Sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas ditinggalkan suami kira-kira dua tahun 
lalu, nasib malang terus menimpa Sabariah Jamali, 40, dari Kampung Sungai 
Midin, Jalan Semariang dekat sini, apabila rumah didiami sejak 16 tahun lalu 
pula runtuh akibat terlalu usang, minggu lalu.

*******************************
Ditinggal suami, rumah didiami roboh
Berita Harian 5 Ogos 2010

KUCHING: Sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas ditinggalkan suami kira-kira dua 
tahun lalu, nasib malang terus menimpa Sabariah Jamali, 40, dari Kampung Sungai 
Midin, Jalan Semariang dekat sini, apabila rumah didiami sejak 16 tahun lalu 
pula runtuh akibat terlalu usang, minggu lalu.

Berikutan kejadian itu, Sabariah yang juga menghidap penyakit buah pinggang dan 
dua anaknya kini terpaksa menumpang di rumah jiran. Dua anaknya, Nasri Fazrin 
Ismail, 17, dan Adib Shazwan, 12, masing-masing akan menduduki peperiksaan 
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 
ini.

Nasib malang menimpanya bukan saja menyebabkan beliau buntu memikirkan masa 
depan anak-anaknya, tetapi pada masa sama perlu mencari wang bagi mendirikan 
semula rumahnya yang runtuh kerana penyakit dihidapi membataskan beliau untuk 
melakukan kerja berat. Malah, beliau tidak menerima sebarang bantuan sara hidup 
daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan sudah menerima bantuan 
perubatan RM5,000 daripada jabatan itu untuk kos perubatannya sebulan.

Justeru, katanya, sejak ditinggalkan suami dua tahun lalu, beliau terpaksa 
mencari sayur-sayuran hutan untuk dijadikan lauk dan pada masa sama berterima 
kasih dengan penduduk kampung yang sudi meringankan beban keluarganya.

“Saya mengharapkan ada pihak yang sudi memberi bantuan kepada kami sekeluarga 
untuk membina semula rumah ini kerana kami tidak mahu menumpang di rumah jiran 
buat selamanya. Sekurang-kurangnya dengan rumah baru nanti, akan memberi 
peluang kepada kami membina semula kehidupan baru.

“Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih dengan jiran kerana sudi 
menghulurkan bantuan dengan membenarkan kami menumpang di rumahnya,” katanya 
kepada Berita Harian.
Menceritakan kejadian rumahnya runtuh, Sabariah berkata, ia runtuh secara 
tiba-tiba kerana terlalu usang, bagaimanapun mereka tiga beranak sempat 
menyelamatkan diri.

“Saya tidak sempat menyelamatkan ubat-ubatan buah pinggang kerana keadaan 
menjadi kelam kabut ketika itu. Saya tidak menyangka kejadian malang itu akan 
menimpa kami,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ditinggalsuami_rumahdidiamiroboh/Article





Kirim email ke