Misi LL4G berjaya capai matlamat strategik





                        Isnin, 07 Jun 2010 08:24


                        A Zaid Omar









KUALA LUMPUR - Walaupun niat untuk menghantar sendiri
bantuan ke Gaza tidak tercapai, misi Projek Lifeline for Gaza (LL4G)
telah mencapai matlamat yang lebih besar dan murni. Menurut salah
seorang anggota sukarelawan Malaysia yang terlibat, Ustaz Hasanuddin
Mohd Yunus, misi mereka memang dirancang untuk mempunyai unsur strategik
 yang sangat besar.


“Perkara paling penting yang ingin dan telah tercapai
 ialah menyedarkan dunia bahawa satu kezaliman yang sangat besar sedang
berlaku di Gaza”, ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Aqsa Syarif,
 sebuah badan kebajikan Palestin yang berpusat di Kajang, Selangor.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan khas dengan anggota-anggota
 sukarelawan Aqsa Syarif di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.
 Menurut beliau, peristiwa ini telah menggegarkan dunia,
 menyebabkan Israel dikutuk dan dikecam di serata dunia. Malah pemimpin
dunia Arab, Islam dan dunia mula sedar dan menyatakan pendirian tegas
mengenai kezaliman Israel bukan sahaja kerana menyerang Freedom Flotilla
 tetapi kerana berterusan mengenakan kepungan ke atas Gaza, termasuk
gesaan terbaru oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau juga
menyuarakan penghargaan di atas pendirian tegas kerajaan Malaysia dalam
isu ini.
 Sementara itu, ahli Lembaga Pengarah
Aqsa Syarif merangkap wakil Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr
Selamat Aliman yang turut menyertai misi tersebut menyatakan bahawa ini
adalah kali kedua beliau menyertai misi penghantaran bantuan ke Gaza.
 Misi kali pertama beliau pada bulan Januari tahun
lepas menemui jalan buntu kerana Kerajaan Mesir tidak mahu membuka
laluan ke Gaza melalui Rafah. Tetapi pada kali ini, walaupun berdepan
dengan peristiwa yang mengancam nyawa, ia tetap berjaya.
 Menurut Dr. Selamat, pada asalnya perancangan pihak
Freedom Flotilla ialah untuk berlabuh di perairan antarabangsa
berhampiran Gaza dan berunding dengan pihak rejim Tel Aviv untuk
membenarkan penghantaran bantuan ke Gaza. “Kami bersedia untuk menunggu
kerana kapal Mavi Marmara mempunyai bekalan makanan dan air bersih
selama satu bulan setengah. Kita merancang, Allah juga merancang dan
perancangan Allahlah yang terbaik.”
 “Walaupun
peristiwa serangan dan penahanan kami memeritkan, tetapi kami melihatnya
 sebagai satu kejayaan memperjuangkan isu Palestin dan membela Masjid
Al-Aqsa. Ia membuka minda dan mata dunia kepada kezaliman Israel,” ujar
beliau. Bukti jelas kemenangan dalam ‘pertempuran’ ini ialah misalnya
banyak negara kini sedang menilai semula hubungan diplomatik dengan
Israel manakala Mesir telah membuka semula laluan bantuan ke Gaza
melalui Rafah.
 Majlis pertemuan khas tersebut
dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Zin Kandar, Setiausaha Aqsa Syarif
 dan dihadiri oleh lebih 150 orang aktivis dan sukarelawan Aqsa Syarif
dari seluruh negara.

http://www.malaysiaharmoni.com




      

Kirim email ke