Title: Majalah Muslimah

Majalah Wanita Islam Alaf Baru



Bicara Hati Ibu Kepada Ahli Al-Maunah yang terkorban di Sauk
Forum Majalah Muslimah
All Topics | All Messages | Register

Tarikh 2hb Julai 2000 tetap segar dalam ingatan, malah seluruh negara maklum peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut. Batalion 304 Askar Wataniah Kem Gerik kehilangan 119 senjata automatik. Seramai 15 orang berpakaian celoreng yang mendakwa sebagai pegawai atasan tentera berjaya menyusup ke dalam kern dan mengambil senjata tersebut. Kumpulan tersebut yang dikenali sebagai al-Maunah berjaya diberkas dan kini dalam tempoh perbicaraan. 

Terlalu banyak spekulasi mengenai Maunah diperkatakan. Persoalan adakah mereka benar-benar bersalah atau tidak hanya keputusan mahkamah menentukan. Seramai 27 orang ahli dibicarakan, 10 daripadanya mengaku bersalah dan sedang menjalani hukuman 10 tahun penjara. Atas rasa simpati kepada waris yang ditinggalkan, MUSLIMAH menemui ibu kepada dua anggota ahli Maunah, seorang daripada anaknya terkorban di dalam kejadian tersebut. Ikuti luahan rasa, harapan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi Puan Zaleha Sheikh Mohamad apabila anak-anaknya menjadi mangsa al-Maunah:

"Makcik dan suami berniaga buku agama dan majalah di pasar malam. Anak makcik seramai lima orang. Yang terlibat dengan Maunah dua orang, Abdul Ghani (sulung) dan Abdul Halim (ketiga). Abdul Ghani bertugas sebagai pensyarah di MFI, Bangi dan Abdul Halim pula juruteknik MEC di Telok Panglima Garang. Mereka mula melibatkan diri dengan Maunah pada awal tahun 1999. Abdul Halim ada beritahu ayahnya yang dia nak masuk kumpulan seni mempertahankan diri Al-Maunah. 

Suami makcik ada tanya dah siasat ke siapa gurunya. Halim beritahu gurunya Ustaz Mohd Amin, lulusan pondok hingga ke Indonesia. Pakcik ada ingatkan tengok dahulu bagaimana orangnya. Halim juga ada beritahu selain itu Ustaz Amin juga boleh mengajar cara perubatan tradisional dan mengurut. Halim berminat sebab selain boleh belajar ilmu mempertahankan diri, boleh juga merawat ahli keluarga yang sakit. Apabila diterangkan secara terperinci kepada ayahnya, pakcik pun membenarkan dia masuk. 

Tidak lama selepas itu dia mengajak abangnya, Abdul Ghani turut serta dalam Maunah. Kebetulan Ghani pun berminat maka kedua mereka melibatkan diri dalam Maunah. Selepas itu mereka aktif dalam Maunah, setiap hujung minggu mereka pergi ke Batu Belah iaitu ibupejabat al-Maunah. Makcik pun selalu pergi kerana pakcik mendapatkan rawatan di sana bagi merawat masalah membuang air kecil tidak lawas. Perawatannya menggunakan air penawar, sedikit bacaan jampi dan mengurut mencari punca penyakit. Apabila sering ke sana dan melihat sendiri aktiviti dan bentuk rawatan, mak cik mula tidak kisah dengan penglibatan mereka. 

Cuma mereka ada menyebut akan berkursus dan berzikir di kawasan yang sunyi seperti Cherating dan beberapa tempat lain. Sejak itu keadaan mereka seperti biasa hinggalah kali terakhir pada hari khamis (29 Jun) Ghani ada balik ke rumah dan beritahu ayahnya dia ambil cuti seminggu untuk berkursus ke Perak. Halim pula menelefon mak cik di rumah beritahu perkara yang sama. Itulah kali terakhir makcik dengar suaranya. 

Makcik ingat kata-katanya, "Ummi, Halim nak minta izin keluar kursus selama seminggu, abang pun pergi sama." Makcik izinkan sambil menasihatinya, "jaga diri baik-baik, selamat pergi dan selamat pulang". Selepas itu makcik tak tahu apa-apa. Mereka pergi dari rumah masing-masing. Makcik menjalankan kerja makcik seperti biasa hingga pada suatu ketika televisyen sibuk menyiar berita mengenai rompakan senjata di kem tentera. Makcik bersungut juga, "siapalah yang buat kerja ni, negara dah elok aman nak rompak senjata buat apa. Dekat kem tentera pula tu. Apa yang mereka nak buat dengan senjata tu?".

