AMINA WADUD, SIAPA DI BELAKANG SIAPA?

 

 

Sikap spontan 20 peserta terdiri daripada pelbagai Pemimpin Islam yang bertindak keluar Dewan Persidangan Kedua Peringkat Antarabangsa dalam menangani isu HIV/AIDS yang diadakan di Kuala Lumpur sangat difahami.    Apabila seorang sarjana dari sebuah Universiti di Virginia, AS menghina Islam, Al Quran, Syariah bawaan Nabi Muhammad S.A.W., apa lagi yang wajar dilakukan.   Selain dari meninggikan suara tanda bantahan, memohon ruang untuk menyatakan hujah dan meninggalkan dewan setelah tidak dilayan oleh Pengerusi Majlis di sesi yang dipengerusikan oleh Dr. Ismail Baba itu, apa lagi yang mampu dilakukan oleh orang-orang yang beriman?  Jika diikuti tertib mencegah kemungkaran Imam Al Ghazali, terdapat 4 tahap yang perlu dilakukan iaitu pertama; memberi peringatan dengan berlembut;  kedua, mencegah melalui kuliah; ketiga, mengucapkan kata-kata yang kasar dan keempat; mencegah dengan tangan, anggota dan kuasa (Lihat Ihya Ulumuddin m.s. 344  - 346).   Saya melihat para sarjana yang memilih untuk meninggalkan dewan telah berbuat demikian berasaskan ilmu.   Ini lebih-lebih lagi wajar apabila mereka memprotes kerana tidak sanggup mendengar cemuhan dibuat keatas Allah, Rasul, Agama dan Ajaran Islam yang diimani mereka.  Mereka tentu bimbang akan kemurkaan Allah S.W.T. dalam majlis yang dipercayai sedang menghina Islam.   Ini bersandarkan hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud:

 

“Tidak ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahawa Allah hampir-hampir akan menimpakan siksanya atas mereka sekalian.”

                       

                                                                        (Lihat Ihya’ Ulumiddin m.s. 343)

 

            Saya boleh bersetuju dengan anjuran satu artikel dalam NST yang antara lain berbunyi “they should  treat one another with civility and respect” (NST 25 Mei 2003 m.s. 8)  tetapi suasana civil  itu harus bersalingan.   Jika satu pihak asyik membangkitkan dan  “mendakwa ketidak mampuan Islam untuk menyelesaikan masalah AIDS”   (Utusan Malaysia 22 Mei 2003) menyerang Islam dan Al Quran (NST 21 Mei 2003) dan berdegil bahawa  “saya (Amina) tetap dengan pendapat saya” maka ini dinamakan tidak wujud lagi suasana waras.   Suasana sebuah  “intellectual  discourse” seharusnya civil tetapi apa lagi pilihan yang ada untuk menangani “seorang Amina” yang sudah kelihatan tidak waras itu selain dari dilayan dalam bahasanya?   Dalam hal inilah Nazlin selaku Penasihat Antarabangsa mengenai AIDS telah bertegas bahawa:

 

“Amina boleh dianggap kufur dengan perbuatan tersebut, harus diberi masa selama tiga hari untuk bertaubat atau menghadapi tindakan yang akan diambil ke atas beliau.”

 

            Nasib baiklah PAS tidak menyertai majlis tersebut.    Jika tidak, PAS kemungkinan akan dituduh menghasut para delegasi untuk mencetuskan huru hara.   Rupanya perkara iman dengan kufur adalah topik biasa.  PAS telah berpuluh tahun berbicara tentang perkara ini yang mencemaskan UMNO dalam banyak perkara.

 

            Diantara mereka yang meninggalkan dewan ialah Ketua Kadhi Kenya, Sheikh Ahmad Kassim, ahli akademik Afrika Selatan, Dr. Shakira Cassim, Ahli Persatuan Perubatan Malaysia Dr. Saadiah Sulaiman, Sheikh Lee Baba dan Penasihat Islam Antarabangsa mengenai AIDS dari Kenya iaitu Nazlin Omar Fazaldin.

