FOMCA BANTAH CADANGAN PAIRIN SUPAYA DIWUJUDKAN SEBUAH KASINO DI SABAH

 

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah cadangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan supaya kerajaan menimbang permohonan pihak swasta untuk mewujudkan sebuah "kasino" di Sabah.

Presiden FOMCA Prof Hamdan Adnan berkata berjudi adalah tabiat yang buruk kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu melupakan tanggungjawab kepada keluarga.

"Menyedari akan keburukan tabiat ini, maka semua agama di dunia telah mengharamkan kegiatan berjudi," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata alasan Pairin bahawa kewujudan kasino itu akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Sabah adalah tidak munasabah. "Pembukaan kasino bukan sahaja akan menggalakkan kemasukan pelancong, malah ia juga akan menarik minat penjenayah antarabangsa untuk menjadikan Sabah sebagai pusat operasi mereka," katanya.

Menurutnya, penjenayah yang beroperasi di kasino-kasino, biasanya terbabit dalam kegiatan memberi pinjaman wang kepada penjudi yang kemudiannya perlu membayar balik dengan kadar faedah tinggi.

Beliau berkata kerajaan Sabah disaran menggunakan kekayaan alam semulajadi yang terdapat di negeri itu sebagai tarikan pelancong dan bukannya berusaha menarik pelancong dengan membuka kasino.

Hamdan berkata alasan Pairin bahawa kewujudan kasino di Sabah akan meningkatkan hasil pendapatan cukai kerajaan negeri juga tidak boleh diterima. "Keuntungan yang diperolehi hasil daripada cukai yang dikenakan ke atas syarikat pengendali kasino tidak memadai untuk menampung kos pembiayaan bagi membaiki kerosakan dari segi peningkatan masalah sosial dan kegiatan jenayah yang timbul akibat daripada aktiviti perjudian," katanya.

Cadangan supaya kerajaan menimbang permohonan syarikat swasta untuk menubuhkan sebuah kasino di Sabah telah dibuat oleh Pairin semasa membahaskan Belanjawan Negeri 2000 di Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.

Kenyataan Pairin itu telah disiarkan pada muka hadapan akhbar-akhbar tempatan di negeri itu iaitu Daily Express, The Borneo Post dan New Sabah Times, hari ini. -- BERNAMA

Kirim email ke