"Tiga Abdul " Tidak Cuba DiJawab!

Cubit-Cubit Tuk Ketampi
(Respon Kepada Artikel Sayuti; Mengapa Saya Tulis Tiga Abdul)

Sayuti Omar menongkah arus lagi. Bukunya Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul menjadi senjata Umno untuk menikam Tok Guru di Kelantan. Menikam Tok Guru, bererti menetak PAS. Ini tidak bermakna, karya Sayuti itu menyalahi ajaran Islam atau tarafnya seperti surat layang. Sayuti menanggungjawabkan tulisannya itu. Pendedahan beliau, Mengapa Saya Tulis Tiga Abdul yang disiarkan oleh beberapa laman web, sehari dua ini, dapat mengurangkan tanggapan buruk ahli-ahli PAS terhadap Sayuti.

Buku telah dipasarkan. Edarannya, agak memuaskan. Sambutannya juga kuat terutama di Kelantan. Promosi percuma oleh perwakilan Dewan Pemuda PAS dalam Muktamar PAS di Kuala Terengganu awal bulan ini, menarik minat ahli-ahli PAS untuk mengetahui kandungannya. TV3 pula tulong iklankan. Rakyat Malaysia, yang simpati PAS pun mula tercari-cari buku yang mencetuskan kontroversi itu.

Khabarnya, pemimpin PAS Kelantan antara yang tidak senang dengan buku Tiga Abdul itu. Jenuh menepis dan bertepis, apabila rakan taulan bertanya. Abdul Halim, Abdul Fatah dan Abdul Rahim, mendiamkan diri. Abdul Halim cuba untuk menyaman Sayuti kerana fakta salah Sayuti mengenai jawatan yang disebut disandang oleh Halim tidak benar dan tidak pernah diamanahkan kepada beliau. Sayuti tulis, Halim pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perhutanan Negeri (Exco) yang menjaga urusan tender pembalakan di Kelantan.

Halim menafikan secara tertutup dengan kawan-kawannya. Memangpun dia tidak pernah pegang jawatan itu. Hanya Tok Guru Nik Aziz sahaja yang memegangnya dari dulu hingga sekarang. Sayuti silap fakta.

Namun begitu, ini tidak bermakna fakta-fakta lainnya silap. Sayuti cuba memberikan tasawur tentang wujudnya “konspirasi” Tiga Abdul untuk menguasai Kelantan dan mengetepikan Tok Guru. Ini suatu “kenyataan” yang berat. Tok Guru Nik Aziz dan PAS Kelantan tidak sepatutnya mendiamkan diri. Orang Pas di kaki lima Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, di Jalan Dato Pati, sudah bising hal ini. Buku Sayuti, di Kelantan menjadi rujukan. Apa yang mereka teka, yang mereka bual-bualkan sudah didokumenkan oleh Sayuti, anak Kelantan juga.

Apa komen Tok Guru? Setakat ini, nampaknya diam sahaja. Diam untuk bertindak ataupun diam untuk menutup pintu, wallahuaklam! Tidak wajar, PAS Pusat mendiamkan diri dalam isu ini. Presiden, Dato Fadzil Noor patut buat sesuatu, sekalipun Tiga Abdul itu kawan rapat beliau. Ketelusan dalam parti akan mencerminkan ketelusan dalam kerajaan. Kalau dalam parti, kita bertindak pilih kasih, takut dengan bayang-bayang, khuatir kawan berkecil hati atau kecewa, maka sudah tentulah lagi susah dan payah, jika penyelewengan dalam kerajaan untuk disiasat.

Apabila Pemuda PAS Pusat membangkitkan isu ini dalam Muktamar PAS, maka satu tindakan susulan patut disegerakan. Sekalipun ia melibatkan orang kiri-kanan Tok Guru. Sebagai manusia yang lemah, terdedah kepada kesalahan dan kesilapan, Tok Guru sendiri sepatutnya bertindak menyiasat kebenaran atau kepalsuan karya Sayuti yang sudah didokumenkan itu. Langkah mendiamkan diri, akan ditafsirkan sebagai betul oleh rakyat. Kita bimbang, isu ini akan ditiup kencang oleh Umno Kelantan dan akan menggugat kredibiliti Tok Guru sebagai imam, MB dan ulama yang cukup disegani di Kelantan akibat karenah geygey Tiga Abdul. Janganlah disebabkan, kerja keras Tiga Abdul ini, menaik dan menggilap Tok Guru selama ini, maka satu siasatan tidak boleh dibuat terhadap mereka. Ini bererti sudah berlakunya kronisme!

Isunya sekarang adalah isu ketelusan dalam parti dan terutama dalam kerajaan. Seperti mana yang dibangkitkan tentang penggunaan kereta kerajaan untuk tujuan peribadi. Ketelusan dalam Pas boleh dianggap, ketelusan kalangan anggota parti yang tidak melibatkan orang lain selain dari mereka. Tetapi ketelusan berkerajaan, akan mendedahkan kerajaan PAS itu kepada kritikan. Kritikan ini pula akan menjadi polis yang mengekori setiap gerak-geri pegawai kerajaan dan peneraju kerajaan dalam segala hal. Ini kerana, mereka sedang mengendalikan sebuah kerajaan rakyat. Dan sudah tentulah, segala-galanya mesti diketahui oleh rakyat. Rakyat akan ambil pusing dan rakyat tidak boleh dipusingkan. Nahas lima tahun lagi?

Khabarnya, Tok Guru, Ustaz Fadzil dan lain-lain pemimpin PAS tidak mahu memberi apa-apa respon terhadap isu ini. Perwakilan pemuda yang bangkitkan Tiga Abdul dalam muktamar lalu, Ustaz Idris Ahmad, juga turut tidak disenangi. Mengeruhkan keadaan, kata mereka. Mengesahkan sahaja cerita itu, tambah mereka lagi yang cuba nak diamkan sahaja. Jangan bagi isu itu besar dan meletup. Itu untuk selamatkan kerajaan Kelantan.

Hakikatnya, orang Kelantan mula pertikai Kerajaan Kelantan. Ceramah PAS pun sudah tidak ramai hadirinnya. Kata mereka; “Cakap tidak serupa bikin”. Andainya terjadi Pilihanraya Kecil Parlimen Jeli, dua tiga bulan lagi, maka inilah isu yang akan diletupkan…..



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke