MENJELANG PILIHAN RAYA MALAYSIA

PAS tak gentar tumpuan BN di empat negeri

ALOR SETAR (Kedah) -- Parti Islam (PAS) tidak gentar dengan tumpuan kempen Barisan Nasional (BN) di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, berkata beliau melihat tumpuan itu sebagai usaha menggagalkan matlamat PAS menawan Kedah, Perlis dan Terengganu serta mengekalkan kerajaan di Kelantan pada pilihan raya umum ke-10 pada 29 November ini.

"PAS telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang gerak gempur BN. Malahan, kami akan bekerja seperti biasa," katanya.

"Kami tidak akan panik. Kami akan menghadapi BN di empat negeri berkenaan seperti kami berhadapan mereka di negeri lain...tiada sebarang langkah khusus," katanya ketika di hubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang menyebut kempen BN akan ditumpukan di empat negeri berkenaan yang penduduknya majoriti Melayu.

Kelmarin, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa di negeri-negeri itu, ramai orang Melayu di kampung yang begitu percaya kepada orang yang pada pendapat mereka ulama, yang menggelar diri mereka ulama dan mengguna kedudukan mereka untuk mengelirukan rakyat.

Datuk Fadzil, yang percaya bahawa kempen di empat negeri itu akan menjadi lebih agresif, telah meminta semua pihak memastikan suasana baik dan aman terpelihara sepanjang tempoh kempen. -- Bernama.

Kirim email ke