السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Pahlawan Melayu Leftenan Adnan Saidi
Post under Askar, Sejarah   Dicatat oleh Naim Qlate


Lt. Adnan Saidi
Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di
Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan
anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin
Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran
selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk,
ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya yang termuda
Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di
Kajang, Selangor.
Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia
merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan
pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater)
selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk
memasuki tentera.
Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar
Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik.
Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas
bagi seorang tentera muda. Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili
platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan
Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan
pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus
latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi
dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .Sebagai ketua keluarga
Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru
dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki,
Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan Johor), dan seorang anak
perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi perempuannya meninggal sejurus
selepas kejatuhan Singapura.
Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa
keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam
kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu.
Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun
bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke
kampung mereka di Kajang Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana
isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Ini merupakan
kali terakhir mereka bersama.
Pertempuran di Bukit Candu
Pendaratan tentera Jepun di Malaya [Tanah Melayu](Malaysia) dan tindakan pantas
tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura.
Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di
Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu
dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit
tersebut.
Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang
biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25 yang terkenal berjaya mengatasi
kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan
pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura
berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan
selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka
laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh
bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera
British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.
Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni 'C' . Kompeni 'C'
merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1
Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion
ke-2 "Loyal Regiment" Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama
Malaya (1st Malaya Brigade)
Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal
di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka
kepada persisiran selatan Singapura - Permatang Pasir Panjang. Pada pagi
tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar
berat dan bedilan meriam. Kompeni 'C' dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah
ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat.
Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada
Kompeni 'C'. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen
di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai
bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal
menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).
Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima perintah untuk bergerak
ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan
ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah
keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt.
Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan
mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg
pasir.
Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah.
Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27
tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh" daripada Tentera British India
(British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya
membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera
berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga
seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak
buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada
jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur.
Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam
bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan
tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen
Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati.
Kematian Pejuang

Potret Lt. Adnan Saidi
Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan,
termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan
senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam
pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan
mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera
mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh
orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah
yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.
Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan
salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu.
Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka
yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat
rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya
menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun,
ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya
telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan
ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet
berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini
dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang
sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang
berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu
dibakar menjadi abu.
Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu,
teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran
tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia
melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata. Dalam salah satu bilik,
terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya
basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian
seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia
percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin
membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).
Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang
telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang
merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit
itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan
Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:
"Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang
Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu
bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk,
dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)..."
"After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the
Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought
magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had
reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…"
Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah
berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat
tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.


()"" ' )   Nakhai’e
( ,'o' )") http://www.naimqlate.blogspot.com
(,,)(")(")
Hari ini adalah PEMBERIAN, manfaatkanlah sebaik-baiknya kerana semulia-mulia
hamba ialah yg paling tinggi TAQWAnya. Semalam adalah SEJARAH maka
beristighfarlah utknya dan bersyukur atas kurniaan HIDAYAH dari-NYA kerana
sebaik-baik ZIKIR adalah ISTIGHFAR dan sebaik2 DOA adalah ALHAMDULILLAH. Esok
adalah MISTERI yg pada-NYA terletak angan2 dan sebijak2 manusia ialah yg
sentiasa mengingati kematiannya lalu mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yg
kekal abadi selamanya. Wassalam sahabat group semua, semoga kita semua dibawah
rahmat Allah selalu, Amin.


Kirim email ke