 

            Apa yang lebih menghairankan lagi ialah keengganan Jawatankuasa  Penganjur yang dipengerusikan oleh Datin Paduka Marina Mahathir untuk meminta Amina meninggalkan konsultasi.   Setelah Nazlin yang menjadi jurucakap bagi membantah kertas kerja Amina Wadud mempersalahkan penganjur kerana memberi lampu hijau kepada pembentangan yang telah terang-terangan menghina dan bercanggah dengan nilai-nilai Islam, sikap penganjur  masih  ‘biasa’.   Anehnya,  di sebalik mempertimbangkan kewajaran tuntutan untuk Amina meninggalkan dewan, Marina Mahathir pula yang meninggalkan jawatan.   Kalaupun orang boleh katakan itu sebagai sandiwara, kerana letak sekejap dan ambil semula yang menyerupai perangai bapanya, saya lebih berminat untuk melihat sikap badan penganjur pada keseluruhannya.  Tidakkah Kertas Kerja berkenaan diteliti terlebih dahulu akan kandungannya sebelum diputuskan untuk edaran dan pembentangan.   Jika dalam hal filem, kita ada  Badan Penapisan Filem, apa pula peranan JAKIM  di situ?   Jika peserta boleh dengan spontan menghidu kebejatan niat dan kandungan tidak suci pembentangan kertas kerja  Amina lalu dengan pantas memprotes,  JAKIM bagaimana?   Lihatlah reaksinya.   Kata Dato’ Shahir,  “pihaknya akan meneliti kertas kerja Amina.”  Rupanya belum lagi diteliti!   Katanya lagi,   “JAKIM akan memberi penjelasan kepada semua apabila kajian selesai.”  Bila?

 

            Lihatlah bagaimana berbezanya reaksi cendikiawan Islam tempatan jika dibandingkan dengan Sarjana  Islam semasa dari serata dunia.  Sikapnya jauh amat bertentangan.   Apabila ditanya oleh wartawan sama ada buku-buku tulisan Amina Wadud diharamkan di negara ini sebelum ini, Ketua Pengarah JAKIM itu enggan memberikan pengesahan.   Begitu juga dengan keegganan beliau untuk membuat spekulasi; jika kertas kerja Amina didapati boleh mendorong kepada kekufuran seperti yang didakwa oleh sebahagian peserta.    Terdapat juga rungutan lanjut tentang kredibiliti Jawatankuasa Penganjur itu sendiri.    Ia mengandungi individu-individu “who were not muslim enough to handle the issues.”  (NST 25 Mei 2003 m.s. 8).  Demikianlah  komen banyak kalangan.

 

            Walaupun akhirnya Amina Wadud dilaporkan sebagai meminta maaf diatas  keterlanjuran  perkataan-perkataan  beliau  dan  beliau  digambarkan berpelukan dengan Marina Mahathir, selesaikah segala-galanya?   Semudah itukah setelah berbakul-bakul penghinaan dibuat ke atas agama sendiri secara terbuka di sebuah seminar yang bernama “Konsultasi Antarabangsa Kedua Pemimpin-Pemimpin Islam Dalam Menangani HIV/AIDS”, Amina boleh dilepaskan  dalam  semangat  “forgive and forget”.    Jawatankuasa Penganjur yang dipengerusikan oleh anak kepada seorang Perdana Menteri pula boleh dengan mudah mencuci tangan setelah bergimik sebentar dengan acahan peletakan jawatan.   JAKIM pula dengan seribu satu macam helah!

 

            Izinkan saya tinggalkan persoalan-persoalan ini di situ untuk difikir dengan lebih lanjut oleh setiap warga yang cintakan Islam, nilai-nilai civil; berdepan dengan gelagat sesetengah pihak dan intelektual Islam setempat.   Bandingkanlah dengan denyut nadi kesedaran sarjana-sarjana Islam semasa di serata dunia.   Kita berada di mana?

 

 

 

ANUAL BAKHRI HARON

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh: 24 Rabiul  Awal 1424 / 26 Mei 2003

 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com

_______________________________________________
Hira mailing list

Kirim email ke