Hari ni Khutbah Jumaat mengejutkan semua para jemaah yang hadir. Terbeliak biji 
mata mendengar khutbah yang menceritakan isu hubungan seks suami isteri dan 
seks bebas. Yang satu dapat pahala, yang satu dapat dosa. Kalau sebelum ni 
ramai jemaah terlentok dengar khutbah, hari ni hampir semua terpesona. Rugilah 
siapa yang tak dengar khutbah isu seks ni. Tak apa, boleh rujuk laman web JAKIM.

Tak sabar nak dengar khutbah Jumaat minggu depan isu apa pula.

Sebelum ini saya tulis artikel Khutbah Jumaat semakin membosankan BORING di
http://waghih.blogspot.com/2010/05/khutbah-jumaat-semakin-membosankan.html . 
Semenjak dua menjak ni dah tak boring dah.

Khutbah hari ini juga berkisar apa yang saya ada tulis sebelum ini krisis buang 
bayi dan cara mengatasinya di 
http://waghih.blogspot.com/2010/03/krisis-buang-bayi-adat-kahwin-dan-zina.html

*******************************

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia http://www.islam.gov.my/khutbahjakim
“HIDUP BERKELUARGA SATU IBADAH”
(16 JULAI 2010 / 4 SYA,BAN 1431H)

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Bersempena dengan perhimpunan kita untuk menunaikan fardhu Jumaat pada hari ini 
marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh 
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. 
Mudah-mudahan kehidupan kita beroleh kebahagian di dunia dan kesejahteraan di 
akhirat yang kekal abadi, insya-Allah.

Tajuk khutbah pada hari ini ialah: HIDUP BERKELUARGA SATU IBADAH.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Budaya berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan 
dengan kes-kes pengguguran kandungan, pembahagian kondom percuma, pil pencegah 
hamil percuma, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan.

Walaupun budaya keji  ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja 
yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai 
mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan oleh mereka yang 
belum pernah berkahwin.
Hukuman keras yang dikenakan oleh Islam ini amat waras kerana perbuatan berzina 
adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status 
nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Pada hari Jumaat yang mulia ini mimbar mengingatkan bahawa pergaulan bebas 
adalah punca utama penzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati 
wanita pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang 
memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati 
perzinaan.

Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, 
menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan. Termasuk juga orang 
yang sudah bertunang dan menyangka bahawa setelah bertunangan ia boleh 
melakukan apa saja terhadap calon isteri adalah bercanggah dengan ajaran Islam. 
Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu 
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat 
pedih di neraka Jahannam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan 
api yang ada di atas dunia ini. Dalam beberapa hadith disebutkan di akhirat 
kelak, Allah SWT tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya.

Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga 
terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah 
bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pinti-pintu 
menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah 
SWT.

Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita 
misalnya turut terjebat dengan amalan perzinaan.

Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan 
kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun 
perlepasaan dan pembebasan  hawa nafsu hendaklah dilakukan secara halal iaitu 
melalui perkahwinn yang sah.

Hadith dari Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata Rasulullah SAW 
bersabda yang bermaksud, “ Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir 
adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah 
sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang munkar 
juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah”. 
Lalu kami bertanya kepada Rasulullah, “ adakah kami mendatangi isteri-isteri 
kami baginya mendapat pahala?. Rasulullah bersabda “ Tidakkah kamu sedar jika 
melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya bila melakukan 
perbuatan yang halal itu pastilah berpahala”.

Para sahabat RA apabila mendengar sabda Rasulullah itu agak terkejut kerana 
mereka tidak terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka pun 
segera menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah dengan kehairanan: “Melakukan 
hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala”.

Rasulullah SAW menjelaskan dengan mudah, ‘jika seseorang melakaukan zina maka 
mereka berdosa, dimasukkan ke dalam neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah 
tidak adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan 
pernikahan yang halal bagi menghindarkan dari melakukan zina. Jika orang yang 
berzina itu menerima padah masuk neraka maka logiknya orang yang melakukan 
persetubuhan halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah”.

Hubungan kelamin suami isteri itu seperti juga makan minum, hukum asalnya 
adalah harus. Maka setiap yang harus itu untuk menjadikan dia sebagai sesuatu 
ibadah yang berpahala hendaklah disertai dengan niat, menjaga adab-adab 
hubungan kelamin seperti  janganlah mendatangi isteri kamu seperti seekor 
binatang yang menerkam mangsanya, tidak mengadakan hubungan kelamin pada waktu 
haid, nifas dan sebagainya. Tidak mencerita atau merakam apa yang berlaku 
semasa hubungan kelamin serta menjaga kemaluan masing-masing.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Selari dengan hidup berkeluarga itu satu ibadah, maka pada dasarnya hukum  
perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan 
hadith-hadith Rasulullah  bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah atau kenduri 
kahwin adalah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan hantaran yang  
rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam perkahwinan dan perlu 
mengelakkan pembaziran.

Bagaimana pun kerana mempertahankan adat, menjaga status dan perbuatan 
menunjuk-nunjuk, maka menyebabkan perbelanjaan mas kahwin, hantaran dan kenduri 
kendara melambung tinggi.

Walaupun menjaga adat atau status ini memberi kepuasan kepada ibubapa tetapi ia 
amat membebankan anak-anak kita, mereka memikul beban hutang atau kemungkinan 
mereka menagguhkan perkahwinan yang akhirnya membuka laluan melakukan 
perzinaan, mengandung anak luar nikah dan membuang bayi.

Sekali lagi mimbar menyeru ibubapa dan jemaah sekalian marilah kita mengikut 
sunnah dan bersederhana dalam melaksanakan majlis perkhwinan, agar dengan 
pendekatan ini tidak akan membebankan mana-mana pihak dalam membina ikatan 
perkahwinan serta mengelak dari kancah kemaksiatan.

Jadikanlah hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa di rahmati Allah 
SWT.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah 
dalam surah al-Ruum, ayat 21:

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan 
untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati 
dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang 
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir".

http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/upload/doc/Hidup%20Berkeluarga%20Satu%20Ibadah%20(Rumi).doc




Kirim email ke