Semakin hari semakin hebat berita, ada menyebut kumpulan perompak tersebut memakai pakaian mempertahan diri dan berserban merah putih. Memang kumpulan Maunah sewaktu berlatih memakai pakaian sebegitu tetapi masa itu fikiran makcik tak terlintas langsung tentang mereka. Hinggalah Faridah (isteri Halim) menelefon pakcik memberitahu tentang hal itu. Beliau rasa tidak sedap hati dan inginkan kepastian lokasi sebenar Halim dan Ghani berkursus. Tidak lama selepas itu keluar berita mengatakan yang terlibat dengan rompakan senjata ialah ahli kumpulan al-Maunah berpusat di Klang. Ketika itu makcik rasa di sekeliling makcik gelap gelita. Makcik cuba kawal diri. Kami solat hajat bersama, mohon pertolongan dari Allah (SWT). 

Adik-beradik datang berkumpul. Dalam masa yang sama makcik sekeluarga ke Kedah untuk menemui saudara untuk berbincang hal ini. Dalam perjalanan pulang, keluar berita yang menyatakan Abdul Halim terbunuh bersama dua orang anggota polis. Makcik terkedu. Keesokannya kami terima panggilan dari hospital meminta kami menuntut jenazah dan waris dikehendaki mengecam jenazah. Semasa pengecaman, memang itulah jenazah anak mak cik. Makcik tak boleh ingat masa itu.. (terhenti sejenak..air mata mengalir) lain sangat rupanya. Mukanya berulat, badannya cantik bersih. Makcik tengok dia selama ini elok bersih, sihat, tiba-tiba begini jadinya. Makcik rasa macam dalam mimpi, betul ke ini anak aku. Rasa baru semalam aku tengok dia elok sihat. 

Ketika di hospital tiada siapa yang datang beritahu keadaan sebenar. Polis langsung buat tak tahu dengan kami. Cuma yang mereka tunggu jenazah India dan polis Sabah yang tertembak itu. Umpama menunggu wira negara dengan bunga dan keranda cantik sedangkan kami sekeluarga seumpama menuntut mayat seorang penjenayah besar negara. Tak seorang polis pun datang untuk mententeramkan makcik, beri penerangan. Anak kita umpama ayam disambar helang, hilang sekelip mata. 

Jenazah Halim kami sempurnakan, kebumikan sebelum asar. Sampai saja ke liang lahad azan Asar berkumandang betul-betul menghala ke kubur. Mendayu-dayu azan mengiringi anak makcik masuk ke dalam kubur (sambil teresak-esak menangis) bertambah sayu hati makcik, sampai mak cik kata biarlah pemergian anak mak cik itu diiringi azan walaupun orang anggap dia sebagai penjenayah, melawan kerajaan, pemberontak. Makcik tetap rasa bangga walaupun makcik tak tahu cerita sebenarnya. 

Memang makcik tak boleh sebelahkan anak makcik, biar mahkamah menentukannya tetapi apa yang mengecewakan, seperti apa yang Najib perkatakan di kaca tv jangan ada pertumpahan darah, kalau boleh biar mereka serah diri, jangan ada pembunuhan. Makcik dengar sendiri tetapi macamana anak makcik tertembak? Kalau boleh biar semua serah diri, biar sama-sama terima hukumannya. Kenapa anak makcik diperlakukan demikian rupa.

Kami tidak diberi peluang, semua buruk belaka hingga pakcik sering tidak sihat disebabkan keadaan ini. Tambahan pula semalam (5 November) baru dapat report post-mortem Halim, dia menangis dan tak bagi makcik baca, malam terus demam. Selagi Amin, Zahid, Mejar Jamaludin Darus (yang terlibat) tak ceritakan perkara sebenarnya kita tak tahu keadaan sebenarnya.
Semua ini makcik terima dengan reda. Semasa makcik lahirkan Halim sudah ditakdirkan dia meninggal sedemikian rupa. Allah saja yang boleh menilainya, jika benar seperti yang Amin kata ingin menegakkan negara Islam, kalau betul niatnya nak mati sebab tujuan itu, jika Allah terima, mak cik tak kesal, makcik reda.

Dari segi saudara mara dan jiran tetangga, tak semua boleh terima malah ada yang kata malu nak mengaku saudara sebab anak makcik terlibat dengan jenayah. Makcik terima keadaan ini. Bagaimanapun yang pergi tetap pergi, doa makcik biarlah dia tenang di sana. Sebagai ibu, makcik berperanan pula memberi sokongan untuk Abd Ghani, semoga dia juga selamat dan berjaya mengharungi segalanya.


Email: [EMAIL PROTECTED] | Subscribe Muslimah | Sign Guestbook | View Guestbook  

Syarikat Al-Muslimah, No. 28A, Jalan Pahang Barat,
Off Jalan Pahang, 53000 Kuala Lumpur.
Tel: 03 4025 4743, 4025 4746, 4025 4748  Faks: 03 4025 4750
 

Kirim email ke