Kenyataan akhbar Ketua Pembangkang Parlimen, Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Tanjong, Lim Kit Siang di Petaling Jaya pada 5 November 1999
Pengisytiharan Murad: Majlis Tertinggi UMNO Merupakan Kerajaan Dalam Kerajaan Kini Dan Merampas Kuasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) Untuk Membanteras Penyelewengan

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO semalam iaitu ahli-ahli UMNO harus merujuk kepada Presiden UMNO sebelum mendedahkan salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah paling tidak sihat dan bahaya kerana ini menjadikan Majlis Tertinggi UMNO kerajaan dalam kerajaan kini dan merampas kuasa BPR untuk membanteras penyelewengan.

Nampaknya BPR bukan sahaja diperintah oleh Perdana Menteri dalam kerajaan berkenaan dengan hal yang boleh dilakukan dan hal yang tidak boleh dilakukan, orang yang boleh didakwa atau orang yang tidak boleh didakwa, kini BPR juga tertakluk kepada Majlis Tertinggi UMNO berkenaan dengan apa yang boleh disiasat atau apa yang tidak boleh disiasat!

Ini amat mengecewakan rakyat Malaysia yang berharap supaya BPR memperkukuh kuasanya berikutan Akta Pencegahan Rasuah 1997 untuk melancarkan pembanterasan rasuah – nampaknya kini BPR tidak mempunyai kuasa jika berbanding dengan tempoh sebelum akta ini diluluskan!

Kepemimpinan UMNO lambat menyedari bahawa tuduhan Murad akan mempunyai kesan negatif atas 2 sebab:

Pertama, kebolehpercayaan Murad amat rendah kini memandangkan terdapat banyak pernyataan yang diragui dalam pengisytiharannya. Murad bukan sahaja tidak dapat memberi sebarang bukti untuk menyokong tuduhan-tuduhannya, beliau juga tidak dapat memberi nombor akaun yang dituduhnya. Tambahan pula, Murad tidak dapat menunjukkan kebenaran tuduhannya walaupun satu minggu sudah berlalu sejak pengumuman tuduhannya.

Dr Chandra Muzaffar, Aliran, ABIM, Datuk Nasaruddin Jalil, Marina Yusof dan Wakil Khas Malaysia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Tan Sri Abdullah Ahmad telah menafikan tuduhan Murad, dan Chandra akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Murad.

Kedua, semangat pemimpin-pemimpin UMNO yang lebih “Murad” daripada Murad telah menjejaskan integriti mereka dan menjadikan mereka mudah didakwa atas salah laku rasuah.

Contohnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Paduka Rafidah Aziz mendedahkan seorang menteri besar mengakui kepadanya bahawa beliau telah membayar beberapa ketua cawangan UMNO untuk menamakan Anwar Ibrahim demi mencabar Tun Ghafar Baba bagi jawatan kedua dalam pilihan raya UMNO pada tahun 1993.

Saya meminta Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Hussin memulakan penyiasatan terhadap Rafidah Aziz berkenaan identiti Menteri Besar itu. Jelasnya, Menteri Besar yang dirujuknya masih ialah seorang Menteri Besar kini.

Adakah BPR perlu mendapatkan kebenaran Majlis Tertinggi UMNO atau Presiden UMNO sebelum menyiasat Rafidah?

Ahad lalu, Setiausaha Agung UMNO merangkap Menteri Keterangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob berkata bahawa pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Menteri-menteri Besar yang ingin mendedahkan urusan mereka dengan Anwar tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata bahawa ini adalah hak individu untuk mendedahkan pengalaman peribadi mereka dengan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata: “Kita tidak boleh dan tidak akan memberhentikan mereka. Mereka dapat menulis kisah kenangan tentang pengalaman mereka apabila mereka memegang jawatan (dalam parti). Jika mereka ingin mendedahkan pengalaman mereka (dengan Anwar) kepada Majlis Tertinggi, maka kita akan mendengar.”

Akan tetapi dalam tempoh 4 hari, Setiausaha Agung UMNO dimalukan kerana Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan bahawa pendedahan sedemikian perlu mendapatkan kebenaran Presiden UMNO.

Penjelasan yang diberi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad adalah untuk memastikan sebarang pendedahan disokong oleh bukti dokumen.

“Kita mesti mempunyai dokumen untuk menyokong pendedahan sedemikian.”

Beliau berkata bahawa parti akan memastikan tiada tuduhan karut kerana tuduhan-tuduhan itu tidak dapat dibelakan jika dibawa ke mahkamah.

“Jika ahli-ahli ada apa-apa (untuk didedahkan) mereka harus memberitahu saya dulu, saya akan menyemak dan jika saya berasa bahawa ini perlu disokong oleh dokumen, saya akan minta mereka (ahli-ahli berkenaan) mendapatkan dokumen itu.”

“Jika mereka tidak mendapatkannya (dokumen itu) maka kita tidak boleh dedahkan kerana ini adalah susah untuk membela sebarang pendedahan yang memburukkan nama orang lain tanpa bukti,” kata beliau.

Ini amat memeranjatkan. Tuduhan Murad tidak disokong oleh sebarang bukti dokumen, tetapi kepemimpinan BN termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar menganggap tuduhan itu benar dan melancarkan serangan ke atas Anwar -  media massa elektronik dan percetakan diarah memberi liputan penuh walaupun tuduhan Murad merupakan “tuduhan yang karut”.

Beberapa ahli UMNO termasuk Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata bahawa mereka merancang untuk mendedahkan salah laku Anwar yang diketahui mereka.

Khalil sendiri berkata bahawa beliau akan mendedahkan salah laku rasuah Anwar di Pahang, yang mana beliau ialah Menteri Besar Pahang pada masa itu.

Mengapakah kini kepemimpinan UMNO berasa takut?

Khalil berkata bahawa ini adalah hak individu untuk mendedahkan sebarang salah laku rasuah. Saya berpendapat ini lebih daripada hak individu – ini ialah tanggungjawab seseorang dan beliau akan melanggar undang-undang jika beliau menyembunyikan maklumat tentang sebarang kesalahan yang telah dilakukan!

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO telah mencabar undang-undang dan keadilan. Akta Pencegahan Rasuah tidak memberi kuasa kepada mana-mana parti politik di dalam kerajaan untuk menyemak pendedahan kesalahan rasuah dan Majlis Tertinggi UMNO harus berhenti menjadi “kerajaan dalam kerajaan” untuk merampas kuasa BPR.

Saya menyeru Mahathir menghormati undang-undang dengan mengadakan satu mesyuarat tergempa dalam Majlis Tertinggi UMNO untuk membatalkan keputusan ini.

Kirim email ke