http://cyberita.asia1.com.sg/indexes/feat/feat0902.htm
Title: dalam negeri


15hb Feb 2000, Selasa


Amaran usah keterlaluan selar TNI

Haan Rose kian perluas bisnes

Rintihan ibu tunggal terhadap bekas suami

 

MALAYSIA

Umno atur strategi untuk saingi pengaruh 'politik mimbar' PAS

PERANG politik agama kian membara antara Umno dengan Parti Islam (PAS) untuk meraih sokongan penduduk majoriti Melayu di Malaysia.

Kempen perang saraf kali ini melibatkan isu fatwa.

Kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno minggu lalu mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap PAS jika parti pembangkang itu terus mengeluarkan fatwa yang menjanjikan ganjaran syurga bagi penyokongnya dan neraka tempatnya bagi penentang.

Alasan BN dan Umno ialah fatwa sedemikian menjejas akidah dan menyalahi undang-undang agama negeri yang tertakluk di bawah kuasa Sultan atau Raja.

Datuk Dr Abdul Hamid Othman, Menteri Bertangggungjawab bagi Ehwal Agama, memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terpaksa diambil jika siasatan mendapati fatwa PAS bercanggah dengan ajaran Islam.

"Kita ada bukti dan banyak lagi sedang dikumpul sebelum mengambil tindakan," ujarnya.

Bagaimanapun, Yang Dipertua PAS, Haji Fadzil Noor, menafikan partinya mengeluarkan fatwa.

Sebaliknya, beliau menasihatkan Umno agar tidak membuat kesimpulan mudah bahawa setiap kenyataan pemimpin PAS berupa fatwa.

"Kita tidak lakukan sebarang kesalahan... Malah pemimpin Umno yang acap kali menyalahguna Islam dalam banyak kenyataan mereka," tegasnya.

Perkembangan terbaru itu menyusuli pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, bahawa Umno sedia membuktikan fatwa yang dikeluarkan oleh PAS adalah anti-Islam.

Sewaktu pilihan raya umum Malaysia dalam November lalu, PAS telah mencatat pencapaian cemerlang untuk muncul sebagai parti pembangkang utama.

Ia telah berjaya mengikis sokongan besar Umno di kalangan pengundi Melayu di negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung untuk kekal berkuasa di Kelantan dan menawan Terengganu.

Sesetengah pemimpin Umno sendiri mengakui bahawa parti mereka perlu menyemak strategi untuk memenangi semula sokongan Melayu dari PAS.

Sebelum ini, Dr Mahathir sering menuduh PAS sengaja memesong ajaran Islam untuk kepentingan politik.

Antaranya ialah menggunakan tadika untuk menyemai sentimen membenci pemimpin kerajaan.

Menguasai semula masjid daripada pengaruh PAS dan mencegah kempen membenci kerajaan yang dilancarkan oleh ulama tertentu kini disenarai sebagai agenda utama kerajaan.

Umno dipercayai tiada banyak pilihan, kecuali terpaksa berbuat demikian.

PAS meraih manfaat terbesar angkara pemecatan dan penahanan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dianggap oleh majoriti orang Melayu sebagai tindakan keterlaluan oleh Umno.

Hinggakan sesetengah masjid sekitar Kuala Lumpur dilaporkan kerap menyampaikan khutbah Jumaat mengutuk pelbagai penyelewengan pemimpin Umno, termasuk menggelar Dr Mahathir 'Mahafiraun'.

Kini, beberapa kerajaan negeri berura-ura mengetatkan peraturan bagi perlantikan jawatankuasa masjid dan memecat imam-imam yang disyaki menggunakan kedudukan mereka untuk tujuan politik.

Kebanyakan masjid di Malaysia dibina dan dibiayai oleh kerajaan negeri dan dimestikan menyampaikan khutbah Jumaat yang disiapkan oleh jabatan agama masing-masing.

Bukan perkara baru mengaitkan masjid dengan politik.

'Politik mimbar' kini mula mendedahkan jurang perbezaan nyata antara Umno dengan PAS berkaitan Islam.

Keadaan ini pernah tegang dalam 1996 selepas Dr Mahathir mengecam hebat golongan ulama kerana tafsiran sempit mereka mengenai Islam.

Apa yang baru kali ini ialah isu tersebut semakin menggugat teras sokongan Umno di kalangan orang Melayu.

Sejak kebelakangan ini, kewibawaan agama pemimpin Umno mendapat perhatian rapi.

Menteri Luar, Datuk Syed Hamid Albar, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, meletakkan sebahagian kesalahan ke atas parti itu sendiri bagi meningkatnya profil PAS di masjid-masjid.

Menurutnya, sesetengah ahli politik Umno kurang mendekati kegiatan masjid dan masyarakat akar umbi Melayu.

Sedangkan PAS pula rajin menganjur pelbagai program Islam mulai dari peringkat tadika.

Konsep PAS ialah masjid bukan sekadar tempat ibadah, bahkan pusat pembangunan ummah -- untuk dididik tentang keadilan, kezaliman dan pemerintahan mulia.

Ramai anggota Umno dikatakan mahu pemimpin dan isteri masing-masing lebih berwajah Islam untuk menghambat hati masyarakat tradisional Melayu.

Dr Mahathir sekian lama cuba memisahkan agama daripada politik dengan menggesa masyarakat Melayu agar lebih memberatkan inti ajaran Islam, bukan betapa lebatnya janggut atau rapinya purdah sebagai melambangkan keislaman.

Namun, beberapa pemimpin Umno berpendapat garis pemisah Islam-politik mungkin perlu dielak jika parti itu ingin menegakkan kembali pengaruhnya di masjid.

Umno tidak mampu tewas dalam pertarungan tersebut.

Kegagalan bermakna PAS berupaya menguatkan tanggapan di kalangan orang Melayu bahawa parti itu adalah Islam dan Islam adalah PAS.

Senario seumpama pasti melemahkan lagi Umno dan berpotensi mengubah imbangan kuasa menjelang pilihan raya umum Malaysia lima tahun lagi iaitu dalam tahun 2004.



AsiaOne
Copyright © 2000 Singapore Press Holdings. All rights reserved.   Privacy Statement     Conditions of Access

 

Kirim email ke