السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Konfrontasi Indonesia - Malaysia (1962 - 1966)
Post under Askar, Isu Semasa, Sejarah, Wataniah   Dicatat oleh Naim Qlate


Bendera Lambang negara
Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan satu penentangan Indonesia terhadap
pembentukan Malaysia yang bermula dari tahun 1962 hingga 1966. Penentangan ini
telah dilakukan oleh Presiden Sukarno kerana cita-cita tingginya untuk
menubuhkan Indonesia Raya yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia
terhalang akibat daripada pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September
1963.

Latar Belakang

Pada 1961, Kalimantan dibahagikan kepada empat pentadbiran. Kalimantan, sebuah
negeri milik Indonesia yang terletak di selatan Kalimantan. Di utara merupakan
Kerajaan Brunei dan dua negeri dibawah pentadbiran British; Sarawak dan Borneo
Utara British, yang kemudiannya diberi nama sebagai Sabah. Sebagai bahagian dari
pengunduran dari pentadbirannya di Asia Tenggara, British cuba menggabungkan
pentadbirannya di Kalimantan dengan Semenanjung Tanah Melayu untuk membentuk
Malaysia.

Rancangan ini dibantah keras oleh Presiden Indonesia; Presiden Soekarno. Beliau
berpendapat bahawa Malaysia adalah sebuah rekaan British, dan penubuhan Malaysia
hanya akan memberikan pihak British menguatkan lagi kuasa jajahannya di
kepulauan Borneo ini, sehingga memberi ancaman besar terhadap kemerdekaan
Indonesia. Filipina juga membuat dakwaan atas Sabah, dengan alasan negeri itu
mempunyai hubungan sejarah dengan Filipina melalui Kesultanan Sulu.

Di Brunei, Pemberontak Kalimantan Utara (TNKU) memberontak pada 8 Disember 1962.
Mereka melakukan cubaan menculik Sultan Brunei, dan merampas ladang minyak dan
menjadikan orang Eropah sebagai tebusan. Sultan Brunei berjaya melepaskan diri
dan baginda meminta pertolongan dari British. Baginda mendapat bantuan
ketenteraan British, Persekutuan Malaysia dan Gurkha dari Singapura. Pada 16
Disember, Komander Timur Jauh Inggeris (British Far Eastern Command) menyeru
bahawa seluruh pemberontakan utama telah berjaya dipatahkan, dan pada 17 April
1963, pemimpin pemberontak ditangkap dan pemberontakan tersebut berakhir.

Filipina dan Indonesia secara rasminya bersetuju untuk menerima pembentukan
Malaysia apabila majoriti di daerah yang menghadapai konflik membuat pilihan
dalam dalam satu pungutan suara yang dikelolakan oleh PBB. Soekarno pada mulanya
mengambil pendirian menyokong penubuhan Malaysia, Menteri luar Indonesia iaitu
Dr. Subandrio pernah mengucapkan selamat kepada usaha Persekutuan Tanah Melayu
menubuhkan Malaysia. Namun sikap Indonesia telah bertukar dan berusaha menentang
keras penubuhan Negera Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang bebas.
Soekarno ternyata mempunyai ego yang kuat sehingga sanggup menghina dan mengutuk
Malaysia secara terus menerus dalam Sidang Kemuncak yang diadakan di Manila.
Selain daripada kritikan yang keras, beliau juga bertindak memutuskan hubungan
politik, ekonomi dan sosial dengan Persekutuan Tanah Melayu.

“  Semenjak demonstrasi anti-Indonesia di Kuala Lumpur berlaku, para penunjuk
perasaan mengepung bangunan Duta Indonesia, dan bertindak mengoyakkan gambar
Soekarno dan membawa lambang negara Indonesia Garuda Pancasila di hadapan
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan menyuruh beliau untuk memijak lambang
Garuda. Tindakan penunjuk perasaan anti-Indonesia yang melakukan perbuatan
sedemikian telah menimbulkan kemarahan Soekarno ke atas Malaysia. ”

Soekarno yang berang akibat tindakan itu mengutuk perbuatan Tunku yang
memijak-mijak lambang negara Indonesia[1] dan beliau ingin membalas dendam
dengan melancarkan gerakan yang terkenal dengan nama Ganyang Malaysia.(Namun hal
ini dinafikan oleh Tunku, malah beliau sendiri mempersoalkan tindakan segelintir
penunjuk perasaan memijak-mijak lambang tersebut)[2].

