PETIKAN BLOG i FOLLOW : Genta-Rasa <http://genta-rasa.com/>
BERCINTALAH BERKALI-KALI

<http://gentarasa.files.wordpress.com/2010/01/happiness-in-perpetuity-paul-bond.jpg>


Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi
semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita
yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan
rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak
selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap,
perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban
penanggungan keluarga semakin bertambah.

Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami
isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini
dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan
suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di
dalam rumah lebih-lebih lagi. “Mati kutu” memanjang.

*Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau
suami?* Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah
sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam.
Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah
tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah
sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.

Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak
meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih
besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga
bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap
diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang… tidak
ada cerita baru!

Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi.
Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran,
tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh
jadi dalam kereta, si suami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu.
Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi
“mediator” secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang
ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.

Oh, maaf… saya tidak bercakap tentang “orang baru” yang masih berbulan madu,
ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi
topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga
terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama.
*Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta?* Mana yang lebih
tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?

Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula
bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta
telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu
diluahkan untuk mengharumkan cinta. *Ingat kita bercinta bukan hanya sekali
tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.*

Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang
sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan
luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa
jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa
terbuka mendengarnya.

Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang
pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang
hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi
pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita
mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak
terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.

Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja,
tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya
boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah
kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan
baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan
mewujudkan diam yang panjang!

Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan “hukum 24 jam”.
Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan
sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya
kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif
menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin
berbaik-baik semula.

*Jangan malu alah untuk memulakan. *Justeru, jika tempoh 24 jam sudah
berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk
berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah
rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan
kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya. *Percayalah
inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar
pahalanya di sisi Islam.* Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk
memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar
daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah
lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.

Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata
yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan
dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya
ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa
memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan
dengan situasi terkini dalam rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak
melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan “gencatan suara” melebihi masa 24
jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi
dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan
selesaikan masalah dengan satu masalah lain.

Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa
sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya
semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya.
Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah
pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu
mengasihinya.”

*Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah.* Dalam rumah tangga, seorang
suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya.
Tetapi saya kurang setuju jika perkataan “sayang” itu diluahkan
berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya
dengan perkataan sayang. “Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat
macam ni. Kenapa awak degil lagi?” Begitulah herdik si suami sambil
menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang
sebegitu masih romantik lagi?

Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian
keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang
dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara
lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati.
Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a
verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik
diiringi juga dengan perkataan yang baik.

*Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. *Kesilapan
mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin
kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata.
Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang
sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali.
Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai
mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan
berkali-kali.

Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti “I
love you” atau “Saya sayangkan awak” sudah semakin kurang kedengaran. Ramai
beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang
lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita
sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan
percakapan?

Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk
menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan
untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja
tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan
yang luar biasa.

Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita
membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau
menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah
satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan
suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah
usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak
dibauri oleh keinginan seks.

Selain daripada itu, *kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk
tindakan pembelaan. *Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya
atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya.
Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun
kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati
terhadap krisis yang mereka alami.

Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka
bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut.
Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka
keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi
“serangan” orang lain. Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia
yang bersalah… jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!

Kirim email ke