami pun diam dan tidak ada seorang pun daripada kami 
yang berbicara." [Muwata Malik dengan Syarah al-Zarqani. Jld 1, m.s. 307]

Kalau benar bercakap ketika azan akan menyebabkan mati tak dapat mengucap, para 
Sahabat tentu tidak akan melakukannya! Jadi kalau menjawab azan yang telah 
jelas ada dalilnya tu pun sunat, arahan mewajibkan berdiam diri yang tiada 
dalilnya lebih lagi tidak dapat menjadi hujah. Malahan ianya bertentangan 
dengan nas-nas sahih dan jelas kerana Nabi SAW juga bercakap ketika azan dan 
Nabi SAW menjawab azan (bukan berdiam diri). Kalau dibandingkan dengan 
berbual-bual kosong, tentu lebih utama menjawab azan kerana itu sunnah.

Renung-renungkan dan selamat beramal!

--
- BawangGoreng -
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
http://bawangorengn et.blogspot. com
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Hadis Rasulullah s.a.w.:
Daripada Salman bin 'Amir r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
"Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; 
sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat 
dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim." 
(Hadis riwayat al-Tirmizi)

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤



      New Email addresses available on Yahoo!
Get the Email name you&#39;ve always wanted on the new @ymail and @rocketmail.
Hurry before someone else does!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/aa/

Kirim email ke