Perang

Dalam usaha Sukarno yang menentang penubuhan Negara Malaysia, beliau juga telah
memulaukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditugaskan pada tahun 1962 yang
bertujuan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan
Malaysia. Sukarno telah melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’pada akhir 1963.
Konfrantasi Sukarno telah berubah dari sekadar perang kata-kata menjadi
konfrantasi ketenteraan, hal ini berlaku selepas Suruhanjaya khusus PBB yang
dibentuk untuk mengumpul pendapat rakyat setempat tentang pembentukan Malaysia.
Sukarno menjadi semakin tersinggung apabila Tunku mengumumkan terbentuknya
Malaysia sebelum Komisi PBB itu mengumumkan hasil siasatannya.

Pada 1964, gerila Indonesia mulai menyerang wilayah di Semenanjung Malaysia.
Pada bulan Ogos, enam belas ejen bersenjata Indonesia ditangkap di Johor.
Aktiviti tentera Indonesia di sempadan meningkat. Sehubungan itu, kerajaan
Malaysia mengerahkan Angkatan Tentera Malaysia termasuk Rejimen Askar Melayu
Diraja dan Rejimen Askar Wataniah bersiap sedia untuk menangani ancaman ganas
Indonesia, Tentera Laut Diraja Malaysia dikerah untuk mempertahankan perairan
Malaysia. Keanggotaan pasukan tentera Malaysia hanya sedikit yang dikerah dan
diletakkan dibahagian pos kawalan sempadan dan kawalan unit komando. Misi utama
mereka adalah untuk mencegah pencerobohan gerila Indonesia ke Malaysia. Selain
pasukan tentera, kerajaan Persekutuan Malaysia turut menghantar sepasukan polis
dari pelbagai cawangan untuk membantu pasukan tentera mempertahankan tanahair.
Cawangan Tugas Am, Sukarelawan Polis dan Polis Bantuan ditugaskan untuk mengawal
dan membuat rondaan dikampung-kampung dan dikawasan bandar. Sekatan jalanraya
dengan pihak tentera dijalankan dengan ketat dan pemeriksaan ke atas orang awam
turut dijalankan bagi memastikan tiadanya ejen Indonesia yang menyusup masuk ke
dalam bandar dan kampung-kampung dengan menyamar sebagai orang awam. Cawangan
Khas ditugaskan untuk membantu Kor Risik Diraja melakukan tugas risikan terhadap
kegiatan dan aktiviti subversif yang dilakukan oleh tentera Indonesia, manakala
Pasukan Polis Marin membantu Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan tugas
rondaan diperairan negara serta Pasukan Polis Hutan diaturgerakkan bersama
tentera darat memburu gerila Indonesia yang menyusup masuk ke dalam hutan. Pada
16 Ogos, sepasukan Rejimen Askar Melayu Diraja berhadapan dengan lima puluh
orang gerila Indonesia.

Meskipun Filipina tidak turut serta dalam kempen tersebut, namun mereka
memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Persekutuan Malaysia ditubuhkan
secara rasmi pada 16 September 1963. Brunei menolak gabungan dengan Malaysia dan
Singapura keluar di kemudian hari.

Ketegangan berlaku di kedua belah pihak di Selat Melaka. Dua hari kemudian para
perusuh membakar kedutaan Britain di Jakarta. Beratus-ratus perusuh menyerbu
kedutaan Singapura di Jakarta dan juga rumah diplomat Singapura. Di Malaysia,
ejen Indonesia ditangkap dan wartawan media massa menyerang kedutaan Indonesia
di Kuala Lumpur.

Di sempadan Kalimantan, telah berlakunya pertempuran dikawasan sempadan; gerila
Indonesia dan pasukan separa tenteranya cuba menceroboh Sarawak dan Sabah,
tetapi gagal. Sebahagian besar pihak yang terlibat konflik bersenjata dengan
Indonesia adalah askar Britain dan Australia, terutama sekali pasukan khas
mereka iaitu Special Air Service (SAS). Dianggarkan, seramai 2000 komando
Indonesia (Kopassus) dan 200 anggota SAS British, Australia dan New Zealand
terbunuh setelah bertempur di hutan Kalimantan dengan Truper James Condon dari
anggota 22 SAS British menjadi korban pertama dalam pertempuran tersebut.

Pada 17 Ogos, pasukan payung terjun mendarat di pantai barat daya Johor dan cuba
membentuk pasukan gerila. Pada 2 September 1964, pasukan payung terjun mendarat
di Labis, Johor. Pada 29 Oktober, 52 anggota tentera Indonesia mendarat di
Pontian di sempadan Johor-Melaka, tetapi ditangkap oleh pasukan Rejimen Askar
Melayu Diraja dan New Zealand, manakala yang selebihnya berjaya ditahan oleh
Pasukan Polis Hutan di Batu 20, Muar, Johor.

Konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia menjadi semakin tegang apabila Malaysia
terpilih sebagai anggota tidak tetap PBB pada bulan Disember 1964. Sebagai
protes kepada penyertaan Malaysia menjadi anggota PBB, Indonesia telah menarik
diri daripada keanggotaan PBB pada Januari 1965.

Sebagai tandingan Olimpik, Soekarno turut menyelenggarakan GANEFO (Games of the
New Emerging Forces) yang diselenggarakan di Senayan, Jakarta pada 10-22
November 1963. Pesta olahraga ini disertai oleh 2,250 atlet dari 48 negara di
Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan, serta didatangi oleh 500 orang
wartawan asing.

Pada Januari 1965, Australia bersetuju untuk menghantar pasukan tenteranya ke
Kalimantan setelah mendapat permintaan dari Malaysia. Tentera Australia
menghantar 3 Rejimen Diraja Australia dan Rejimen Australian Special Air
Service. Dianggarkan seramai empat belas ribu pasukan tentera British dan
Komanwel di Australia pada ketika itu. Secara rasminya, tentera British dan
Australia tidak dapat melakukan serangan melalui sempadan Indonesia. Tetapi,
unit seperti Special Air Service, baik British mahupun Australia, menyusup masuk
secara rahsia (lihat Operasi Claret). Australia melakukan penyusupan ini pada
1966.

Pada pertengahan 1965, Indonesia mula menggunakan pasukan rasminya setelah
kesemua pasukan komando dan sukarelawan yang melakukan penyusupan di Malaysia
gagal. Pada 28 Jun, mereka menyeberangi sempadan ke timur Pulau Sebatik
berhampiran Tawau, Sabah dan cuba melakukan serangan dan sabotaj ke atas kem
Rejimen Askar Melayu Diraja di Tawau, namun cubaan itu gagal kerana kem itu
berhampiran dengan balai polis dan disedari oleh anggota-anggota polis di situ
dan berjaya mematahkan cubaan itu.

Akhir konfrontasi

Menjelang akhir 1965, Jeneral Soeharto memegang tampuk pemerintahan Indonesia
setelah berlakunya rampasan kuasa. Oleh kerana konflik dalaman negara, keinginan
Indonesia untuk meneruskan konfrontasi dengan Malaysia berkurangan dan
peperangan telah reda.

Pada 28 Mei 1966, sebuah rundingan dilakukan di Bangkok, Kerajaan Malaysia dan
Indonesia mengumumkan perdamaian setelah Soeharto menghantar Adam Malik sebagai
wakil untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman. Kekerasan berakhir pada bulan
Jun, dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos dan dirasmikan dua
hari kemudian. Penghancuran PKI dan elemen-elemen politik kiri, termasuk
Soekarno telah menyebabkan perubahan mendadak dalam kestabilan politik Indonesia
pada tahun 1965. Indonesia secara rasminya mengakhiri konfrantasi terhadap
Malaysia pada tahun 1967.

Akibat

Konfrontasi ini merupakan salah satu penyebab pendekatan Presiden Soekarno
dengan Parti Komunis Indonesia, menjelaskan aktiviti ketenteraan yang
menggabungkan diri dalam gerakan G30S/Gestok (Gerakan Satu Oktober), dan juga
pada akhirnya menyebabkan PKI melakukan penculikan pemerintah tertinggi Tentera
Darat.[1]

Rujukan

1. ↑ 1.0 1.1 Artikel Kompas bertajuk "Sukarno, Malaysia, dan PKI" tanggal Sabtu,
29 September 2007
2. ↑ Tunku tak mahu pijak Pancasila


()"" ' )   Nakhai’e
( ,'o' )") http://www.naimqlate.blogspot.com
(,,)(")(")
Hari ini adalah PEMBERIAN, manfaatkanlah sebaik-baiknya kerana semulia-mulia
hamba ialah yg paling tinggi TAQWAnya. Semalam adalah SEJARAH maka
beristighfarlah utknya dan bersyukur atas kurniaan HIDAYAH dari-NYA kerana
sebaik-baik ZIKIR adalah ISTIGHFAR dan sebaik2 DOA adalah ALHAMDULILLAH. Esok
adalah MISTERI yg pada-NYA terletak angan2 dan sebijak2 manusia ialah yg
sentiasa mengingati kematiannya lalu mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yg
kekal abadi selamanya. Wassalam sahabat group semua, semoga kita semua dibawah
rahmat Allah selalu, Amin.


Kirim email ke